NAK JADI KAYA? IKUT SKIM KADIR JASIN, BUKAN PAK MAN TELO ATAU JHO LOW
Mohd Puad Zarkashi
9 Oktober 2018
Tidak sukar memahami apa yang tersirat dalam posting A Kadir Jasin (penulis upahan Tun M) yang disiarkan oleh portal Malaysiakini. Posting itu bertajuk “Rahsia jadi kaya cara Pak Man Telo”. Pada dia, mereka ini golongan bangang dan tamak. Justeru dia mahu mengajar kepada golongan ini cara buat skim Pak Man Telo yang gerenti tidak rugi tetapi untung besar. Beliau menamakannya sebagai skim Jho Low.
Tetapi sebenarnya Skim Pak Man Telo dan Jho Low tidak bagus. Paling bagus untuk jadi kaya raya ialah gunakan Skim Kadir Jasin. Skim ini berunsurkan proksi, kronisme, nepotisme dan kacang lupakan kulit.
Semua orang tahu Kadir Jasin dan tiga lagi kawannya iaitu Nazri Abdullah, Khalid Hj Ahmad dan Mohd Nor Mutalib dengan begitu mudah menguasai empayar media, TV3 dan dan NSTP (management buy out) menggunakan syarikat Realmild Sdn Bhd. Mudah kerana mereka adalah proksi kepada Anwar yang menjadi Menteri Kewangan ketika itu dan juga kroni kepada Tun Daim.
Mereka berempat menguasai 48.01% saham NSTP dan 43.22% saham TV3 daripada Renong yang dikuasai oleh Halim Saad. Ketika itu dikatakan ada masalah antara Halim Saad dan Anwar. Banyak pihak mempersoalkan MBO ini kerana modal berbayar Realmild hanyalah RM100 ribu dan tidak mempunyai aset tetapi dapat menguasai empayar media yang bernilai RM800 juta tunai.
Tetapi oleh kerana mereka adalah proksi dan kroni kepada Anwar dan Daim maka dua hari kemudian MRCB umum mengambil alih kepentingan Realmild. MRCB memang ada tunai. MRCB dikuasai oleh Wan Azmi Wan Hamzah (Pengerusi) dan Mirzan Mahathir (Pengarah). Wan Azmi juga merupakan Pengarah Fleet Group ketika itu.
Kemudian Wan Azmi dan Mirzan meletak jawatan dan diambil alih semula oleh mereka berempat tadi. Melalui “management buy out” dan “reverse takeover” itu Kadir Jasin dan tiga kawannya tadi menjadi kaya kerana dapat menguasai secara langsung dan tidak langsung 5 syarikat public listed yang berkaitan termasuk Bank of Commerce.
Skim Kadir Jasin adalah skim merompak sesama sendiri. Yang penting mesti pandai memilih Tuan. Tidak perlu berterima kasih kepada yang membantu. Sebab itu Kadir Jasin tidak pernah merasa terhutang budi kepada Anwar. Bila berlaku krisis antara Mahathir-Anwar pada 1998, Kadir Jasin kekal menjadi kroni kepada Mahathir-Daim. Sekarang dia menjadi lebih kuat kerana Tun M dan Daim kembali berkuasa. Memang pandai Kadir Jasin.
Kaya melalui proksi dan kroni lebih selamat. Tidak perlu bimbang untuk dipakaikan baju oren SPRM dan digari. Sebab itu Kadir Jasin tidak berpuas hati kenapa Najib dan Rosmah tidak digari dan memakai baju oren. Pada beliau mereka yang ikut skim Kadir Jasin sahaja yang layak tidak digari dan dipakaikan baju oren.