Oleh Mohd Puad Zarkashi
22 November 2018
Di saat Najib belum lagi didakwa atas kesalahan 1MDB, KJ terus memanaskan isu 1MDB sebagai punca BN kalah PRU ke-14. Motifnya jelas, iaitu untuk menyalahkan Najib seorang sahaja. KJ secara automatik sudah menjadi aset kepada PH.
Mudah cerita, pada KJ ia kesalahan individu bukan kolektif. Memahami KJ dia memang tidak ada spirit “collective responsibility”. Sebab itu apabila seluruh MP BN keluar Dewan kerana memprotes perlantikan Speaker Dewan Rakyat, KJ duduk membatu di dalam dewan .
Malang sekali KJ menggunakan tindakan DOJ Amerika sebagai asas untuk mengatakan Najib bersalah. Sebenarnya KJ lebih advance daripada AG dan Hakim yang belum mendakwa apatah lagi menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib dalam isu 1MDB.
Hingga ke hari ini 1MDB tetap mengatakan tiada duit syarikat yang hilang atau dicuri. Kalau ada pihak yang menipu syarikat atau bank yang ada urusan dengan 1MDB seperti IPIC dan Goldman Sachs itu adalah masalah mereka dengan IPIC dan Goldman Sachs. Sebab itu 1MDB tidak pernah disiasat atau dipanggil oleh DOJ.
Berbalik kepada pendirian KJ, adakah beliau boleh terima kenyataan bahawa punca kejatuhan BN sebenarnya bermula dari zaman Pak Lah lagi? Ketika itu “Budak Tingkat 4” (termasuk KJ) cukup berkuasa. Adakah KJ mahu mengatakan itu adalah persepsi? Silap, itulah adalah realiti.
Contoh, bagaimana bekas MB Johor TS Abd Ghani Othman diarah mengadap Datuk Ahmad Zaki Zahid (budak tingkat 4) untuk mendengar taklimat pelaksanaan projek Koridor Selatan (Iskandar Malaysia). Bayangkan, seorang MB diarah mengadap budak mentah yang bukan pun CEO atau KSU.
Cerita budak tingkat 4 menguasai PMO menjadi bahan kempen untuk menjatuhkan Pak Lah dan terbukti pada PRU ke-12 (2008) BN kehilangan 4 negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak selain gagal menawan balik Kelantan.
Bukan itu sahaja BN juga hilang majoriti 2/3. Selangor dan Pulau Pinang tidak pernah dapat ditawan semula kecuali Perak dan Kedah di PRU ke-13.
Maka punca sebenar kekalahan UMNO bermula dari zaman “Budak Tingkat 4” di mana KJ adalah seorang darinya.
Semoga KJ tidak mengamalkan “Denial Syndromes”. Itulah realiti. Kisah budak tingkat 4 adalah bahan kempen kepada Tun M untuk menjatuhkan Pak Lah tetapi implikasi buruknya kepada UMNO.
Sudikah KJ menerima realiti ini?
Kalau politik baru adalah pencarian KJ, maka dia perlu tinggalkan politik “Populist” seperti stokin merah dan sebagainya. Politik “Populist” sudah tidak relevan di saat UMNO kalah. Yang diperlukan ialah team spirit, collective responsibility, berjemaah, patuh kepada arahan ketua, musyawarah dan menggunakan kaedah maslahah.
Politik populist tiada substance. Penuh keegoan dan artificial. Apakah KJ sanggup diuji sebagaimana Najib diuji dengan 38 pertuduhan dan banyak lagi.
Tetapi KJ tidak perlu gusar. Dia bukan lagi ancaman kepada Tun M. Dia sudah menjadi aset. Maka mana mungkin nasibnya akan sama dengan Najib iaitu menerima puluhan dakwaan.