Arab Saudi menyertai negara-negara di rantau Arab dalam mengutuk keputusan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel.
Melanggar persetujuan antarabangsa yang terjalin berdekad lamanya, Presiden Donald Trump menandatangani pengisytiharan tersebut di White House kelmarin (Isnin) bagi mengiktiraf kedaulatan Israel di kawasan sempadan yang disita dari Syria pada tahun 1967.
Arab Saudi tegas menolak keputusan tersebut dan mengesahkan pendirian mereka bahawa Bukit Golan telah berada di tanah Arab iaitu Syria, yang mengikut resolusi antarabangsa sebelum ini.
Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu juga mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menyatakan kekesalan mereka atas pengumuman yang dibuat oleh AS ke atas Bukit Golan.
Pertubuhan Kerjasama Islam juga mengutuk keputusan Trump dan mengatakan ia tidak mengubah status undang-undang Golan sebagai tanah Arab dan Syria di bawah undang-undang antarabangsa.
Pengisytiharan yang dibuat oleh AS adalah pelanggaran yang jelas menurut Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan prinsip undang-undang antarabangsa iaitu pelanggaran resolusi Majlis Keselamatan 242 tahun 1967 dan 497 tahun 1981, yang dikhuatiri akan membawa implikasi buruk terhadap proses damai di Timur Tengah, serta keamanan dan kestabilan di wilayah tersebut.
Arab Saudi menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan antarabangsa sah yang telah dicapai sebelum ini dan menghormati piagam PBB.
Sementara itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit, berkata keputusan itu “tidak mengubah status” kawasan tersebut sebagai wilayah yang diduduki secara haram oleh Israel dan Syria berkata keputusan itu adalah serangan terhadap kedaulatannya.
Ketua Pembangkang Nasr Al-Hariri berkata keputusan Trump akan “membawa lebih banyak keganasan dan ketidakstabilan, dan ia akan memberi kesan negatif terhadap usaha untuk merintis perdamaian di rantau ini.”
Lubnan berkata langkah itu “melanggar semua peraturan undang-undang antarabangsa” dan “melemahkan usaha untuk mencapai keamanan yang diusahakan.”
“Dataran Golan adalah tanah Arab Syria, tidak ada keputusan yang boleh mengubah perkara ini dan tiada sesiapa dapat mengubah sejarah dengan memindahkan pemilikan tanah dari satu negara ke negara lain,” menurut Kementerian Luar mereka.
Presiden Iran Hassan Rouhani juga mengkritik Presiden AS Donald Trump untuk mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel dan mengatakan langkah itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
“Tidak ada seorangpun yang dapat membayangkan bahawa seseorang di Amerika datang dan memberikan tanah sebuah negara ke negara lain, bertentangan dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Tindakan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini pada abad ini.”
Seluruh dunia Islam dan bukan sahaja negara-negara Arab turut mengutuk tindakan Amerika Syarikat tersebut yang disifatkan sebagai “penjajahan alaf baru”.