Tidak dinafikan yang Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPUM) yang diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Thomas mempunyai kuasa menentukan siapa dan bagaimana kelayakan seseorang bagi membolehkan pelajar mengambil Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG), dalam pada itu tidak boleh juga dinafikan peranan Kementerian Pendidikan yang diketuai oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam mengiktirafkan sesuatu hal yang ada kaitan dengan pendidikan.
Kegopohan Tommy Thomas mengiktiraf UEC jelas bercanggah dengan saranan Menteri Pendidikan, Mazlee Malik supaya ia ditangguhkan sementara menunggu kerangka kajian mendalam mengenainya dilakukan dahulu, malah ianya tidak dipersetujui sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman bersama sokongan dari tokoh-tokoh pemimpin kaum Tionghua ketika itu seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin.
Terkejutnya, beberapa hari yang lalu secara tiba-tiba UEC diiktiraf dengan disambut ucapan terima kasih dari Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, tanpa dimaklumkan sama ada telah diadakan perbincangan. Dan ternyata tiada sebarang perbincangan diadakan, ini amat memalukan kerana tindakan melulu bersendirian Tommy telah terzahir terdapat percanggahan pandangan dan pendapat antara kementerian dengan kementerian di dalam satu kerajaan, apabila kedua-duanya berada di bawah satu payung; Pakatan Harapan, namun kini jelas terbukti dengan terlihatnya ketiadaan kesepakatan dan sering berselisih faham, masing-masing bagai ingin menunjukkan siapa yang lebih berkuasa (conflict of interest).
Kelmarin, Peguam Negara membuat kenyataan memaklumkan PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC, pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula pada 1 Januari 2021, dengan alasan pihaknya menerima banyak tuntutan terhadap perkara tersebut supaya perubahan ini disegerakan, padahal sehingga ke hari ini UEC belum lagi diiktirafkan secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan. Beliau juga berkata akan mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di UK mengenai penerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang. Tidakkah perbuatan beliau ini melanggar Perlembagaan, di mana beliau sepatutnya menasihati Duli Yang Di-Pertuan Agong dan mendapatkan persetujuan dari Baginda sebelum sesuatu keputusan pengiktirafan itu dibuat, ini soal hala tuju negara bukannya pengiktirafan sama ada seorang itu gay atau straight.
Apakah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching tidak menyedari dengan hanya medium pengajaran dalam bahasa Mandarin sahaja, tidak mustahil akan berlaku keterpisahan idea asimilasi dalam matlamat memupuk perpaduan kaum pada rakyat negara majmuk, padahal perpaduan kaum ini lebih penting daripada pengiktirafan UEC. Lebih menjadi tanda tanya apabila Teo Nie Ching mengucapkan terima kasih kepada Tommy Thomas disusuli dengan kenyataan Anwar Ibrahim menyetujui perkara ini seolah-olah menggambarkan ada agenda menghina dan menjatuhkan martabat bahasa Melayu, sebagai Bahasa Kebangsaan.
Dalam hal ini MUAFAKAT bersetuju dengan saranan penangguhan pengiktirafan UEC oleh Menteri Pendidikan, iaitu ia harus dibincangkan dahulu dengan menyediakan kerangka kajian mendalam bersama dengan berbagai pihak yang berkepentingan, serta melihat perkara ini dari segala aspek agar pengiktirafannya tidak menjadi polemik berpanjangan yang boleh menyebabkan jurang antara kaum menjadi lebih besar kerana UEC majoritinya dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian Cina sahaja. Sekiranya UEC dihapuskan terus dari sistem negara ini adalah lebih baik demi menjaga keharmonian kaum.
Dengan itu, MUAFAKAT merafak sembah takzim ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Agong supaya Tommy Thomas dilucutkan jawatannya dengan segera kerana kegagalannya melaksanakan tanggungjawab besar sebagai Peguam Negara, sehingga tindakan gopohnya menimbulkan ketidakselesaan terhadap kepentingan orang Melayu dan sensitiviti berbilang kaum dalam negara majmuk.
Beliau sepatutnya menasihati Yang Di-Pertuan Agong terlebih dahulu dalam perkara besar yang melibatkan Perlembagaan Negara sebagaimana tercatat dalam Perkara 152.
Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.
Oleh Haji Rashidi Haris
Ketua Media Muafakat