HUKUMAN RINGAN MENYEBABKAN PENDERHAKA SULTAN BERSIKAP LEBIH BIADAB

1.8k
SHARES
1.7k
VIEWS

1. MUAFAKAT ingin berkongsi bersama rakyat marhaen mengenai insiden kekecohan yang berlaku di Masjid Ar Rahman di Kampong Parit Melana, Durian Tunggal, Melaka. Ianya berpunca dari perbuatan sekumpulan individu dikatakan Gerakan Pembela Ummah Melaka cuba menghalang ulama DAP daripada menyampaikan ceramahnya.

2. Merujuk kepada laporan media Utusan Online bertarikh 21 Julai dengan tajuk; “Ceramah Wan Ji Di Melaka Kecoh, Dibantah Sekumpulan Individu”. Kekecohan itu bermula pada jam 7.50 petang sebaik sahaja selesai ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal; Datuk Mohd Sofi, tiba-tiba bangkit kumpulan tersebut dan membantah ulama DAP itu daripada menyampaikan ucapannya.

3. Namun, setengah jam kemudian lebih kurang dalam jam 8.30 malam, kumpulan dari Gerakan Pembela Ummah Melaka akur pada arahan pihak polis dan beredar, dan program tersebut bersambung semula dan Wan Ji menyampaikan ceramahnya.

4. Setakat mengikuti isu ini melalui media massa, MUAFAKAT difahamkan bahawa Wan Ji atau Ulama DAP sebagaimana gelaran yang diberi oleh Presiden ISMA dan juga Pengerusi UMMAH, beliau telah disabitkan dengan kesalahan oleh Mahkamah Seksyen mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, iaitu kesalahan mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula sesuatu penerbitan menghasut, dan kesalahannya ialah menghasut orang ramai membenci Sultan, dengan menghina dan menggelar serta memanggil baginda dengan ucapan-ucapan yang keji.

5. Atas kesalahan itu maka beliau dihukum penjara selama 9 bulan oleh Mahkamah Seksyen dan ditambah setahun lagi oleh Mahkamah Tinggi sedangkan jika mengikut kesalahan tersebut seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000.

6. Persoalannya MUAFAKAT ingin bertanya mengapa seorang yang telah disabitkan kesalahan, bebas ke sana ke mari memberi ceramah – keadaan ini membolehkan beliau membela dirinya seolah-olah beliau di pihak yang benar dan telah dianiaya.

7. Sekiranya demikian, seolah-olah mahkamah telah tersalah menghukumnya, ini menghina mahkamah. Kemudian ulama DAP ini seolah-olah ingin memberitahu rakyat, bahawa TIDAK SALAH MENGHINA SULTAN. Di sini, kelihatan seperti beliau bukan hanya menghina keputusan mahkamah malah ingin menghalalkan perbuatan melampau lagi terkutuknya memaki hamun Sultan.

8. Aneh lagi ajaib, MUAFAKAT hairan apabila ada segelintir pemimpin dan juga tokoh-tokoh pemimpin dari pihak kerajaan yang membela beliau, iaitu membela Penderhaka Sultan. Jika pembelaan itu kerana tidak bersetuju dengan keputusan hukuman mahkamah, bagi MUAFAKAT ianya terlalu ringan jika merujuk kepada peruntukan hukuman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

9. Tindakan beberapa tokoh ini membuatkan kami dari MUAFAKAT tertanya-tanya, pihak kerajaan PH ini di sebelah mana; mahu mempertahankan institusi Kesultanan Orang Melayu atau mahu menghapuskan institusi tersebut jika dilihat kepada sokongan mereka ke atas Ulama DAP ini?

10. Justeru, MUAFAKAT menggesa penceramah bebas atau Ulama DAP ini disekat dari memberi sebarang ceramah di seluruh negara dan MUAFAKAT kekal utuh menyatakan pendirian mempertahan institusi Raja-Raja Melayu dan YDP Agong khusus dalam kes ini berada di belakang baginda Sultan Selangor.

11. MUAFAKAT juga memohon perkenan titah perintah Tuanku Sultan Selangor supaya Wan Ji @ Ulama DAP ini DIBUANG NEGERI dan diharamkan daripada memijak bumi Selangor di bawah perintah Tuanku Sultan Selangor selama-lamanya. Tindakan ini sebagai tauladan dan amaran terhadap mana-mana individu agar jangan sesekali menderhaka dengan bersikap biadab yang melampau terhadap Tuanku Sultan Selangor hatta ke atas mana-mana Sultan yang berdaulat di dalam negara tersayang ini.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts