JANGAN TERLEPAS PANDANG GOLONGAN FAKIR MISKIN KETIKA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

403
SHARES
634
VIEWS

Saya bukannya protes penambahan lanjutan 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, tetapi bagi saya ada beberapa perkara tidak kurang pentingnya yang kerajaan perlu ambil perhatian sebelum keadaan menjadi semakin rumit. 

2. Selain isu bekalan makanan yang seharusnya mencukupi, maksudnya stok mesti ada jangan sampai kehabisan, sememangnya perkara ini adalah tanggungjawab kerajaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat seramai 30 juta lebih.

3. Dan bagi saya isu bekalan makanan ini tidaklah menjadi masalah besar, ini kerana bekalan asas yang paling penting hanyalah beras, minyak, ikan, ayam dan beberapa rempah ratus sahaja. Manakala bahan keperluan lain cuma sabun kain dan sabun pinggan, ubat gigi, dan beberapa item-item kecil yang lainnya.

4. In sya Allah rakyat mampu bertahan, sebab bagi orang seperti saya yang sudah biasa hidup miskin, cukup untuk kami sekeluarga sekadar ada beras, ikan bilis dan kicap, tiga perkara asas ini sudah memadai, begitu juga cukup bagi mereka dari golongan miskin.

5. Cuma kalau adapun yang akan rasa tertekan dengan keadaan kuarantin yang ketat ini mungkin segelintir golongan orang yang kaya-raya atau yang elit sahaja. Mungkin mereka akan terasa kesempitan ini jikalau rutin makanan mereka terganggu dan berkurangan. Itupun bukanlah merupakan masalah besar… asalkan mereka mempunyai wang, segala macam barang dan benda mereka boleh buat dan beli.

6. Yang menjadi kebimbangan saya ialah golongan yang berpendapatan di bawah RM2000 sebulan dan yang akan paling terkesan sekali tentulah yang hidupnya kais pagi makan pagi.

7. Jangan sangka golongan ini tidak wujud di tengah-tengah ibu kota. Sebenarnya mereka ramai cuma prinsip mereka yang beragama ini sedayanya tidak mahu meminta-minta, selagi mampu dan selagi mereka terdaya mereka akan berusaha mencari nafkah sendiri, justeru jangan ingat golongan ini tidak ada atau tidak wujud.

8. Kita sedar dan faham bagi mereka yang ada duit tetapi tiada makanan, masih boleh lagi keluar pergi ke pasaraya dan membeli makanan, tetapi yang tiada duit, bagaimana mereka hendak keluar pergi beli makanan… bila duit tidak ada, nak beli makanan macamana?

9. Kalau setakat sebatang kara atau yang tinggal sendirian… itu satu bab, bayangkan yang punya anak-anak yang ramai dan masih ada anak kecil. Tentunya susu menjadi bahan yang sangat penting!

10. Oleh itu, saya merasakan kerajaan perlu juga melihat sudut ini iaitu terhadap keluarga miskin yang tidak berupaya menyara diri sendiri apatah lagi menyara keluarganya.

11. Sabda Nabi SAW; “Tidak (sempurna) iman orang yang kenyang perutnya sedangkan tetangga sebelahnya dalam kelaparan.”
(Hadith riwayat Al-Baihaqi)

12. Semoga keprihatinan kerajaan dapat mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik membantu golongan kurang bernasib baik yang berada dalam golongan miskin ini. Amin, in sya Allah.

13. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan merekapun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan merekapun selalu mendoakan kamu.”

(Hadith riwayat Muslim)

Mari kita sama-sama berdoa semoga kita semua selamat dari wabak Covid-19 dan segera diselesaikan.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts