Oleh Isham Jalil
Tadi Azmin Ali dalam satu wawancara telah membuat pengakuan bahawa idea penubuhan Perikatan Nasional (PN) awal tahun ini adalah untuk memastikan supaya Mahathir kekal menjadi Perdana Menteri.
Dia (Azmin) juga berkata yang kerajaan PN hari ini adalah bukan kerajaan pintu belakang kerana kononnya YDP Agong yang telah membuka pintu untuk mereka masuk menubuhkan kerajaan.
Saya hanya ingin kata dua perkara sahaja kepada Azmin:
Nombor SATU: Maka selama ini sahihlah fakta bahawa penubuhan PN tersebut bukanlah kerana penyatuan Melayupun, tetapi ia adalah suatu langkah kesempatan politik oleh sebahagian ahli-ahli politik kerajaan pada ketika itu termasuk Azmin yang mengambil kesempatan untuk ‘menyelamatkan tengkuk’ masing-masing, termasuk untuk mengekalkan Mahathir dan menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri.
(Azmin pada ketika itu sedang bergaduh dengan Anwar dan juga sedang berhadapan dengan tuduhan salah laku seksual luar tabii).
Untuk tujuan ini (melepaskan tengkuk dan menyelamatkan diri), pastinya mereka beranggapan yang pihak-pihak lain adalah hanya kuda tunggangan mereka untuk mencapai hasrat tersebut.
Sebab itu dari awal lagi saya tidak setuju dengan penyatuan dengan PPBM ini kerana seperti yang ditunjukkan oleh Azmin di atas, ia bukanlah satu gabungan atau penyatuan yang ikhlas.
Seperti yang saya kata dahulu, jika mereka betul dan ikhlas mahukan penyatuan Melayu, bubarkan PPBM dan masuklah UMNO atau PAS; orang Melayu tidak akan bersatu jika ada terlampau banyak parti Melayu.
PPBM dahulu ditubuhkan oleh Mahathir kerana dendam ke atas UMNO. Kini dia sudah tidak ada dalam PPBM. Oleh itu mereka boleh bubarkan sahaja PPBM dan kembali ke pangkal jalan jika mereka mahu.
Namun dulu mereka ingin selamatkan Mahathir. Kini mereka ingin selamatkan Muhyiddin dan jawatan-jawatan mereka.
……..
Nombor DUA: Usah cuba salahkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menepis kritikan-kritikan rakyat ke atas gabungan politik anda.
Rakyat bukannya bodoh dan sudah nampak apa yang anda buat dengan terang lagi bersuluh.
Yang Dipertuan Agong tidak ada kena-mengena dengan langkah-langkah politik anda, jauh sekali untuk menyelamatkan tengkuk segelintir ahli-ahli politik.
Ambil tanggungjawab ke atas langkah anda sendiri; jangan salahkan orang lain, dan berani buat beranilah tanggung dan menjawablah dengan rakyat.
29 November 2020