Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Minyak naik ini salah Najib, sebab Najib yang hapuskan subsidi.
Tuan-tuan, kalau semua masalah kita nak letak atas bahu orang, baik jangan jadi kerajaan.
Setiap penyakit memerlukan ubat yang berlainan. Masalah penyeludupan berleluasa pada 2016 maka ubatnya adalah hapuskan subsidi. Masalah kenaikan harga melambung maka ubatnya adalah beri subsidi.
Ia sama macam bawa kereta. Kalau naik bukit, pakailah gear 1. Dah bila atas highway kau pergi bawak gear 1 juga pasal apa?
Falsafah ekonomi juga begitu. Apabila dalam keadaan krisis ekonomi hari ini, kerajaan perlu berbelanja bagi pembangunan. Inilah falsafah Keynesian yang diceduk daripada idea Ibnu Khaldun. Jika kerajaan kedekut, maka swasta juga akan berhati-hati. Akhirnya tidak ada orang akan berbelanja dan sistem akan runtuh.
Tetapi dalam keadaan perang, janganlah gunakan kaedah yang sama. Tengah berperang awak pergi buat projek mega tu apa guna? Buat modal musuh bom saja. Masa perang, ideanya adalah survivability. Masa itulah kena rancakkan subsidi makanan dan skim jaminan pekerjaan. Negara US buat benda ini selepas Perang Dunia ke-2.
Cuma jangan berterusan. Bila ekonomi hampir pulih, maka kena tukar kepada sistem yang sesuai. Antara punca sistem ekonomi Soviet Union menjadi stagnant dan collapse pada 1980-an adalah apabila mereka berterusan buat skim jaminan pekerjaan kepada rakyat walaupun ekonomi sudahpun memuncak.
Ada orang kata, mana boleh bagi subsidi minyak masak lagi sebab tidak ada dalam bajet.
Inipun satu masalah tidak tahu sistem belanjawan kita berfungsi. Bajet kita ini bukan tetap. Boleh disemak dan boleh dibentang semula.
Bulan Mac 2020 masa PM isytihar Pakej Prihatin yang bagi suntikan tunai RM25 bilion tu anda semua ingat daripada mana? Ada dalam Bajet 2020 ke?
Sebab itu tidak ada masalahpun kalau hendak perkenal subsidi semula. Apatah lagi dalam keadaan darurat yang mana kerajaan ada kuasa hampir mutlak untuk uruskan kewangan negara
Duit itu ada. Contohnya 3 bulan pertama tahun ini bila kerajaan dapat RM295 juta hasil windfall tax bila sawit naik. Jumlah ini asalnya tidak adapun dalam unjuran hasil kerajaan.
Kalau harga sawit kekal tinggi sampai hujung tahun ini, jumlahnya boleh cecah RM1.2bilion.
Dah tu buat apa? Masuk dalam Kumpulan Wang Disatukan kemudian kita tidak tahu guna untuk apa? Bukan hendak kata sekarang, daripada dahulu lagi itulah amalannya.
Subsidi minyak masak pula berapa? Sebelum dihapuskan (kecuali kampit 1kg) pada 2016, subsidi minyak masak kita adalah sekitar purata RM714 juta setahun.
Cukup ke tidak? Boleh subsidi ke tidak?
Sebab itu kita cadang semalam supaya cukai ini distruktur semula berdasarkan peringkat kenaikan harga dan dimasukkan dalam satu Dana Khusus. Dana inilah yang akan diguna bagi subsidikan semula harga bila keadaan memerlukan. Mesti ada akta khusus supaya siapapun memerintah maka dia tidak boleh suka-suka alih dana itu bagi perbelanjaan lain.
Kalau kita pandang setiap teguran itu sebagai satu serangan, sampai bila-bilapun kita tidak akan berkembang.