1. Kenyataan Presiden PAS, TS Abdul Hadi Awang, yang mengatakan “Johor kurang kesedaran politik Islam” sewajarnya membuka mata Bangsa Johor terhadap PAS yang jelas memandang rendah kepada umat Islam di negeri itu. Naratif PAS menggambarkan hanya orang PAS sahaja yang memahami politik Islam dan umat Islam lain di Johor kurang kesedaran mengenainya.
2. Pemuda UMNO menegaskan adalah tidak adil untuk menghukum seisi negeri Johor sebagai “kurang kesedaran politik Islam” hanya semata-mata kerana PAS kurang mendapat sokongan dari Bangsa Johor. Sedangkan seluruh negara tahu betapa agama Islam begitu dititikberatkan oleh Bangsa Johor, diketuai oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.
3. Pemuda UMNO ingin menegaskan bahawa Islam dan PAS merupakan dua entiti yang berbeza. Islam adalah sebuah agama, bukan parti politik. Manakala PAS pula adalah sebuah parti politik, bukan agama. Seorang umat Islam yang memahami politik Islam tidak semestinya menyokong PAS, manakala seorang ahli PAS pun tidak semestinya memahami politik Islam yang sebenar.
4. Umat Islam, sama ada dari kalangan ahli mana-mana parti politik mahupun tidak berparti, namun tidak menyertai atau menyokong PAS, kami adalah tetap beragama Islam, berfahaman sunnah wal jama’ah. Cuma ideologi politiknya berbeza. Berbeza ideologi politik dengan PAS tidak menggambarkan kami umat Islam kurang memahami politik Islam.
5. Justeru itu, PAS tidak wajar menggambarkan pihaknya sahaja yang memahami politik Islam, dan menghukum umat Islam lain, khususnya Bangsa Johor sebagai “kurang sedar”. Pemuda UMNO menolak dan membantah keras bentuk pemikiran jumud seperti ini.
6. Justeru itu, Pemuda UMNO menuntut agar TS Abdul Hadi memohon maaf pada seluruh umat Islam di Johor dengan kadar segera dan tidak lagi memandang rendah pada umat Islam lain yang tidak menyokong ideologi politik PAS.
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
8 Mac 2022