REAKSI, PERSEPSI DAN PRASANGKA RAKYAT DALAM KES NAJIB RAZAK

101
SHARES
327
VIEWS

Penamat kepada propaganda lama dimainkan oleh Pakatan Harapan akhirnya berbalas dengan pemenjaraan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Satu dunia kini mengenali beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama dimasukkan ke penjara atas dakwaan rasuah walaupun di satu sisi lain, suka ataupun tidak, semua pihak terpaksa akur bahawa keadilan tidak sepenuhnya diberikan kepada beliau.

Dengan ketiadaan saksi utama seperti Jho Low dan Nik Faisal tetapi perbicaraan tetap dijalankan, misteri 20 tanda tangan palsu milik Datuk Suboh Md Yassin, logik ‘nasi goreng’ Datuk Shahrol Halmi serta siapa ‘culprit‘ yang membuat arahan transaksi ke akaun peribadi Najib, semuanya masih menjadi persoalan. Itu belum diambil kira konflik kepentingan Yang Arif Hakim Nazlan dan juga bukti keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menerima wang secara terus daripada Jho Low, yang secara jelas kes SRC Najib ini sudahpun cacat daripada awal.

Sungguhpun begitu, keputusan mahkamah menyabitkan Najib bersalah jika tidak dapat diterima sekalipun ia perlu dihormati. Walaupun di pihak hakim dan mahkamah, keadilan dikatakan terlaksana namun rakyat tidakpun melihat keadilan dilaksanakan. Mahkamah boleh menyatakan perkara ini sebagai contempt of court namun mengekang atau menghalang persepsi dan prasangka ramai adalah di luar bidang kuasa mereka.

Oleh kerana itulah undang-undang perlu adil dan terlihat adil. Jika keadilan tidak dilihat oleh rakyat maka ancaman persepsi dan prasangka sukar dielakkan dan terpaksa diterima oleh kerajaan. Seperti dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau diberi peluang seluas-luasnya sehingga ditangguhkan lebih seratus kali dalam masa lebih kurang tujuh tahun perbicaraan. Maka barulah penyokong-penyokongnya tidak boleh menyalahkan hakim dan mahkamah, itupun Pakatan Harapan mengatakan mahkamah tidak adil, kononnya rakyat hakim negara dan pelbagai lagi tohmahan terhadap institusi kehakiman negara.

Dalam kes Najib pula malangnya beliau tidak mendapat keistimewaan seperti Anwar, antaranya bagi mendapatkan khidmat Queen’s Counsel, penangguhan kerana pertukaran peguam bela malah bukti-bukti baharu yang dijumpai juga ditolak oleh hakim. Oleh kerana itulah reaksi terhadap kes ini bercampur-baur dan persepsi serta prasangka yang terhasil sukar dikawal malah boleh dikatakan majoriti rakyat tidak dapat menerimanya.

Justeru, suka ataupun tidak institusi kehakiman dan keadilan di negara ini perlulah dirombak agar selepas ini maksim “keadilan ditangguh maka keadilan dinafi” boleh digantikan dengan “keadilan disegerakan maka keadilan dihancurkan“. Rakyatpun tertanya-tanya adakah kes SRC disegerakan kerana PRU-15 sudah hampir dan mahu mengelakkan Najib bertanding? Walaupun hanya andaian dan prasangka namun Inilah contoh yang berlaku apabila keadilan disegerakan tanpa ada justifikasi yang boleh diterima akal. Adalah lebih baik kes-kes lain selepas ini tidak disegerakan demi untuk mengelakkan persepsi dan prasangka rakyat seperti yang berlaku dalam kes Najib. 

Bagaimanapun, penghakiman telah dibuat, Najib telah dihukum dan semua pihak sudah boleh memikirkan langkah seterusnya. Cuma jangan lupa Najib telah bersumpah laknat dan jika beliau menipu maka beliau sendiri akan termakan sumpahnya sendiri. Jika beliau dianiaya maka pihak yang menganiaya beliau tentu tidak akan senang duduk dan tidak boleh tidur malam.

Apapun, kita tunggu takrifan keadilan seterusnya dalam kes Zahid pula. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts