‘Political deadlock‘ ditamatkan oleh Kerajaan Perpaduan, Raja-Raja Melayu perkenan Anwar sebagai PM-10
Selepas titah cadangan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 22 November ditolak mentah-mentah oleh Perikatan Nasional walaupun Pakatan Harapan menyetujuinya, Datuk Sri Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah pada Khamis, 24 November setelah Barisan Nasional menyambut baik hasrat baginda yang bertitah mencadangkan Kerajaan Perpaduan.
YDP Agong dan Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat pada pagi Khamis tersebut telah memperkenan lantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
Isu Akuan Bersumpah (SD) dan Akta Lompat Parti
Lantikan itu bagaimanapun dicabar oleh Tan Sri Mahiaddin yang bermati-matian berkata mempunyai 115 Akuan Bersumpah (SD) sedangkan selepas Akta Lompat Parti dikuatkuasakan, hanya sokongan Presiden parti atau gabungan diperlukan.
Malah sebarang ‘kesilapan’ dengan memberikan SD kepada pihak lain akan menyebabkan individu tersebut akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan.
Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri dicabar
Sungguhpun begitu, desas-desus keabsahan lantikan Anwar masih dicabar dan dijadikan isu sedangkan YDP Agong sendiri bertitah mencadangkan Kerajaan Perpaduan. Lantikan Perdana Menteri juga dipersetujui oleh baginda dan Raja-Raja Melayu yang bersidang dalam satu mesyuarat khas bagi merungkai kemelut politik negara yang masih tidak mempunyai Perdana Menteri selepas lima hari PRU-15 berakhir.
Isu SD masih dijaja ke sana dan ke sini sedangkan kerajaan sudahpun tertubuh. Jika begini bagaimanakah negara mahu mencapai kestabilan jika masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan yang dibentuk hasil kebijaksanaan YDP Agong merungkaikan political deadlock tersebut?
Fadillah Yusof dan sokongan kepada Mahiaddin sebagai Perdana Menteri
Malangnya bekas menteri Dato’Sri Haji Fadillah Yusof daripada Parti Pesaka Bumiputera (PBB) juga ‘menjaja’ SD kononnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Mahiaddin sebagai Perdana Menteri. Beliau perlu faham bahawa Mahiaddin dan Perikatan Nasional telahpun menolak mentah-mentah cadangan Kerajaan Perpaduan yang dititah-cadangkan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sendiri.
Kerajaan Perpaduan dititah-cadang oleh YDP Agong usah diganggu-gugat
Bagaimana sukapun Fadillah dan rakan-rakan pro Perikatan Nasionalnya kepada Mahiaddin, beliau kena sedar bahawa Mahiaddin telahpun membuat keputusan menolak titah cadangan Kerajaan Perpaduan tersebut. Beliau juga berkata mahu Perikatan Nasional kekal sebagai pembangkang. Maka sebarang formula ketika ini termasuk menjaja SD tidak lagi laku kerana selain Akta Lompat Parti yang tidak memerlukan sebarang SD kerana cukup dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden parti atau gabungan, YDP Agong dan Raja-Raja Melayu sendiri berkehendakkan Kerajaan Perpaduan.
Mencabar keabsahan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri seumpama derhaka kepada titah YDP Agong
Jika masih ingkar titah baginda, dikhuatiri kisah SD ini akan mengembalikan negara ke kancah political deadlock sekali lagi. Atau lebih buruk Langkah Sheraton 2.0 dan kemelut bertukar-tukar Perdana Menteri yang menjejaskan kestabilan negara bakal berulang. Tentu perkara inilah yang menjadi pertimbangan YDP Agong dan Raja-Raja Melayu dan cadangan Kerajaan Perpaduan inilah jalan penyelesaiannya.
Justeru tidak perlulah Fadillah dan rakan-rakan pro Mahiaddin dan Perikatan Nasionalnya bertindak membelakangkan jalan penyelesaian yang telah dirintis oleh YDP Agong dan Raja-Raja Melayu, dengan cara “rundingan pintu belakang” dan menjaja SD yang memualkan.
Kuasa Presiden parti dan gabungan melalui Akta Lompat Parti
Fadillah dan lain-lain pihak yang tidak bersetuju apabila Mahiaddin tidak berjaya menjadi Perdana Menteri, juga tidak boleh mengabaikan fakta bagaimana sepuluh Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Mahiaddin sebelum ini terpaksa menarik balik SD mereka kerana bakal kehilangan kerusi. Janganlah ulangi kesilapan yang sama dengan mereka yang kini termalu sendiri kerana ‘terlupa’ wujudnya kuasa besar yang ada pada setiap Presiden parti dan gabungan.
Perbuatan menjaja SD perlu dicela dan dihentikan
Malah sebarang tindakan mengemukakan SD seperti cadangan Fadillah dan beberapa pihak lain yang kecewa ini hendaklah dicela dan dihentikan agar kestabilan negara dapat dicapai. Sekaligus halatuju negara mampu diperkemas serta Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin yang akan dilantik ke kabinet kelak segera berusaha mengembalikan negara ke landasan yang sepatutnya.
Tindakan Fadillah ini juga bakal menyukarkan Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg atau Abang Jo menunaikan janjinya kepada rakyat Sarawak, apabila sehingga kini kerajaan pusat masih lagi diganggu-gugat dengan ‘ugutan’ SD.
Wajarkah jawatan TPM2 diberikan kepada bangsa Dayak?
Selain itu, isu siapa Timbalan Perdana Menteri Kedua (TPM2) daripada Sarawak juga masih dalam pertimbangan Perdana Menteri dan kerajaan pusat. Pertimbangan ini perlu mengambil kita komposisi kaum di Sarawak, di mana jawatan Premier dan Yang DiPertua Negeri kini disandang oleh kaum Melayu dan selaku Bumiputera terbesar di negeri tersebut dengan hampir 40 peratus, jawatan TPM2 wajar diberikan kepada bangsa Dayak. Sebagai, rekod, kerusi Ahli Parlimen Dayak juga merupakan jumlah terbanyak dalam GPS.
Datuk Alexander Nanta Linggi sebagai TPM2?
Ini bagi memastikan kemaslahatan dan hal ehwal kumpulan etnik di bawahnya seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu serta Bumiputera lainnya terjaga dengan sempurna dan pembahagian kek ekonomi terjaga sepenuhnya.
Datuk Alexander Nanta Linggi selaku Setiausaha Agung PBB juga dilihat jauh lebih layak dan setia berbanding Fadillah yang mengintai peluang untuk menjadi TPM2 tetapi malangnya beliau mahukan Mahiaddin yang telahpun mengingkari titah YDP Agong.
Tinjauan yang dilakukan oleh rakyat Sarawak sendiri juga menunjukkan Datuk Alexander lebih popular berbanding pemimpin yang lain.
Rujuk pautan; https://m.facebook.com/questions.php?question_id=1845166065853119&mibextid=fbDxwT&
Latar belakang keluarga memainkan peranan penting
Malah, latar belakang keluarga Datuk Alexander sebagai antara pengasas pembentukan Malaysia yang disertai Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan pertimbangan oleh Perdana Menteri dan rakan baik UMNO-Barisan Nasional di Semenanjung.
Hubungan baik keluarga Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah dan keluarga Tun Datuk Abang Haji Openg juga amat terkenal di Sarawak dan menjadi contoh bagi keharmonian masyarakat Bumiputera dan Melayu di sana selama ini.
Tidak seperti Fadilah yang pro Perikatan Nasional dan masih mahukan Mahiaddin menjadi Perdana Menteri, Datuk Alexander tentu jauh lebih layak dan mampu membantu Kerajaan Perpaduan, sekaligus berupaya membantu Abang Jo menerajui Sarawak dengan lebih baik.
TPM2 diberikan kepada pemimpin setia dan bukan kepada individu yang mahu mengangkat Mahiaddin sebagai Perdana Menteri
Selain itu, Fadilah juga dilihat dalam ‘radar’ Pakatan Harapan sebelum ini dan tentu Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri akan menimbangkan perkara ini semasak-masaknya sebelum melantik siapakah TPM2 yang lebih layak untuk membantu Kerajaan pusat dan Abang Jo di Sarawak.
Jelas, Datuk Alexander lebih layak dan berkebolehan, sekaligus memperkukuh hubungan semua kaum Bumiputera dan Melayu di Sarawak daripada sebarang cubaan di luar Perlembagaan, termasuklah tuntutan kaum tertentu yang mahukan generasi ketiga mereka di’Bumiputera’kan.
Kesimpulan
Semoga teka-teki lantikan TPM2 ini dimuktamadkan tidak lama lagi dan tentunya ia hak prerogatif Perdana Menteri untuk melantik mana-mana pemimpin ke jawatan tersebut. Siapapun pemimpinnya, semoga lantikan ini mampu memperkasa hubungan baik kaum Melayu dan Dayak selama ini, sekaligus dapat membantu Premier membendung anasir-anasir yang merosakkan.