KERAJAAN DIGESA KAJI SEMULA PEMBERHENTIAN PEGAWAI KONTRAK LHDN

3.1k
SHARES
10k
VIEWS

Kerajaan Perpaduan yang baharu sahaja dibentuk digesa untuk mengkaji semula arahan pemberhentian pegawai-pegawai kontrak bergaji harian dan bulanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang telah dikeluarkan pada 2 Jun 2022 lepas. Ratusan tenaga kerja kontrak LHDN dijangka akan terkesan dengan arahan pemberhentian yang akan dikuatkuasakan hujung tahun ini.

Gesaan ini bertujuan bagi memberi keadilan kepada pegawai-pegawai kontrak ini kerana ada di antaranya yang sudah lama berkhidmat selama bertahun-tahun tetapi masih tidak diserap. Selain itu, ramai juga daripada mereka telahpun berkeluarga dan tentu arahan pemberhentian ini menyukarkan mereka mencari kerja lain dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum pulih sejak pandemik melanda. Sewajarnya Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk ini boleh membantu mereka mencari jalan keluar jika LHDN sendiri tidak mahu berbuat demikian. 

Selain itu, bukankah lebih baik LHDN mencari jalan agar pegawai-pegawai kontrak ini diserap berbanding membuat pengambilan baharu yang tentunya menambah kos dan masa untuk melatih sedangkan pegawai kontrak berpengalaman sudahpun tersedia. Malah, difahamkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Mohd Nizom Sairi sendiri sebelum ini pernah berjanji tidak akan membuang pegawai-pegawai kontrak tersebut malah turut berjanji akan menyerap mereka ke LHDN.

Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dirayu oleh seluruh warga kontrak bergaji harian dan bulanan LHDN yang akan diberhentikan hujung tahun ini agar campur tangan serta meneliti segera arahan pemberhentian yang berlaku ini.

YAB Perdana Menteri juga dirayu agar pihak kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian sekiranya LHDN tetap berkeras mahu menamatkan perkhidmatan kontrak mereka. Mereka berharap, mana-mana CEO LHDN yang akan dilantik selepas ini mampu menunaikan janji agar tidak menamatkan kontrak atau setidak-tidaknya membantu mereka untuk diserapkan ke jabatan atau unit lain – demi memastikan kebajikan pegawai-pegawai kontrak ini terus terjaga. 

Justeru, sewajarnya perkara ini diselesaikan segera bagi memberi keadilan kepada seluruh warga kontrak bergaji harian dan bergaji bulanan LHDN yang terlibat kerana kontrak mereka akan ditamatkan pada 31 Disember ini. Dalam masa yang sama rakyat juga tidak mahu ada ‘elemen-elemen’ tidak perlu yang akan menjejaskan dan memberi imej buruk kepada Kerajaan Perpaduan yang baharu sahaja ditubuhkan. Semoga jalan penyelesaian dapat dimuktamadkan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts