KENAPA MAHATHIR MASIH ‘MERATIB’ NAMA NAJIB?

108
SHARES
348
VIEWS
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah berusia lanjut sepatutnya memperbanyakkan amal ibadat serta amalan-amalan yang baik apatah lagi beliau kini sudahpun 97 tahun, bukannya kerap mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan dendam kesumat terbuku di dada.
Mungkin beliau berasa amat tertekan dan rasa bersalah tidak terhingga kerana menganiaya Dato Seri Mohd Najib Tun Razak selama ini tetapi masih mahu bersikap hiprokit dengan menafikan pembabitannya. Oleh kerana itulah sehingga kini Mahathir tidak berhenti ‘meratib’ nama Najib, Najib walaupun sudah hampir setengah tahun bekas Perdana Menteri keenam itu dipenjarakan. Mungkin asbab sumpah laknat Najib dahulu membuatkan Mahathir sehingga kini tidak boleh tidur malam dan sering tidak keruan. 
Malah pada hari Jumaat lepas, di penghulu hari yang muliapun beliau sanggup memfitnah Najib kononnya sebagai meruntuhkan akhlak orang Melayu serta meyakinkan mereka agar tidak perlu berasa malu kerana ‘boss’ mereka mencuri duit.
Apa nak malu. ‘Boss’pun tak malu bila curi berbillion. Inikan pula sedikit sahaja. Nak malu apa. Inilah Melayu Najib. Sampai bila-bila pun Kerajaan Malaysia akan terdiri dari pencuri. Yang tak ada duit dan tidak sogok akan kalah. Benarlah Malaysia negara kleptokrasi. Negara pencuri” – sedangkan bukankah Najib kini terhumban di penjara dan bukannya bebas seperti beliau, di mana sepatutnya kebebasan ini digunakan oleh Mahathir sebaik mungkin untuk bertaubat dan beramal ibadat. 
Selain itu, dalam isu fenomena “Malu apa bossku” ini, mereka yang di sekeliling Mahathirlah yang sebenarnya gagal menjelaskan perkara yang berlaku di sebalik slogan yang popular tersebut. Mahathir tidak perlu ambil peduli sangat dengan slogan anak muda yang telah digunakan sejak dahulu lagi dan bukan berkaitanpun dengan isu tidak perlu malu melakukan rasuah ataupun jenayah. Mahathir yang banyak pengalaman sepatutnya tidak terkesan langsung dengan slogan ‘biasa-biasa’ ini. 
Mahathir juga menuduh, “Najib mengajar orang Melayu supaya minta duit percuma. Dalam PRU orang Melayu rela disogok duit kerana duit yang didapati bukan kerana khidmat bekerja” – di mana Mahathir mungkin lupa yang menyogok baru-baru ini bukanlah Najib ataupun UMNO tetapi parti PAS dan Perikatan Nasional.
“RM100 percuma lebih baik dari gaji RM2,000 sebulan kerana untuk gaji, kerja diperlukan. Sebaliknya RM100 untuk undi tidak perlu kerja. Tak bagi duit tak undi. Ini jawapan pengundi PRU-15. Sebab itu yang tak bagi duit kalah” – Ya, inilah yang dilakukan oleh PAS dan Perikatan Nasional bukannya Najib, Zahid ataupun UMNO. Ini jelas tuduhan melalu dan juga fitnah. Jika mengikut logik Mahathir ini, jelas UMNO juga tidak merasuah duit kerana parti tersebut juga kalah teruk dan hanya berjaya mengekalkan 30 kerusi sahaja berbanding memperoleh hampir 80 kerusi pada PRU-14 lepas.
“Yang menang dalam PRU-15 ialah yang sogok duit. Yang mampu sogok ialah pencuri. Yang menang dan diri kerajaan adalah pencuri. Apabila pencuri jadi kerajaan, duit kerajaanpun dicuri” – Dengan bukti video yang ada maka jelas yang menjadi ‘pencuri’ ialah PAS dan Perikatan Nasional. Mungkin pasukan Mahathir perlu menegur beliau agar sentiasa membetulkan fakta untuk tidak dilihat hanya menuduh secara melulu. Zaman ini bukan lagi zaman surat layang seperti pernah beliau lakukan suatu ketika dahulu.
Perikatan Nasionallah yang terang-terangan merasuah pengundi. Malah Haji Hadi juga secara langsung mengakuinya tetapi berdalih dengan mengatakannya sebagai ‘sedekah’. Ini sepatutnya sudah cukup membuktikan PAS mengamalkan rasuah kerana Haji Hadi sendiri sudahpun mengakuinya. Kenapa Mahathir tidak ‘menghalakan’ kemarahannya ini kepada Haji Hadi, Mahiaddin atau Perikatan Nasional? Apa yang masih sakit hati sangat dengan Najib sedangkan beliau kini menderita di penjara? 
Apapun, mungkin Mahathir lupa bahawa selama ini di bawah pentadbirannya selama 22 tahun dan kali kedua selama 22 bulan, beliaulah yang ‘menyuburkan’ amalan kleptokrasi, kronisme dan nepotisme. Malah amalan ‘kartel’ juga subur daripada dahulu sehingga kini sehingga budak sekolah rendahpun boleh menyenaraikan nama-nama rakan kroni bilionair Mahathir seperti Vincent Tan, Robert Kwok dan Ananda Krishnan. Malah anak cucu Mahathir sendiripun kaya-raya dan bertaraf bilionair tidak seperti anak Najib ataupun pemimpin lain. Sehinggakan taikun yang membeli syarikat roti beliau yang tidak laku itupun menerima habuan sebuah bandar untuk dimajukan tidak lama selepas Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua. 
Tetapi, untuk berlaku adil kepadanya, perlu ditanyakan kepada Mahathir adakah beliau boleh menamakan seorang bilionair yang boleh dikaitkan sebagai kroni Najib? Atau namakan siapa anak Najib yang mempunyai pelbagai perniagaan dalam dan luar negara serta bergelar bilionair seperti anak dan cucunya? Malah Mahathir itu sendiri sudah terlalu kaya-raya dan bertaraf bilionair namun dendam kesumat masih membara. 
Apapun, sedikit pesanan buat Mahathir, dunia ini hanya sementara dan akhirat itu jua yang kekal abadi. Dunia ini jika bertaraf bilionair sekalipun tetap akan merangkak di akhirat mencari orang yang dianiayanya dahulu. Dunia mungkin boleh terlepas tetapi di akhirat kelak pasti dan pasti tidak akan terlepas atas penganiayaan yang dilakukan. Bukan hanya Mahathir, tetapi sesiapa jua yang terlibat menganiaya bersamanya. 
Justeru, cukup-cukuplah Mahathir ‘meratib’ nama Najib hari-hari, beliau sudahpun dihukum mengikut ‘skrip’ yang anda sendiri sediakan. Jangan nafikan rasa bersalah yang kini sangat membebankan anda selama ini sehingga terpaksa meratib dan menyebut namanya setiap hari seolah-olah itulah zikir anda seharian. Segeralah bertaubat dan minta maaflah kepada Najib yang anda aniaya sebelum terlambat. Kelak harta anda anak-beranak ditambah harta kroni bilionair anda tetap tidak mampu membantu anda di akhirat kelak.
Cukup-cukuplah dan insaflah. Jika anda tidak yakin bahawa Najib tidak bersalah, yakinlah bahawa Allah itu ada dan Allah jualah sebaik-baik Pembalas. Najib juga sudah bersumpah laknat menafikan sebarang pembabitannya, mungkin Mahathir perlu berani bersumpah juga sepertinya dan selepas itu serahkan segalanya kepada Allah Taala yang akan membuat keputusan. Setidak-tidaknya mungkin itu boleh membuatkan Mahathir tenang dan tidak lagi meratib nama Najib. 
Kepada keluarga Najib, redalah atas apa yang Allah Taala tetapkan dan bersabarlah dengan ujian-NYA. Teruskan perjuangan dan usaha kerana ini perintah Allah namun yakinlah Allah yang buat segala-galanya dan Allah jualah sebaik-baik Perancang. 
Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts