BERTEMU MAHATHIR, HADI BERI ‘DALIL’ SALAH UNTUK YAKINKAN PENYOKONG SENDIRI

80
SHARES
257
VIEWS

Tiada masalah untuk pemimpin-pemimpin PAS bertemu bekas Perdana Menteri dua kali iaitu Tun Mahathir Mohamad. Malah ia satu tindakan yang mulia kerana amalan ziarah ini amat dituntut dalam Islam.

Cuma apa yang salah dan dikesalkan ialah apabila Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang berkata bahawa sesi pertemuan di antara pemimpin PAS dan Mahathir yang turut disertai Sekreteriat Proklamasi Orang Melayu itu sebagai “kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam”.

Timbul juga persoalan adakah selama ini prinsip perjuangan PAS bukanlah berlandaskan Islam kerana kenapa apabila berjumpa Tun Mahathir barulah Hadi kata sebegitu? Mungkin jika berjumpa DAP mahu bekerjasama maka dalilnya akan berubah dan kata inilah juga prinsip asal Islam? 

Apapun alasan Hadi, hakikatnya apa yang dikatakan oleh beliau bukan sahaja tidak tepat tetapi juga dikhuatiri jatuh fitnah ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Baginda telah menghapuskan fahaman assabiyah, iaitu perkauman ataupun “tonggak bangsa dan kaum” sejak ribuan tahun dahulu.

Malah Baginda Rasulullah yang mulia telah terangkan perkara ini ketika Hajjatul-Wada’ atau Haji Perpisahan. Baginda telah memberikan amanat penting buat umat Islam sehingga ke hari kiamat iaitu “tiada Arab melebihi Ajam dan tiada Ajam melebihi Arab”. Semuanya sama walaupun baginda sendiri berbangsa Arab.

Jelas Baginda Nabi SAW yang mulia telah menghapuskan ‘najis-najis’ assabiyah ini dengan darah dan air mata yakni menunjukkan jelas bahawa perjuangan berasaskan bangsa atau kaum ini tiadapun dalam Islam. Tetapi Hadi pula mengatakan sebaliknya walaupun sepatutnya tahu ia tidak benar. 

Naratif “perjuangan berasaskan bangsa dan kaum ini sebagai perjuangan asal Islam” hanyalah pandangan dan tafsiran Hadi, tanpa bersandarkan kepada mana-mana ayat Al-Quran ataupun hadis. Jika ada, sila minta seluruh ulamak PAS bawakan bukti untuk disemak oleh jumhur ulamak, bukannya sesuka hati mengeluarkan dalil yang menguntungkan dirinya dan PAS. 

Malah Hadi sendiri tidak layak mahu mengaitkan pertemuan tersebut sebagai asal perjuangan Islam, apatah lagi mahu memperguna nama Baginda Rasulullah SAW demi kepentingan sendiri.

Jika benar beliau mahu berjumpa Tun Mahathir atau Sekretariat Proklamasi Orang Melayu atas maksud perpaduan, berjumpa sahajalah, tidak perlu memutar-belitkan perihal agama. Malah boleh dapat pahala ziarah serta pahala menyantuni orang yang jauh lebih tua.

Jika mahu meminta Tun Mahathir mendoakan dirinya dan juga parti PAS juga tiada masalah. Mahu berbincang bagaimana mahu menebuk atap dan tumbangkan kerajaan juga tidak menjadi isu kerana itu hak mereka.

Mahu Tun Mahathir dan partinya yang tiada kerusi mengepalai Perikatan Nasional juga tidak mengapa kerana itu juga hak mereka sepenuhnya. Tetapi untuk sabitkan atau kaitkan dengan agama dan Baginda Rasulullah SAW, ini satu dosa besar dan amat melampau.

Janganlah memandai-mandai mengada-adakan sesuatu perkara yang tiada dalam agama kerana Nabi sendiri mencela perbuatan tersebut. 

Jika ada yang mahu mempertikai, sila cari sebarang dalil melalui Al-Quran dan hadis, yang boleh membantu menjelaskan ‘amanat’ baharu Hadi ini. Sila cari sebarang ayat Al-Quran atau hadis yang mengatakan bahawa perjuangan memerlukan tonggak bangsa, atau sebarang hadis yang membenarkan perkara ini.

Tentu tiada kerana agama yang Rasulullah SAW bawa ini sudahpun sempurna dan tidak perlu ditokok-tambah oleh Hadi. Apa yang Hadi cakap itu bukannya hadis maka tidak perlu diikut atau percaya. 

Inilah beza amanat Baginda Nabi SAW yang sentiasa benar dengan ‘amanat’ Haji Hadi yang sentiasa berubah-ubah.

Justeru, cukup-cukuplah Hadi menggunakan agama untuk partinya, mahu berpolitik sampai usia lanjut seperti Tun Mahathirpun tidak mengapa tetapi janganlah mengeluarkan kenyataan yang nampak seperti ‘agama’ tetapi hakikatnya bertentangan dengan agama. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts