MENGENANG JASA BAKTI ALLAHYARHAMAH DATUK HASANAH, BEKAS KP MEIO MALAYSIA

283
SHARES
914
VIEWS

SURAT PEMBACA | Innalillahiwainnailaihirojiun, Al-Fatihah kepada Datuk Hasanah Abdul Hamid, bekas Ketua Pengarah Perisikan Malaysia atau nama rasminya MEIO (Malaysian External Intelligence Organisation) yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 5 Mei 2023 lepas.

Hanya selepas lima bulan pemergiannya barulah saya berhasil menghabiskan tulisan ini dengan bantuan seorang dua rakan komuniti di Malaysia. Mereka juga berjanji akan mencuba hantar kepada beberapa portal berita yang ‘friendly‘ untuk disiarkan. Secara peribadi, saya sudah cukup berpuas hati hanya dengan menulisnya dan disebarkan sesama rakan komuniti sahaja namun bantuan rakan-rakan itu juga amat saya hargai.

Di sebalik rakan-rakan yang menghadiri majlis pengkebumian beliau bagi memberi penghormatan terakhir pada Mei lepas, saya difahamkan ramai juga yang terkejut dan terkilan kerana tidak dapat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada keluarganya.

Saya juga difahamkan ada dalam kalangan mereka tidak sempat meminta maaf atas penganiayaan atau apa jua yang dilakukan terhadap Allahyarhamah semasa hidupnya. Saya tidak mahu memperincikan apa yang dilaluinya sebaik sahaja selepas kerajaannya tumbang, cuma saya amat berharap segala jasa bakti beliau dihargai sebaiknya.

Menyorot sedikit mengenai Allahyarhamah Datuk Hasanah semasa hidupnya, seumpama pepatah Melayu, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia pergi meninggalkan nama“, sebegitulah dirinya di mata kami yang tinggal di negara jiran yang kecil ini.

Menurut rakan-rakan kami di Malaysia, Allahyarhamah Datuk Hasanah sewajarnya dianugerahkan gelaran “Tan Sri”, dengan mengikut protokol penganugerahan gelaran di Malaysia yang dianugerahkan oleh YDP Agong. Difahamkan, gelaran ini merupakan gelaran tertinggi boleh diberi kepada penjawat awam di Malaysia. Agak berbeza di Singapura atau Amerika Syarikat kerana individu yang berkhidmat tidak akan menerima sebarang gelaran melainkan “satu bintang” diberikan atas jasa bakti mereka untuk negara masing-masing.

Walaupun tidak mengenalinya secara peribadi tetapi jangan dilupakan bahawa Allahyarhamah Datuk Hasanah mencatat sejarah sebagai wanita Muslim bertudung pertama di dunia dilantik oleh Kerajaan Malaysia (ketika itu di bawah Datuk Seri Najib) bagi menerajui sebuah agensi perisikan. Tiada lagi mana-mana negara (Muslim) sehingga kini yang berani mengangkat seorang wanita sebagai chief intel mereka. MEIO menjadi amat berpengaruh di bawahnya sepanjang pengetahuan komuniti serantau.

Semoga keselamatan rantau ini terus terjaga baik di bawah komuniti masing-masing, dengan cara masing-masing. Sama ada legasi MEIO ini semakin diperkasa atau melemah selepas waktu beliau, perkara ini boleh diperdebatkan secara panjang lebar yang menuntut keazaman dan tekad Perdana Menteri Malaysia jika mahu ia diperkasa dan disegani semula.

Sepertimana kata-kata nasihat S.R Nathan, bekas Presiden paling lama berkhidmat, yang juga bekas Pengarah SID (Security & Intelligence Division) Singapura iaitu;

What is often not appreciated is that in intelligence work, we sought to acquire knowledge about events, so as not to misunderstand them and jump to erroneous conclusions. That often provided reassurance that developments abroad were less of a threat than public speculation and media reporting might suggest. Rather like the diplomatic service, the job of SID was often to allay concerns, and of course not to create them.”

Jelas bahawa tugas dan tanggungjawab komuniti perisikan ini amatlah berat, apatah lagi melibatkan seorang ‘chief intel‘ yang sepatutnya dipelihara sebagai sebuah institusi dan dijaga oleh komunitinya sendiri.

Cuma malangnya arwah dijadikan “bidak catur” oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas kejatuhan sesebuah kerajaan namun peristiwa ini boleh dijadikan iktibar agar semua pihak sentiasa berwaspada dan selalu menjaga antara satu sama lain.

Apapun, legasi arwah Datuk Hasanah yang kami gelar sebagai ‘M’ dalam komuniti perisikan dan keselamatan ini diteruskan oleh pengganti selepasnya – agar berterusan mengekang aktiviti penyuluhan, pengintipan dan juga penyusupan ke rantau ini.

Janganlah menjadi seperti Israel yang amat angkuh dan berbangga selama ini dengan pelbagai kejayaan operasi intelligence oleh MOSSAD di seluruh dunia tetapi malangnya gagal di negara sendiri.

Harapan kami, kekalkanlah MEIO yang selama ini tidak diketahui agar kembali beroperasi seperti bayang-bayang – sepertimana fungsi asalnya sejak dahulu.

Oleh V, Gombak Dr, Singapura

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts