ANWAR DAN ZAHID – DR. RAMALAN YUNUS 

119
SHARES
384
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Hari ini kita menghormati DS Anwar dan DS Zahid kerana jawatan mereka sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Bukan kerana batang tubuh mereka tetapi kerana jawatan mereka.

Negara dan rakyat telah menyediakan pelbagai kemudahan agar mereka dapat bekerja dan memimpin pentadbiran negara demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negara ini. Mereka wajar dikritik oleh rakyat sekiranya tidak berkerja dengan baik.

Mereka tidak perlu dipuji oleh rakyat sekiranya bekerja dengan baik. Ini kerana rakyat telah menyediakan pelbagai kemudahan agar mereka dapat bekerja dengan baik.

Sudah menjadi kewajipan mereka untuk bekerja dengan baik dan memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Kritik prestasi kerja mereka, bukan kritik atau kecam peribadi mereka.

Mereka dilantik oleh YDP Agong dan disahkan oleh Parlimen Malaysia sebagai solusi kepada konflik politik yang wujud semenjak PRU-14 sehingga PRU-15. Disahkan di Parlimen dengan sebulat suara tanpa sebarang bantahan dari Ahli-ahli Parlimen Malaysia.

Lalu kenapa masih ada suara-suara sumbang yang terus mempertikaikan mereka dan mengecam peribadi mereka? Bukankah ini sebenarnya telah menghina dan mempertikaikan kebijaksanaan dan budi bicara Istana Negara dan juga Majlis Raja-raja Melayu?

Sampai bila kita mahu terus berpolitik dan bernegara secara sentimen dan beremosi seperti ini? Di mana hilangnya nilai moral dan etika dalam bermasyarakat dan bernegara? Di mana hilangnya akal sihat dan kewarasan kita?

Kenapa kita tidak belajar berpolitik dan bernegara dengan menggunakan akal sihat? Kenapa kita tidak mahu berpolitik dan bernegara secara bermoral dan beretika?

Sampai bila kita mahu terus mengecam peribadi pemimpin sedangkan peribadi kita sendiri belum tentu baik? Bukankah dalam proses demokrasi pemimpin yang buruk itu lahir daripada masyarakat yang buruk?

Mengapa tidak kita perbaiki dahulu akhlak dan peribadi kita sebelum mengecam akhlak dan peribadi orang lain?

Kita tidak mampu mengawal akhlak dan peribadi para pemimpin serta pentadbir dari melakukan jenayah rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa. Sekiranya berlaku salah laku seperti itu, itu bukan urusan kita. Itu urusan para penguatkuasa undang-undang dan mahkamah.

Kita hanya mampu mengawal diri kita dari segala perbuatan jenayah dan salah laku tersebut. Kita yang harus menahan diri dari terlibat dalam jenayah rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Kesimpulannya kita yang harus berjuang untuk membina akhlak mulia sebagai ahli dalam masyarakat dan negara.

Life is all about personal development.

Atas dasar itu Islam mewajibkan kita menuntut ilmu sehingga ke liang lahad. Ini supaya kita dapat memperbaiki diri kita dari masa ke semasa.

Dalam era islah dan tajdid atau restorasi dan transformasi, setiap dari kita harus fokus pada diri masing-masing. Kita harus melakukan perubahan pada diri masing-masing.

Tidak ada faedahnya kita terus mengecam akhlak dan peribadi orang lain. Kita yang harus melakukan proses islah dan tajdid itu di dalam diri kita dan keluarga.

Negara ini akan menjadi maju dan hebat sekiranya setiap dari kita berusaha untuk memajukan diri dan menjadikan diri kita hebat dalam bidang pilihan masing-masing.

Saranan saya, hentikanlah kecaman kepada DS Anwar dan DS Ahmad Zahid Hamidi. Berikanlah peluang kepada mereka dan Kerajaan Perpaduan untuk beraksi dan berprestasi.

Masih terlalu awal untuk kita semua menghukum prestasi mereka dan Kerajaan Perpaduan. Sekiranya benar mereka gagal, hukum mereka pada PRU-16 nanti.

Sehingga itu berikanlah sepenuh sokongan kepada mereka.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts