KONFLIK REMPANG – IBARAT KERA DI HUTAN DISUSUKAN – DR. RAMALAN YUNUS 

246
SHARES
792
VIEWS

Peristiwa yang berlaku di Pulau Rempang baru-baru ini sangat mengesankan dan telah melukai psikologi umat Melayu bukan sahaja di Pulau Rempang, Batam, Indonesia bahkan juga di seluruh Kepulauan Melayu Nusantara.

Demontrasi besar-besaran telah berlaku di Pulau Batam bagi membantah perintah untuk mengosongkan pulau tersebut untuk memberi laluan kepada projek Kilang Kaca milik China dan pembangunan “Eco City” mirip Pulau Sentosa di Singapura yang bernilai berbilion dolar Amerika.

Pelabur dari China telah menjanjikan untuk melabur kira-kira USD11.6 bilion untuk membina kilang pembuatan kaca dan panel solar yang kedua terbesar di dunia. Projek tersebut dikatakan akan mewujudkan sejumlah 35,000 peluang pekerjaan dan akan menarik kira-kira USD26.6 bilion pelaburan menjelang 2080.

Biarpun pelan pembangunan Rempang telah diusahakan selama 20 tahun namun para penduduk di pulau tersebut hanya dimaklumkan pada awal September bahawa mereka perlu berpindah sebelum akhir bulan.

Perintah pengusiran atau pengosongan tersebut dikatakan telah melibatkan hampir 17 ribu orang penduduk yang menghuni kawasan pinggir pantai.

Para penduduk yang marah kerana merasa dianiaya dan dizalimi dengan perintah tersebut telah melakukan aksi demontrasi di hadapan pejabat Pemerintah Kota Batam.

Peristiwa itu telah membangkitkan sentimen dan solidariti umat Melayu di seluruh Kepulauan Melayu Nusantara. Banyak pihak dari pelbagai organisasi masyarakat telah bangkit bersuara untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Pemerintah Indonesia kepada para penduduk di pulau tersebut.

Ini kerana para penduduk di situ telah menjadi penghuni di pulau tersebut semenjak tahun 1800-an lagi. Mereka adalah dari keturunan para perajurit Kesultanan Melayu Riau Lingga suatu masa dahulu.

Umat Melayu marah kerana atas nama pelan strategik pembangunan dan undang-undang, pihak Pemerintah Indonesia dengan segala kekuatan negara telah sanggup merampas hak rakyat mereka sendiri dengan mengenepikan segala prinsip hak asasi manusia.

Ini tidak ubah seperti perlakuan para penjajah suatu ketika dahulu yang datang ke Kepulauan Melayu Nusantara untuk merompak dan merampas segala kekayaan yang menjadi hak kepada kaum peribumi.

Peristiwa seperti ini boleh diibaratkan seperti pepatah Melayu lama, ” kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan”. Janganlah bersikap seperti itu terhadap rakyat sendiri hanya kerana inginkan pelaburan asing dan mahu meraikan para pelabur dari luar.

Tidak salah untuk merancang pembangunan negara. Namun yang lebih penting utamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat kita sendiri terlebih dahulu.

Perhitungan di Pulau Rempang melangkaui batas perekonomian dan undang-undang. Ia juga turut menyentuh soal agama, budaya, hak rakyat dan hak asasi manusia secara amnya.

Kepada pemerintah Indonesia dan Malaysia, ingin saya mengingatkan agar berhati-hati dengan sebarang pelaburan dan kerjasama dari China. Mereka bukan sekadar datang untuk melabur dan berdagang. Tetapi mereka juga sebenarnya mempunyai agenda geopolitik dan geostrategi.

Kita di Kepulauan Melayu Nusantara ini memang sentiasa menjadi perhatian yang istimewa daripada kuasa-kuasa besar dunia sejak dari zaman dahulu lagi kerana kekayaan hasil bumi dan lokasi kita yang strategik.

Sudah sampai masanya kita harus bangkit sebagai bangsa Nusantara dan menjadi kuasa ketiga ekonomi dunia bagi mengimbangi persaingan di antara kumpulan G7 dan BRICS.

Ini bagi mengelakkan kita dari menjadi mangsa kepada strategi “Colonization 5.0” dari kuasa-kuasa besar dunia yang sedang bersaing hebat pada masa ini.

Borneo Economic Community atau BEC yang baru sahaja ditubuhkan di Jakarta harus memainkan peranan yang penting pada era ini demi kemakmuran dan kesejahteraan seluruh Kepulauan Melayu Nusantara.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts