MEMBONGKAR KES ALBERT TEI: PEMBERI RASUAH ATAU ‘WHISTLEBLOWER’?

65
SHARES
209
VIEWS

Skandal yang berkaitan lesen perlombongan di Sabah telah meletakkan nama ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing dalam lensa perhatian rakyat di seluruh negara, malah negara luar turut melihat isu ini dengan penuh minat dan dari dekat. Terkini pada penghujung 2025, iaitu sebelum PRN Sabah, Albert Tei mendedahkan beberapa rakaman video yang dirakam secara rahsia, memaparkan perbincangan antara ahli politik di Sabah berhubung dakwaan bayaran bagi mendapatkan hak perlombongan.

Beliau mendakwa pendedahan itu dibuat dengan pengetahuan pihak tertentu, serta berdasarkan kefahaman bahawa beliau akan mendapatkan kembali wang suapan yang telah diberikannya sebelum ini kepada beberapa pemimpin di Sabah.

Namun, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan satu pandangan atau satu sudut berbeza terhadap dakwaan Albert Tei ini, apabila beliau sendiri didakwa atas kesalahan memberi rasuah. Ini menimbulkan persoalan utama iaitu, “Adakah Albert Tei ini seorang wira pendedah maklumat (whistleblower), atau sebenarnya ahli perniagaan yang terlibat secara langsung dalam konspirasi rasuah?

Sehubungan itu, analisis di bawah oleh Editor Malaysia meneliti segala fakta, pertuduhan dan naratif berkaitan dalam kes berprofil tinggi ini.


LATAR BELAKANG KES RASUAH  PERLOMBONGAN SABAH

Albert Tei, seorang ahli perniagaan berpangkalan di Selangor, muncul sebagai figura utama sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah pada November 2025 dengan pendedahan panas kononnya beliau telah membayar rasuah kepada beberapa pemimpin GRS termasuk yang berjawatan menteri di Sabah.

Beliau tampil dengan beberapa rakaman video yang kononnya turut mengaitkan pemimpin tertinggi Sabah — termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor — serta ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dalam perbincangan berkaitan urusan wang untuk pemberian lesen (sebagai rekod, tiada sebarang audio ataupun video yang melibatkan Hajiji sendiri).

Kemudian, dalam salah satu rakaman utama bertarikh 25 November, seorang wanita yang dikatakan sebagai proksi kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendakwa bahawa Shamsul dan Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim sendiri turut mengetahui serta kononnya mengatur rakaman tersebut – berdasarkan ‘hear say‘ pihak ketiga dan bukannya audio atau video rakaman yang membuktikan Perdana Menteri turut terlibat.

Albert Tei pula mendakwa beliau telah membelanjakan hampir RM629,000 untuk Shamsul — merangkumi pengubahsuaian rumah, sut tempahan khas, cerut dan wang tunai — dengan sangkaan bahawa Shamsul akan membantunya mendapatkan semula wang yang telah ‘disalurkan’ kepada ahli politik Sabah. Pendedahan ini mencetuskan kegemparan dan desakan awam supaya siasatan dijalankan, sekali gus membuka laluan kepada tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat. 

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa dengan pantas menegaskan bahawa Tei bukan pemberi maklumat yang dilindungi, sebaliknya salah seorang pelaku atau pemberi rasuah dan kesalahannya itu akan disiasat sepenuhnya.

Pada 2 Disember 2025 pula, pihak SPRM mengumumkan bahawa Albert Tei dan Shamsul (yang ketika itu sudah meletakkan jawatan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri), masing-masing akan menghadapi empat pertuduhan rasuah. Pada 4 Disember, kedua-duanya telah dihadapkan dan didakwa di mahkamah. Tei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan rasuah berjumlah kira-kira RM176,829, manakala Shamsul juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan tersebut.

Pertuduhan mendakwa Tei memberi Shamsul RM140,000 wang tunai serta barangan bernilai kira-kira RM36,000 dalam bentuk perabot dan peralatan elektrik antara November 2023 hingga Mac 2024, sebagai balasan untuk mempercepatkan permohonan lesen perlombongan yang melibatkan beberapa syarikat Tei di Sabah. Beliau telah dibenarkan ikat jamin sebanyak RM70,000 serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Albert Tei juga dikaitkan dengan kes pemberian rasuah lebih awal di Sabah pada pertengahan 2024, di mana beliau mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada bekas ADUN Sabah — Andi Suryady (RM150,000) dan Dr. Yusof Yacob (RM200,000) pada tahun 2023, bagi membantu kelulusan lesen mineral. Perbicaraan kes ini dijadualkan pada April 2026.


RINGKASAN KES UTAMA

  • Pertuduhan di Kuala Lumpur (Disember 2025):
    Tei menghadapi empat pertuduhan rasuah kerana didakwa menawarkan RM100,000, RM40,000 wang tunai dan barangan bernilai RM36,000 kepada Shamsul. Shamsul menghadapi pertuduhan selari sebagai penerima rasuah. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
  • Pertuduhan di Sabah (Perbicaraan April 2026):
    Tei didakwa memberi RM200,000 kepada Dr. Yusof pada 6 Mac 2023 dan RM150,000 kepada Andi pada 12 Mei 2023 untuk mempercepatkan kelulusan lesen. Beliau mengaku tidak bersalah.
  • Status pemberi maklumat:
    Tei memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, namun permohonan itu ditolak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Azam merujuk Seksyen 11(1) akta tersebut yang menafikan imuniti kepada individu yang terlibat dalam kesalahan yang dilaporkan.
  • Siapa Sofia Rini Buyong?
    SPRM mengenal pasti wanita dalam rakaman sebagai Sofia Rini, yang dikatakan ‘proksi’ kepada Shamsul. Beliau ditahan ketika siasatan tetapi kemudian dijadikan sebagai saksi pendakwaan. Dalam rakaman awal, Sofia menyokong naratif Tei, namun kemudiannya menarik balik kenyataan dan mendakwa wujudnya konspirasi.

DAKWAAN TEI DAN BUKTI YANG DIDEDAHKAN

Albert Tei menggambarkan dirinya sebagai pemberi maklumat (whistleblower) yang terpaksa bertindak setelah mendokumentasikan rasuah peringkat tinggi secara senyap. Beliau mendedahkan rakaman audio dan video yang memaparkan perbincangan ahli politik Sabah mengenai bayaran bagi lesen perlombongan. Sehingga kini tiada sebarang rekod menunjukkan bahawa Albert Tei atau syarikatnya telah menerima sebarang lesen ataupun projek.

Dalam rakaman menunjukkan beliau berkali-kali berkata sebagai sudah memberikan wang kepada individu tertentu untuk habuan lesen atau projek tertentu di Sabah, sedangkan kalau whistleblower sebenar, beliau tidak perlu memberikan rasuah untuk sebarang habuan sebaliknya whistleblower ialah “individu yang mendedahkan maklumat berlakunya rasuah”  – tanpa melibatkan diri dalam perbuatan keji memberi atau menerima rasuah demi untuk mendapatkan habuan  atau kontrak. Oleh kerana itu mungkin atas alasan ini boleh disimpulkan kenapa permintaan beliau mendapatkan ‘imuniti’ sebagai pemberi maklumat telah ditolak oleh pihak kerajaan.

Dalam satu pertemuan lain yang turut dirakam, wanita yang dikenal pasti sebagai perantara Shamsul bersetuju bahawa perbelanjaan hampir RM630,000 oleh Tei terhadap Shamsul bertujuan sebagai  “leverage” untuk mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat kepada ahli politik Sabah. Tei mendakwa beliau hanya bertindak mendedahkan maklumat selepas dijanjikan oleh tokoh Persekutuan bahawa wang tersebut akan dipulangkan.

Dalam perkembangan lain, beberapa penganalisis mengakui bahawa bukti Tei mempunyai kekuatan tersendiri dalam membongkarkan salah laku rasuah. Laporan media sebelum PRN Sabah menyatakan bahawa Tei telah menyalurkan dana hampir RM629,000 kepada Shamsul untuk pengubahsuaian rumah, cerut dan sut khas. Rakaman video itu pula jelas memaparkan rundingan mengenai jumlah suapan.

Penyokong Tei berhujah bahawa tanpa rakaman tersebut, dakwaan rasuah berprofil tinggi ini mungkin tidak akan terbongkar. Peguamnya, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, menyifatkan Tei sebagai “ikan kecil” yang sepatutnya dilindungi, bukan didakwa. Mereka membandingkan kes ini dengan beberapa kes lampau di mana pemberi rasuah dijadikan saksi dan tidak didakwa demi membongkar siapa pelaku atau dalang utamanya.


PENDAKWAAN RASMI: FOKUS TERHADAP PERANAN TEI

Kes pendakwaan SPRM menumpukan kepada rekod pembayaran dan pengakuan Tei sendiri. Dokumen mahkamah menyatakan Tei didakwa memberi ‘gratifikasi’ bernilai RM176,829 kepada Shamsul, termasuk wang tunai dan barangan. Pertuduhan menyenaraikan tarikh, lokasi dan jenis bayaran secara terperinci. Tei dan Shamsul masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Bagi kes Sabah pula, pertuduhan menyatakan bayaran dibuat di sebuah hotel dan kediaman peribadi sebagai balasan lesen cari gali mineral. Jika sabit kesalahan, Tei berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan selain dikenakan denda yang berat.


PEMBERI MAKLUMAT vs PENDEKATAN ANTI-RASUAH

Perdebatan utama ialah sama ada Tei layak dianggap sebagai pemberi maklumat atau whistleblower, malah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyediakan perlindungan kepada individu yang melaporkan rasuah secara sulit. Namun, SPRM menegaskan perlindungan itu tidak terpakai kepada individu yang terlibat dalam kesalahan. Dalam kedua-dua kes yang berlaku jelas menunjukkan pengakuan Albert Tei sendiri bahawa beliau memberikan rasuah bagi mendapatkan habuan lesen atau projek. Apabila gagal maka barulah beliau bertindak membocorkan maklumat pemberian wang tersebut.

Peguam Tei dan aktivis anti-rasuah pula berhujah bahawa pendekatan tegas ini boleh melemahkan usaha membanteras rasuah, kerana orang dalam yang mempunyai bukti mungkin takut tampil ke hadapan. Sungguhpun begitu, jika whistleblower tidak terlibat dengan rasuah sama ada memberi atau menerima tentu tiada apa yang hendak ditakutkan. Dalam kes yang hangat ini jelas Albert Tei ada memberi suapan bagi mendapatkan sebarang habuan namun tidak kesampaian. Kes Albert Tei ini menurut kaca mata masyarakat biasa ialah beliau ini sebenarnya berkemungkinan besar telah kena ‘scam‘ oleh ahli politik dan ‘circle’ mereka. Wang telah diserah tetapi apapun tidak dapat.


REAKSI DAN IMPLIKASI

Reaksi awam terbahagi kepada beberapa pandangan dan naratif. Pertama, ada yang melihat Tei sebagai “ikan kecil”  yang menjadi mangsa kepada sistem yang menghukum individu sepertinya sementara mereka yang lebih berkuasa tidakpun disentuh. Selain itu, ada juga yang mempersoalkan penahanannya secara terbuka dan agresif. Walaupun SPRM mempertahankan tindakan mereka dan menegaskan siasatan dijalankan mengikut proses dan bukti, ia dilihat tidak ‘clean‘ dan menimbulkan persoalan Albert Tei kenapa dilayan seperti pengganas? Ini naratif umum terhadap ‘cara’ penahanannya bukan mengenai kes beliau memberi rasuah yang jelas salah.

Kes melibatkan Albert Tei ini juga dilihat sebagai cabaran utama kepada kerangka anti-rasuah Malaysia. Sama ada siasatan akan menjurus kepada tokoh yang lebih besar seperti pandangan sesetengah pihak atau berakhir dengan tertuduh sedia ada sahaja – yang akan membentuk persepsi awam terhadap kerangka keadilan dan ketelusan, sama ada setuju ataupun tidak, ia merupakan perkara berasingan.

Selain itu integriti pihak terlibat yang menerima wang sama ada sebagai suapan bagi membantu mendapatkan habuan (walaupun realitinya tiada lesen atau projek disalurkan), ia tetap menjejaskan kredibiliti penerimanya.


KESIMPULAN: HERO ATAUPUN ZERO?

Kes Albert Tei ini bukanlah satu kes ‘straightforward‘ yang mudah disimpulkan. Bukti menunjukkan beliau membayar sejumlah besar wang untuk mendapatkan lesen ataupun kontrak, walaupun tidak dapat namun pada masa yang sama, seolah-olah isu pemberian wang bagi mendapatkan lesen atau projek itu satu perkara rutin ataupun biasa selama ini. Cuma dalam kes Albert Tei ini nampaknya beliau lebih awal telah di-scam kerana syarikatnya tidak memperoleh apa-apa walaupun selepas berhabis jutaan ringgit untuk ‘melobi’ lesen dan projek.

Akhirnya, sama ada Tei akan dikenang masyarakat sebagai pemberi maklumat atau sebagai seorang pelaku rasuah yang terperangkap oleh tindakan tamaknya sendiri – perkara ini hanya bergantung kepada hala tuju siasatan seterusnya dan keputusan mahkamah. Apa yang pasti, kes ini telah menghidupkan semula perbahasan mengenai perlindungan terhadap pemberi maklumat (whistleblower) dan keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia.

Justeru, sedikit nasihat buat ahli perniagaan besar di luar sana, usahlah membuka ruang kepada rasuah berleluasa di negara ini, sama ada anda mahu memberi rasuah atau melobi projek dengan cara yang salah dan bertentangan dengan undang-undang. Sebaliknya wujudkanlah ekosistem perniagaan yang lebih baik dan sifar rasuah – yang akan menentukan masa depan negara dan hala tuju anak bangsanya. 

Related Posts