ANWAR BERI AMARAN KERAS SEGERA ATASI RASUAH, PENYELUDUPAN DAN AKTIVITI GELAP

64
SHARES
205
VIEWS

Semasa menyampaikan amanat kepada pasukan penguatkuasa negara, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim sekali lagi memberikan amaran dan teguran keras agar segala kelompongan serta kelemahan yang mencemar integriti penguatkuasaan diperbetulkan tanpa berlengah.

Sekiranya amanah yang dipikul dirasakan terlalu berat, atau godaan serta tekanan luar menimbulkan keraguan untuk bertindak tegas dan berprinsip, maka berterus teranglah dan berilah laluan kepada individu lain yang lebih bersedia, berani dan berintegriti untuk memikul tanggungjawab ini.

Harus diingat, jawatan yang disandang bukan perhiasan atau keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian membuat keputusan yang benar, walaupun tidak popular dan sarat dengan risiko.

Penyeludupan, rasuah serta kegiatan gelap tidak boleh sama sekali dinormalisasikan apatah lagi jika ia berlaku dengan kelonggaran atau perlindungan oleh mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang. Ini adalah pengkhianatan terhadap negara dan rakyat.

YAB Perdana Menteri juga menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk sikap sambil lewa, kompromi murahan atau tolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan amanah. Tindakan tegas mesti diambil tanpa memilih bulu.

Rakyat menuntut pembaharuan yang nyata, bukan retorik kosong. Justeru, setiap agensi penguatkuasaan wajib membuktikan perubahan melalui tindakan, disiplin dan ketelusan, serta bekerja sebagai satu pasukan demi memulihkan maruah institusi, bangsa dan negara.

Related Posts