IKATAN PERSURATAN MELAYU HARGAI 39 PENULIS PROLIFIK

Melaka – Di sebalik dunia penulisan yang sering sunyi tanpa sorakan, 40 penulis tanah air akhirnya diberi cahaya pengiktirafan yang jarang mereka terima — penghormatan atas tinta yang membentuk pemikiran bangsa.

Ikatan Persuratan Melayu (IPM) terus memperkukuh peranannya dalam ekosistem penulisan negara apabila mengiktiraf 39 penulis prolifik tanah air melalui Anugerah Tinta Inspirasi IPM 2025/2026 yang telah disampaikan oleh YB Datuk Rosli Abdullah dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Kuala Sungai Baru Resort, baru-baru ini.

Anugerah yang dianjurkan buat kali kedua itu menjadi simbol penghargaan IPM terhadap penulis-penulis yang bukan sahaja aktif berkarya, tetapi turut dilihat berpotensi besar menjadi suara penting dalam memartabatkan dunia persuratan Melayu.

Menurut IPM, penerima anugerah ini bukan sekadar individu yang menghasilkan karya, tetapi turut berperanan sebagai “duta tidak rasmi” persatuan dalam memperluas pengaruh IPM ke peringkat lebih tinggi, selain membantu memperkasa ekosistem penulisan negara yang merangkumi karya fiksyen dan bukan fiksyen.

Ditubuhkan secara rasmi pada 27 Oktober 1950, Ikatan Persuratan Melayu (IPM) merupakan antara persatuan sastera tertua di Malaysia. Sepanjang penubuhannya, IPM memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kebudayaan Melayu, memperkasakan bahasa Melayu serta mengangkat martabat persuratan ke peringkat lebih luas, termasuk peringkat antarabangsa.

Berpusat di Melaka, IPM turut aktif bekerjasama dengan badan induk seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam pelbagai program kesusasteraan dan pembangunan penulis.

Dalam majlis tersebut, salah seorang penerima Anugerah Tinta Inspirasi IPM 2025/2026, Ts. Dr. Mohd Hairul bin Haji Mohd Salleh, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu detik yang amat bermakna dalam perjalanan beliau sebagai penulis.
Beliau berkata, ini merupakan anugerah penulis ketiga yang diterima beliau pada tahun ini, sekali gus menjadi penguat semangat untuk terus berkarya dengan lebih konsisten dan berkualiti.

Sebagai seorang penulis dan ahli IPM, saya amat terharu dengan pengiktirafan ini. Ia bukan sahaja satu penghargaan peribadi, tetapi juga menjadi pemangkin semangat untuk saya terus menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus bersama IPM dalam memperkasakan dunia penulisan tempatan, khususnya dalam mengangkat karya-karya yang mampu memberi nilai kepada masyarakat, sama ada dalam genre fiksyen mahupun bukan fiksyen.

Pengiktirafan ini dilihat bukan sahaja meraikan pencapaian individu, tetapi juga mencerminkan usaha berterusan IPM dalam membina jaringan penulis yang lebih dinamik, progresif dan relevan dengan perkembangan dunia penulisan semasa.

​Ts. Dr. Mohd Hairul bin Haji Mohd Salleh (Kanan) bersama ibunya Hajjah Siti Nordi binti Lambak

Penulis bertugas sebagai Penolong Pengarah Kastam di Unit Kualiti dan Inovasi, Cawangan Perancangan Strategik, Bahagian Perancangan Korporat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya. Beliau adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah Genetik, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bidang fokus penyelidikan beliau adalah;
* Perhutanan
* Biologi Persekitaran
* Biologi Pemuliharaan
* Genetik
Beliau juga penulis buku fiksyen dan bukan fiksyen yang telah dianugerahkan International Excellence Award 2026 (In the category of male writers) oleh Exceller Books, India.