HANYA YANG ‘TIDAK WARAS’ PERCAYA WHATSAPP SELAMAT — PENGASAS TELEGRAM

64
SHARES
207
VIEWS

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi mobil Telegram, Pavel Durov, berkata bahawa tidak ada alasan untuk mempercayai bahawa WhatsApp benar-benar selamat atau melindungi privasi pengguna, selepas platform itu menjadi sasaran saman terhadap pemiliknya, Meta Platforms Inc.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform X Isnin lalu, Durov secara terbuka mempersoalkan tahap keselamatan WhatsApp. Beliau menyifatkan bahawa sesiapa yang masih percaya WhatsApp benar-benar selamat pada tahun 2026 sebagai “tidak waras” kerana sistem keselamatan aplikasi tersebut didakwa mempunyai kelemahan ketara.

“Anda tentu ‘tidak waras’ untuk percaya bahawa WhatsApp selamat pada 2026. Apabila kami menganalisis cara WhatsApp melaksanakan penyulitan (encryption) mereka, kami menemui beberapa laluan serangan (attack vectors),” tulis Durov di X.

Isu ini muncul selepas satu saman kelas tindakan difailkan terhadap WhatsApp di Amerika Syarikat, yang mendakwa bahawa Meta telah memberi gambaran palsu mengenai privasi perkhidmatan tersebut.

Menurut plaintif, WhatsApp dikatakan menyimpan, menganalisis, dan berkemampuan mengakses sebahagian besar komunikasi yang sepatutnya ‘peribadi’, bertentangan dengan dakwaan penyulitan hujung ke hujung yang digunakan oleh aplikasi itu.

Sementara itu, Meta menolak keras dakwaan tersebut. Seorang jurucakap Meta, Andy Stone, berkata bahawa sebarang dakwaan bahawa mesej WhatsApp tidak disulitkan adalah tidak benar dan mengarut. Beliau menambah bahawa WhatsApp menggunakan protokol penyulitan sumber terbuka yang dikenali sebagai Signal, yang menurut syarikat memastikan mesej kekal peribadi antara penghantar dan penerima sahaja.

Menurut kenyataan rasmi WhatsApp bahawa semua mesejnya disulitkan pada peranti sebelum dihantar, hanya penerima yang dimaksudkan mempunyai kunci untuk menyahsulit, tiada akses pihak ketiga kepada kandungan mesej tersebut.

Pavel Durov sendiri sudah sekian lama mengkritik WhatsApp sebagai alat yang berpotensi untuk pengawasan (surveillance) dan menyarankan pengguna agar mempertimbangkan alternatif lain. Beliau turut berkata bahawa kelemahan yang ditemui bukan kebetulan semata-mata, tetapi menunjukkan titik lemah dalam pelaksanaan keselamatan platform tersebut.

Berita ini mencetuskan perbahasan lebih luas tentang privasi digital dan janji keselamatan aplikasi mesej popular, terutama apabila kenyataan rasmi syarikat dan pandangan pakar teknologi berbeza secara drastik mengenai “apa yang sebenarnya dilindungi”. Menakutkan tetapi itulah realitinya.

(Berita dipetik dari Russia Today)

Related Posts