Dalam usaha Editor Malaysia mengetengahkan kisah individu OKU yang bekerja, berniaga dan membina kehidupan melalui kemahiran dan pengalaman, kami memberikan ruang editorial percuma kepada mereka yang mempunyai cerita untuk dikongsi dan perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan masyarakat.
Antara yang menarik perhatian kami ialah Jahit by Iqa, oleh Puan Zulaikha Nadiah, sebuah perniagaan jahitan dari Shah Alam yang diusahakan oleh sebuah keluarga OKU Pendengaran. Bagi keluarga ini, menjahit bukan sekadar hobi. Ia adalah salah satu cara mereka membina sumber pendapatan dan berdikari.
Puan Zulaikha atau Iqa berkelulusan dari Arena Fashion & Design Institute, Shah Alam manakala suaminya pula graduan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang. Dalam kehidupan seharian, mereka terus bekerja dan mencari ruang untuk menambah pendapatan keluarga.
Suami Iqa sendiri iaitu Mohd. Syafiq Iskandar, bekerja dua pekerjaan di mana di sebelah siang beliau bekerja di sebuah syarikat penyaman udara dan kemudiannya menyambung usaha mencari rezeki dengan menjadi pemandu Grab. Ibu bapa muda ini juga mempunyai dua anak yang kini bersekolah di sekolah khas di Selangor.
PROGRAM PENDIDIKAN EKSKLUSIF PELAJAR ORANG KURANG UPAYA (PPEP OKU)
Dalam masa yang sama, Iqa meneruskan kemahiran jahitannya melalui Jahit by Iqa, kemahiran yang diperolehinya dari institut swasta dalam Reka Bentuk Fesyen. Selain Iqa, suaminya yang berkelulusan dari PIS yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Johor Bahru, juga menawarkan Sijil Khas Operasi Katering dan Sijil Khas Reka Bentuk Grafik (sjil yang diperolehi oleh suami Iqa).
Tidak kira di mana mereka belajar, ini membuktikan bahawa OKU bukanlah sembarangan selain institusi yang menawarkan kursus buat mereka perlulah dirai dan diberi perhatian kerana sumbangan besar mereka selama ini dalam memperkasa warga OKU di negara ini.
Selain PIS tempat suami Iqa belajar, terdapat empat lagi Politeknik lain yang turut menawarkan sijil untuk pelajar-pelajar OKU yang berminat iaitu;
Politeknik Ungku Omar (PUO) Perak – Sijil Khas Pembinaan
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Selangor – Sijil Khas Penyenggaraan Mekanikal
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis – Sijil Khas Operasi Katering, dan
Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Sabah – Sijil Khas Operasi Katering
Maklumat lebih lengkap dan terkini boleh didapati dari laman web politeknik tersebut, atau berhubung dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi.
KISAH KELUARGA, HARAPAN YANG SAMA
Kisah mereka sebenarnya tidak banyak berbeza daripada keluarga lain yang sedang berusaha membina kehidupan selesa iaitu bekerja, mencari rezeki dan cuba memastikan masa depan keluarga lebih baik. Cuma mereka melakukannya dengan cabaran komunikasi yang berbeza. Dunia mereka senyap, sesenyap-senyapnya namun mereka tetap bahagia, sama sahaja seperti keluarga yang lain.
JAHIT MENGIKUT TEMPAHAN
Jahit by Iqa menerima tempahan pakaian untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak. Antara pakaian yang boleh ditempah termasuk baju kurung biasa dan moden, berpesak, kurung Pahang, Kedah dan juga kurung Riau serta pelbagai lagi jenis baju kurung lama dan moden. Iqa juga menerima tempahan bagi baju kebaya, jubah, peplum, kurta lengan panjang atau pendek dan baju Melayu moden, cekak musang ataupun teluk belanga.
Pelanggan juga boleh meminta kemasan tertentu seperti puff sleeve, zip tersembunyi, renda, butang balut dan scallop hem mengikut reka bentuk yang dikehendaki.
Oleh kerana keluarga ini terdiri daripada individu OKU Pendengaran, maka semua urusan tempahan wajib dibuat melalui WhatsApp secara bertulis, bukan panggilan telefon. Cara ini sebenarnya memudahkan kedua-dua pihak kerana ukuran, reka bentuk dan arahan pelanggan dapat direkodkan dengan jelas sebelum kerja dimulakan.
Tempahan ini dibuka sepanjang tahun, sepanjang masa mengikut keperluan anda, cuma berbeza untuk tempahan di musim perayaan yang akan dihadkan kerana setakat ini Jahit by Iqa belum menggunakan khidmat pekerja tambahan, segala-galanya dijahit oleh Iqa sendirian.
TEMPAHAN KHAS BAJU RAYA 2027 — HANYA 50 TEMPAHAN DIBUKA
Jahit by Iqa kini membuka tempahan Baju Raya 2027 dengan jumlah terhad kepada 50 slot sahaja. Tempahan dibuka sehingga 31 Disember 2026, atau sehingga kesemua slot dipenuhi.
Pelanggan boleh memberikan ukuran sendiri, menghantar contoh pakaian yang sesuai dengan ukuran atau menghantar pakaian melalui pos sebagai rujukan. Bagi mereka yang sedang mencari tukang jahit untuk pakaian Raya tahun hadapan, mungkin ini satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Ini kerana pada akhirnya, maksud sokongan tidak semestinya anda memberi sesuatu secara percuma. Kadangkala, sokongan yang paling bermakna ialah dengan menjadi pelanggan.
PELUANG KEPADA USAHAWAN, PENIAGA OKU LAIN SEPERTI IQA
Sebagai makluman, Editor Malaysia kini membuka ruang editorial percuma kepada individu dan usahawan OKU yang mempunyai kemahiran, pekerjaan atau perniagaan untuk diketengahkan.
Kami ini khusus untuk daripada kami untuk menghargai dan mengetengahkan individu serta usahawan OKU yang mempunyai kemahiran, pekerjaan atau perniagaan yang wajar dikenali masyarakat.
Kami percaya bahawa setiap usaha yang dibina melalui kemahiran, ketekunan dan kerja keras berhak mendapat peluang untuk dikenali. Langkah pertama kita untuk menyokong sesuatu usaha ialah dengan mengenalinya.
Bagi yang berminat boleh menghubungi pihak Editor Malaysia di alamat emel utama kami iaitu; [email protected]
MAKLUMAT JAHIT BY IQA
Perkhidmatan: Jahitan pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak serta tempahan khas – dibuka sepanjang masa, termasuk untuk organisasi, kumpulan, pertubuhan dan juga sekolah atau institusi pengajian tinggi
Tempahan Baju Raya 2027: 50 slot sahaja Tarikh tutup: 31 Disember 2026 atau sehingga slot penuh
Lokasi: Shah Alam, Selangor (tempahan terbuka seluruh negara dan akan diposkan)
Instagram: @jahit.byiqa
WhatsApp: 017-5035078
Komunikasi: WhatsApp / mesej bertulis sahaja



