Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) akan ditukar status kepada Ombudsman Malaysia (Ombudsman bermaksud badan rasmi atau separa rasmi yang menyiasat aduan awam terhadap isu berkaitan jentera kerajaan).
Ombudsman juga akan menjadi badan bebas dan tidak akan diletakkan bawah mana-mana kementerian dan Akta Ombudsman juga akan digubal bagi pengurusan aduan yang lebih efektif.
“Tugas (Ombudsman) terhad kepada memastikan jabatan kerajaan tidak menyeleweng atau terlibat rasuah.”
“Orang ramai boleh meminta pembetulan daripada agensi terlibat.”
“Jika gagal, boleh pergi ke Ombudsman.”
Ia diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai antirasuah (JKKMR) di Putrajaya hari ini.
Turut menyertai sidang media adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Ketua Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.