Hati-hatilah dengan kata-kata kita yang kita sangka tiada apa-apa.
Ini kerana kata-kata itu juga satu doa buat kita.
Doa disertai dengan usaha untuk realitikan, dengan izin Allah akan dapat dicapai.
Namun hati-hati, kadang-kadang apa yang kita minta itu tidak semestinya baik untuk kita.
Jika baik untuk kita, belum tentu baik untuk orang lain.
Walaupun kita perlukan dan mahukan sangat ia dimakbulkan.
Apabila dimakbulkan seiring dengan usaha kita, rupanya ia bukan perkara baik untuk kita.
Akhirnya menyesal.
Contoh mudah, ramai yang mahukan Najib dan Barisan Nasional tumbang pada PRU-14.
Sehinggakan ada netizen wanita membuat siaran jika kali ini Barisan Nasional kalah dan Pakatan Harapan menang maka beliau akan benarkan suaminya berkahwin satu lagi.
Jelas niat beliau dimakbulkan namun adakah ia yang terbaik buatnya?
Adakah beliau ataupun suami dan madunya serta kaum keluarga mereka tidak terkesan dengan kecuaian, kealpaan dan bodohnya sikap Pakatan Harapan mentadbir-musnahkan negara?
Jika ada, wanita ini tentu menyesal dengan kata-katanya.
Pengundi Pakatan Harapan yang lain juga menyesal tetapi penyesalan wanita ini penyesalan berganda.
Maka hati-hati dengan apa yang kita cakap dan minta.
Seperti ingin kerja sampai mati.
Bertegas pula dengan berkata ini ‘pingat’ atau anugerah yang paling disukai.
Takut-takut Allah makbul dan anugerahkan, sesuai dengan kemahuan.
Maka itulah sahaja yang kita dapat.
Iaitu mati betul ketika sedang bekerja.
Tidak salah minta kerja sampai mati jika kerja kita itu kerja agama.
Dakwah sampai mati, ajar agama sampai mati.
Bukan kerja dunia sampai mati.
Apatah lagi jika mati ketika sedang ‘kerjakan dunia’.
Kematian datang menjemput tanpa bicara, tanpa tanda-tanda, tanpa mengenal usia.
Malaikat maut pula tidak pernah membuat kesilapan dalam kerjanya mencabut nyawa.
Malah malaikat-malaikat lainpun sama.
Jika kita kata malaikat yang tersilap, maka sebenarnya kita yang tersilap.
Allah menciptakan malaikat untuk taat dan beribadat kepadanya sampai kiamat.
Maka betulkanlah kata-kata dan yakin kita sebelum kematian datang menjelma.
Apatah lagi jika umurpun sudah purbakala atau terlalu tua.
Maut tidak mengenal tua ataupun muda, tetapi bila-bila masa.
Berniatlah dan kata ingin beribadat dan beramal sampai mati.
Bukannya pasang angan-angan kerja sampai mati.
Di penghujung usia, berehat dan beribadatlah.
Juga luangkan masa bersama keluarga.
Sebaliknya minta maaflah dengan semua yang kita rasa dengan kata-kata kita membuatkan mereka terasa.
Apatah lagi mereka yang pernah kita aniaya.
Apa yang pernah kita berjanji, maka tunaikanlah semuanya.
Kepada sesiapapun jua, apatah lagi kepada rakyat jika kita adakah pemimpin mereka.
Selagi ada kesempatan, selagi ada masa.
Sudah-sudahlah berdalih dan sibuk merencana.
Jangan ada perasaan dan sangka tanpa kita, negara akan jadi porak poranda.
Kadang-kadang kita dianugerahkan usia yang panjang semata-mata untuk semakin dekat dengan-NYA bukan untuk selamatkan negara.
Kita sahaja perasan ada ‘super power‘.
Semua yang kita suka, harta yang kita gila, anak yang kita sayangi, isteri yang kita kasihi, kroni-kroni yang kita naungi, semuanya akan kita tinggalkan.
Apatah lagi kerja, yang kita mahu buat sampai mati.
Apa yang dibawa hanyalah iman dan amal-amal kita yang masih tidak seberapa.