DR. MASZLEE TIDAK WAJAR HUKUM WARGA UNIVERSITI

121
SHARES
375
VIEWS

Menurut kenyataan terkini Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang meminta warga universiti seperti pensyarah dan jawatan kanan seperti Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor yang menyokong serta berkempen untuk kerajaan agar berundur secara terhormat.

Beliau juga telah bertemu setiap Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor secara peribadi untuk menyatakan hasrat tersebut dengan merujuk kepada arahan kabinet berkenaan Pengerusi dan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan lantikan politik perlu digantikan.

Dr. Maszlee juga menggunakan kenyataan Perdana Menteri iaitu mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang tidak sehaluan diminta berundur kerana dikhuatiri mereka akan merencatkan apa yang ingin dibawa oleh kerajaan, terutamanya manifesto, sebagai merasionalkan saranan beliau agar warga universiti mengundurkan diri secara terhormat.

Menteri Pendidikan tidak sewajarnya mengeluarkan arahan meminta warga universiti mengundurkan diri walaupun dilihat tidak sehaluan kerana selaku seorang pensyarah universiti sebelum ini, beliau sendiri sepatutnya faham dan bersikap terbuka mengenai perbezaan politik. Tidak menjadi kekangan bagi beliau sendiri untuk aktif di persada politik ketika masih menjawat jawatan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau sepatutnya meraikan perbezaan pandangan dan fahaman politik seseorang asalkan mereka tidak berpolitik ketika sedang bertugas.

Bahkan beliau turut memberi jaminan bahawa pensyarah atau jawatan kanan pada masa depan tidak akan dilantik berdasarkan keahlian parti dan universiti-universiti awam akan bebas daripada politik, namun secara politiknya beliau memberi arahan untuk berundur secara terhormat? Di manakah rasional arahan tersebut sedangkan terlihat bercanggah dengan kenyataan beliau sendiri.

Beliau berhasrat agar seluruh universiti dibebaskan daripada pengaruh politik sedangkan beliau sendiri tidak mampu membebaskan diri dari pengaruh politik. Seorang pemimpin yang baik akan berusaha untuk mempengaruhi orang bawahan agar menyokongnya dan dalam konteks ini mereka adalah seluruh warga universiti termasuk Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor.

Selaku pemegang ijazah kedoktoran dalam ‘Good Governance‘ beliau sewajarnya mempraktikkan amalan tersebut dan memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan dan pentadbiran yang baik yang akhirnya akan mempengaruhi sikap orang bawahannya untuk menyokong beliau. Jika warga universiti tidak menyokong dan merencatkan apa yang dirancangkan oleh pihak kerajaan, kemudiannya barulah diajukan arahan untuk berundur secara terhormat.

Seumpama seorang Maharaja yang menakluki sebuah negara jiran, tentunya rakyat negara jiran tersebut menyokong raja lama mereka yang telah digulingkan kerana masih tidak mengetahui baik buruk Maharaja yang baru menakluki negara mereka. Namun adakah wajar sekiranya Dr. Maszlee selaku Maharaja tersebut, meminta rakyat yang tidak sehaluan agar meninggalkan negara kerana khuatir mereka tidak akan menyokong apa yang ingin beliau rencanakan kelak?

Beliau sepatutnya mengajak warga universiti bersama-sama beliau melaksanakan agenda kerajaan sebaik mungkin bukannya bertindak menghukum.

Malah sepatutnya ketika inilah sepatutnya beliau mempraktikkan amalan ‘good governance’ yang dipelajari ketika di Universiti Durham, yang bersesuaian dengan sifat ahli akademik beliau sendiri selaku pensyarah dan sekarang bergelar Menteri yang wajar dicontohi?

Tindakan beliau ini hanya menghilangkan kredibiliti beliau yang pada awalnya kelihatan elegen semasa dilantik sebagai Menteri kerana berbeza dengan Menteri lain yang berterusan memberi kenyataan berbaur politik demi untuk menyalahkan kerajaan sebelum ini. Namun malangnya Dr. Maszlee sendiri terperangkap dalam perspektif politik yang tidak mampu dihindarinya seperti Menteri yang lain.

Dr. Maszlee, seorang pemimpin yang baik bertindak mengikut hukum bukannya bertindak dengan menghukum dan jangan membalas dendam seperti saranan Perdana Menteri sendiri.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts