IA LEBIH BESAR DARI SEKADAR ISU PELANTIKAN SEORANG PONDAN

696
SHARES
2.8k
VIEWS

1. MUAFAKAT berasa terpanggil untuk menegur kenyataan Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Hafidzah Mustakim yang memohon agar semua pihak perlu bersikap rasional berhubung pelantikan Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi penggal 2019-2021.

Rujuk : https://www.google.com.my/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/37009

2. MUAFAKAT berpendapat pelantikan tersebut akan memburukkan lagi permasalahan sedia ada yang wujud disebabkan pendekatan bantuan di bawah kerangka The Global Fund itu sendiri.

THE GLOBAL FUND DAN CCM

3. Seperti yang kita sedia maklum, The Global Fund (GF) adalah sebuah badan kewangan antarabangsa yang komited melaburkan dana untuk menghentikan epidemik HIV/AIDS, tuberkulosis dan malaria.

4. Ditubuhkan tahun 2002, dan berpusat di Geneva serta menyalurkan dana hampir USD4 billion setiap tahun kepada lebih 100 negara di seluruh dunia. 95% daripada dana tersebut adalah disumbangkan daripada lebih 60 negara penderma dengan 5 penderma terbesar terdiri dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Jepun. Sehingga kini, GF mendakwa telah menyelamatkan 27 juta nyawa melalui inisiatif yang dijalankan.

5. Permohonan dana kepada GF perlulah melalui CCM selaku mewakili negara yang mahu menerima manfaat dana. Selain itu CCM juga bertanggungjawab merangka pelan dan membuat keputusan berkenaan cadangan yang mahu dikemukakan kepada GF bagi peruntukan selain memantauan serta memberi sokongan teknikal bagi pelaksanaan projek.

6. CCM Malaysia yang Kementerian Kesihatan Malaysia bertindak sebagai koordinator dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan adalah ditubuhkan 2009 atas keputusan Kabinet. Anggotanya terdiri daripada 25 ahli yang mewakili pemegang taruh seperti agensi kerajaan, NGO, ahli akademik, dan wakil komuniti daripada populasi sasar.

POPULASI SASAR

7. Populasi sasar adalah golongan yang paling terjejas disebabkan oleh penyakit dan dalam masa yang sama mereka dihalang daripada memperolehi perkhidmatan kesihatan. GF mendakwa bahawa populasi sasar ini dihalang daripada memperoleh perkhidmatan kesihatan antara lain disebabkan stigma dan diskriminasi masyarakat yang berleluasa selain amalan perundangan yang tidak mengiktiraf populasi sasar berkenaan. Atas dasar itu, GF merasakan bahawa populasi sasar perlu dilibatkan di dalam proses membuat keputusan.

8. Oleh itu di bawah Model Pendanaan Baru 2013 (New Funding Model), negara pemohon perlu melibatkan populasi sasar di dalam CCM buat pertama kalinya.

9. Di dalam konteks HIV mengikut Global Aids Update UNAIDS, golongan yang terjejas adalah mereka yang menggunakan dadah, pekerja seks wanita, seks sesama lelaki, dan transgender yang masing-masing mempunyai 22 kali risiko, 13 kali risiko, 28 kali risiko dan 13 kali risiko dijangkiti AIDS berbanding orang biasa. Golongan inilah yang dikatakan sebagai golongan sasar.

PENYELESAIAN SONGSANG BAGI GOLONGAN SONGSANG

10. Sekali kita lihat, kita dapat mengetahui bahawa kebanyakan golongan sasar berisiko disebabkan oleh amalan seks bebas dan songsang. Namun adalah sesuatu yang ironi apabila amalan seks bebas dan songsang tidak dilihat sebagai punca masalah sebaliknya inisiaitif yang ditekankan oleh GF adalah lebih kepada program membekalkan safe sex kits seperti kondom dan jika ada pun program pencegahan AIDS yang lebih berkisar berkenaan kesedaran bagi mengamalkan seks secara selamat.

11. Oleh kerana itu, GF memerlukan wakil populasi sasar agar bantuan ini dapat disampaikan kepada golongan sasar secara lebih cekap dan berkesan.

Keadaan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana organisasi seperti ini tentunya melihat penyelesaian dari kaca mata sekular yang melihat sesuatu itu dari sudut hak manusia semata-mata.

12. Oleh kerana mereka menuhankan hak asasi manusia maka mereka memandang bahawa orientasi seks dan identifikasi gender seseorang adalah suci dan perlu dilindungi. Sehubungan itu amalan seks dan bebas dan songsang tidak boleh dipertikaikan kerana ianya suatu hak individu. Yang boleh dilakukan adalah memandu bagaimana amalan seks itu dapat dilakukan secara selamat dan sihat.

13. Maka kesan buruk terbesar bukanlah normalisasi golongan transgender boleh memegang jawatan berkaitan kerajaan, tetapi yang lebih buruk adalah golongan transgender yang selama ini bergelumang dengan seks songsang dan bebas akan lebih termotivasi untuk meneruskan kegiatan mereka kerana akan dibekalkan dengan safe sex kits yang akan melindungi dan mengurangkan risiko mereka daripada terkena penyakit AIDS.

14. Apabila wakil CCM itu diduduki oleh Rania Zara Medina yakni seorang aktivis Justice For Sisters, NGO yang kuat melobi penerimaan transgender dalam masyarakat dan menyeru KKM mengembalikan pembedahan menukar jantina, maka kita dapat mengagak bahawa penyelesaian songsang ini akan disokong dan diteruskan.

BERI JAWATAN KEPADA CALON YANG MEMPUNYAI PARADIGM YANG BENAR

15. MUAFAKAT berpendapat pendekatan GF yang tidak tuntas ini perlu ditinggalkan. Sebaliknya populasi sasar ini perlu diberi kesedaran bahawa perbuatan mereka ini salah dan satu-satunya cara kembali adalah kembali kepada fitrah yang normal.

16. Mereka tidak memerlukan safe sex kits tetapi perlu menghadiri Pusat Bimbingan bagi golongan LGBT. Program ini yang sepatutnya didanai oleh GF dan sudah tentu wakil CCM tersebut adalah seseorang yang benar-benar layak. Ini tidak melanggar hak asasi manusia kerana memilih orentasi seks dan indentiti gender itu adalah merupakan suatu pilihan dan kita hanya perlu membimbing mereka untuk membuat pilihan yang betul.

17. Oleh itu calon yang lebih layak memegang jawatan CCM ini adalah bekas-bekas LGBT yang berjaya mencari jalan keluar atau nekad meninggalkan dunia gelap mereka. Sebagai contoh yang baik adalah wakil-wakil daripada Persatuan Insaf Pahang yang terdiri daripada bekas-bekas LGBT yang berusaha membantu rakan-rakan mereka yang lain untuk memperolehi hidayah.

18. MUAFAKAT juga berpendapat bahawa kerajaan perlu memikirkan penyelesaian yang lebih lestari. Membekalkan safe sex kits tentunya melibatkan kos kerana ianya adalah bahan guna habis. Sepanjang penggantungan kepada bahan guna habis maka selama itu jugalah penggantungan kita kepada dana GF sedangkan dana itu mungkin boleh digunakan oleh negara yang lebih memerlukan bagi melawan penyakit tuberkulosis dan malaria.

19. Ternyata YADIM tidak membuat kerja rumah dan apa yang lebih teruk kenyataan yang diberikan seolah-olah kenyataan defensif dan tidak menggambarkan kapasiti sebagai agen ‘rahmatan lil alamin’.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts