Oleh Ts. Dr. Mohd Hairul Haji Mohd Salleh
Suatu ketika dahulu, tuntung sungai merupakan penghuni setia ekosistem sungai di Malaysia. Kini, spesis ini semakin jarang ditemui dan sedang berdepan ancaman kepupusan yang serius.
Dalam tempoh kira-kira 30 tahun, populasi tuntung sungai dilaporkan merosot lebih 80 peratus – satu angka yang amat membimbangkan. Penurunan drastik ini bukan berlaku secara semula jadi, sebaliknya berpunca daripada tekanan aktiviti manusia yang semakin meningkat.
Tuntung sungai kini hanya ditemui di beberapa lokasi terhad di Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu. Kawasan ini menjadi habitat terakhir bagi spesis ini, namun turut terdedah kepada pelbagai ancaman.
Antara faktor utama ialah pengambilan telur secara tidak terkawal. Telur tuntung sering menjadi sasaran kerana permintaan dalam pasaran gelap. Kesan daripada aktiviti ini amat besar kerana hanya sebilangan kecil anak tuntung mampu hidup sehingga dewasa.
Dalam masa yang sama, pembangunan pesat di kawasan tebing sungai, aktiviti pembalakan serta pencemaran daripada industri dan pertanian telah menjejaskan habitat semula jadi tuntung. Kawasan pendaratan untuk bertelur semakin terancam, sekali gus mengurangkan peluang pembiakan.
Lebih membimbangkan, perubahan iklim turut memberi kesan langsung kepada proses penetasan. Suhu persekitaran menentukan jantina anak tuntung dan ketidakseimbangan suhu boleh menjejaskan struktur populasi dalam jangka panjang.
Pelbagai usaha pemuliharaan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan, termasuk program penetasan telur, pelepasan anak tuntung serta kempen kesedaran awam. Namun, usaha ini memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat.
Orang ramai boleh memainkan peranan dengan tidak membeli atau memakan telur tuntung, melaporkan aktiviti pemburuan haram serta menyertai program pemuliharaan.
Tuntung sungai dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang Malaysia, dengan hukuman berat dikenakan kepada pesalah. Namun penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran kolektif. Hakikatnya, tuntung sungai bukan sekadar hidupan liar, tetapi penunjuk kepada kesihatan ekosistem sungai kita.
Jika tiada tindakan drastik diambil, tidak mustahil generasi akan datang hanya mengenali spesies ini melalui gambar dan buku.
Persoalannya adakah kita sanggup membiarkan warisan ini lenyap di depan mata?





