Nauzubillah minzalik, jika Syiah sebelum ini selalu menghina, mengeji serta memfitnah Nabi SAW, ini ialah perkara biasa apatah lagi jika mereka berani kata Malaikat Jibril AS tersalah beri wahyu kepada Nabi Muhammad SAW, yang sepatutnya diberikan kepada Saidina Ali R.A. Namun kini Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh menghina Sahabat R.Anhum yang dimuliakan Allah.
Betapa mulianya seluruh Sahabat-sahabat R.Anhum ini bahkan dirakamkan dalam AlQuran bahawanya “Allah redha akan mereka dan mereka redha akan Allah“. Boleh rujuk Surah Al-Bayyinah ayat 8 dan Surah At-Taubah ayat 100. Namun tergamak Nik Zawawi memberi contoh salah, entah rujukan malah sehingga menjadi satu penghinaan dan fitnah terhadap Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar Al-Khattab RA!
Walaupun Nik Zawawi menjelaskan bahawa kenyataannya itu bertujuan memberi pemahaman mengenai transformasi sahabat yang berubah menjadi insan mulia setelah menerima Islam, bukannya berniat menghina namun sumber apakah yang beliau gunakan? Adakah bersumberkan Syiah kerana tiada rujukan seperti yang beliau kata mengenai kisah silam dua Sahabat besar itu dalam mana-mana rujukan yang beliau gunakan.
Bahkan bukankah ada hadis melarang kita menghina orang yang telah tiada, yang telah meninggal dunia – kerana kini mereka tiada peluang mempertahankan diri kerana telah lama pergi. Lebih teruk, yang telah tiada dan dihina serta difitnah ini bukan sembarangan, bukan arwah Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz dan bukan almarhum Ustaz Fadzil Nor. Bukan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari atau Imam Muslim yang dihina, bukan juga Imam Syafie, Imam Hambali, Imam Maliki atau Imam Hanafi yang difitnah. Yang dihina dan difitnah ini ialah Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar Al-Khattab RA!!
Jika tiada siapa tergamak hina dan fitnah almarhum Nik Aziz dan Fadzil Nor atau sesiapa jua, kenapakah Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS si Zawawi ini tergamak secara langsung menghina dan memfitnah Sahabat Nabi SAW? Jika Nik Aziz dan Fadzil Nor yang dihina tentu semua ahli Pas dan penyokong-penyokongnya akan melenting marah, rakyat Malaysia juga akan marah kerana kita semua benci perbuatan fitnah.
Tetapi jika Sahabat besar Nabi SAW dalam kalangan Sahabat berempat yang dihina dan difitnah, bukankah umat Islam satu dunia akan terkesan, marah, geram dan rasa terhina akibat fitnah jahat terhadap Sahabat R.Anhum! Malah ia bakal membuka ruang kepada implikasi yang lebih besar dan rumit termasuk penghinaan terus kepada agama Islam kelak.
Bagaimana jika ada bukan Muslim kelak menjadikannya sebagai contoh walaupun tahu ia fitnah, dengan sengaja menghina Nabi SAW dan para Sahabat R.Anhum dan Islam seluruhnya? Bukankah fitnah ini membuka ruang lebih besar kepada pintu-pintu fitnah yang jauh lebih mudarat – yang dicetuskan oleh fitnah melampau Zawawi?
Justeru, bukan hanya permintaan maaf atau bertaubat yang seluruh umat Islam harapkan, tetapi tindakan tegas terhadap beliau yang mencetus fitnah terhadap agama (termasuk Dalam 3R) ini wajar diambil tindakan keras serta-merta. Malah kepimpinan PAS juga digesa memecat Zawawi kerana tiada siapa termasuk bukan Islam boleh bertoleransi dengan pemfitnah, apatah lagi yang difitnah itu ialah Sahabat Nabi SAW yang dimuliakan Allah.
Juga rakyat jelata memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu agar bertegas terhadap beliau dengan melucutkan kewarganegaraan Zawawi agar menjadi Penduduk Tetap (PR) sahaja – agar perbuatan keji ini menjadi iktibar bagi semua bahawa pemfitnah Sahabat Nabi SAW seperti ini tidak boleh dibiarkan!
Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa.





