Rejim komunis China sering kali menafikan tindakan zalim mereka terhadap etnik Uighur di Xinjiang yang tersebar luas seperti dilaporkan oleh media antarabangsa, dan penafian ini disahkan benar oleh Menteri Agama kerajaan baru Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof Rawa, semasa lawatan beliau ke China pada 25 hingga 28 Feb 2019 yang lalu, semasa menghadiri “Thematic Briefing on China’s Ethnic Minority and the Promotion of Unity and Solidarity Among Ethnic Groups in Xinjiang” anjuran Biro Antarabangsa, Parti Komunis China.
2. Namun sehingga ke hari ini media dunia dari berbagai negara tidak putus-putus melaporkan mengenai kezaliman rejim komunis China terhadap etnik Uighur, sekalipun Menteri Agama telah mengatakan tiada sebarang penindasan berlaku ke atas penduduk majoriti etnik Uighur di Xinjiang.
Malahan Menteri Agama menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di Xinjiang itu sebagai “berita palsu dari China” semasa berucap di Beijing Foreign Studies University tempoh hari.
3. Kenyataan Menteri Agama pantas dibidas keras oleh Dr. Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front (IRF) yang mempersoalkan penggunaan istilah “institusi vokasional dan latihan” apabila Menteri Agama memuatnaik gambar ke laman Facebook-nya mengenai lawatan ke Xinjiang masa itu, menyaksikan China telah melakukan penindasan secara sistematik terhadap pengkritik dasar Beijing dari kalangan etnik Uighur dengan berselindung di sebalik slogan memerangi keganasan. (1)
4. Beberapa bulan sebelum lawatan Menteri Agama iaitu pada Isnin 26 Nov 2018 yang lalu, dalam satu sidang media anjuran Media Radio Free Asia, di National Press Club di Washington, temubual dengan Puan Mihrigul Tursun, 29 yang merupakan salah seorang bekas tahanan yang telah berjaya menyelamatkan diri dari negara China dan sedang berlindung di Amerika Syarikat, memberitahu bahawa ramai Muslimat Uighur yang suami mereka ditahan di kem-kem konsentrasi telah didatangi oleh pegawai tentera China dan memaksa mereka tidur melayani mereka. (2)
5. Keengganan berbuat demikian akan mengakibatkan keadaan mangsa menjadi lebih teruk sehingga ada yang diseksa dengan berbagai kaedah seksaan sebagai usaha menghapuskan etnik Uighur, termasuk disuntik menjadi mandul. Suatu yang tidak sepatutnya berlaku terhadap negara yang kini dilabelkan sebagai negara terkaya dan semakin maju dengan pembangunan teknologi terkini. (3)
6. Kisah kezaliman melampau ini dikongsikan juga oleh seorang imam dari etnik Uighur yang kini telah bermastautin di Australia, Abdul Salam Alim yang menceritakan bagaimana penderitaan dan tekanan yang dihadapi kaum keluarga beliau sendiri dan jutaan etniknya yang lain di Xinjiang.
7. Beliau berkata; “biasanya anggota perisik China akan dihantar untuk menghuni setiap rumah etnik Uighur di Xinjiang yang suami mereka telah ditahan di kem-kem tahanan, malah anggota perisik atau pegawai tentera China ini akan tidur bersama seluruh ahli keluarga,” demikian gambaran dasar tekanan asimilasi sistematik yang dilaksanakan oleh China terhadap etnik Uighur. (4)
8. Justeru itu, UMMAH berasa amat kecewa dengan kenyataan Menteri Agama yang sehingga ke hari ini tidak menarik balik dan prihatin dengan keadaan sebenar yang berlaku malahan terlalu mudah terpedaya dan gopoh membuat kenyataan tanpa menyelidiki secara mendalam apa sebenarnya yang sedang berlaku di Xinjiang, dan UMMAH berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi menyelamatkan saudara seagama kita yang tinggal di China.
9. UMMAH membantah keras usaha penghapusan etnik Uighur oleh pemerintah Komunis-Atheis ini. Walaupun ada yang menyuarakannya sebagai masalah dalaman negara Komunis China, namun apa yang diperlakukan oleh rejim yang tidak bertuhan ini sama seperti sekumpulan haiwan yang tidak berakal, menyiksa rakyat sendiri dengan penuh kekejaman, semata-mata kerana rakyat dari etnik ini menolak ideologi tidak bertuhan rejim dan kekal mempertahankan akidah dan keimanan mereka kepada agama Islam.
Ya Allah, selamatkanlah umat Islam Uighur dari kekejaman pemerintahan Komunis China!
Haji Rashidi bin Haris
Naib Pengerusi UMMAH
Ketua Media MUAFAKAT
Nota sumber rujukan:
1. Sumber rujukan: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/06/27/mujahid-dibidas-guna-terma-propaganda-china-ketika-lawat-pusat-latihan-xinjiang/
2. Sumber rujukan: https://www.rfa.org/english/news/uyghur/cosleeping-10312019160528.html
3. Sumber rujukan: https://www.telegraph.co.uk/news/2018/11/28/begged-kill-uighur-woman-describes-torture-us-politicians/
4. Sumber rujukan: https://amp.sinarharian.com.my/article/12439/BERITA/Nasional/Dunia-Islam-jangan-biar-China-terus-ratah-etnik-Uighur