ADAKAH BENAR UMNO MAHU TINGGALKAN KERAJAAN PN?

1.2k
SHARES
3.9k
VIEWS

Ramai yang menghantar mesej bertanyakan mengenai laporan Malaysiakini yang mencetuskan kekeliruan seolah-olah UMNO mahu meninggalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Persoalannya adakah benar UMNO bakal tinggalkan Kerajaan PN? Untuk menjernihkan persoalan ini, 10 ASAS PENTING berikut harus terlebih dahulu difahami secara tuntas:

1. UMNO tetap teguh berpendirian mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk hasil kerjasama UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN), rakan Muafakat Nasional (MN) – UMNO iaitu PAS, dan Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS).

2. Komitmen UMNO ketika menyokong pencalonan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu adalah bagi menyelamatkan negara daripada terus terbelenggu dengan krisis politik yang tercetus lantaran kemelut berterusan perebutan jawatan Perdana Menteri di kalangan kepimpinan tertinggi parti-parti Pakatan Harapan (PH)

3. Nama Perikatan Nasional hanyalah satu istilah yang dicadangkan bagi menzahirkan suatu kerjasama yang terbentuk pada saat ketika pembentukan kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin setelah runtuhnya PH akibat peletakan jawatan secara rasmi Tun Dr Mahathir pada 24 Februari 2020.

4. Perikatan Nasional sehingga hari ini tetap kekal sebagai sebuah gabungan Ahli-Ahli Parlimen yang mewakili dan membawa mandat parti-parti politik masing-masing dalam membentuk kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.

5. Perikatan Nasional tidak sama dengan BN mahupun MN. BN adalah parti politik berdaftar yang di bawahnya merupakan parti-parti yang bergabung secara rasmi khususnya UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

6. Perikatan Nasional juga tidak sama dengan MN. Walaupun MN tidak berdaftar sepertimana juga PN, namun MN adalah suatu kesepakatan rasmi yang diikat melalui sebuah Piagam yang termeterai antara UMNO dan PAS. Pembentukan MN juga melalui proses yang panjang termasuklah proses ‘mind-conditioning’ di kalangan ahli melalui ratusan siri-siri ceramah di semua peringkat selama lebih setahun, dibahaskan di Persidangan Agung parti masing-masing, diperhalusi oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Majlis Syura parti sebelum dimuktamadkan dalam bentuk Piagam Kerjasama.

7. Cadangan pembentukan PN secara rasmi juga seharusnya melalui proses yang sama kerana tidak mudah untuk parti-parti politik khususnya UMNO dan PPBM untuk mewujudkan sebuah gabungan sebagaimana BN mahupun MN kerana kebanyakan Ahli-ahli Parlimen PPBM hari ini merupakan mereka yang dahulunya menang PRU-14 atas tiket parti UMNO-BN sebelum melompat parti.

8. Keputusan untuk mendaftarkan PN secara rasmi juga perlu mengambil kira krisis dalaman PPBM ketika ini yang mengundang persoalan sejauh mana PPBM mampu bertahan dalam PN, terutamanya setelah pendirian rasmi dikeluarkan Pengerusi PPBM sendiri dan sayap parti PPBM ARMADA yang menolak kerjasama dengan UMNO dan mahu kembali kepada PH. Presiden PPBM juga sedang dicabar anak kepada Pengerusi PPBM sendiri dalam pemilihan parti mereka akan datang.

9. Tidak pernah timbul UMNO mahu meninggalkan PN kerana rata-rata ahli dan rakyat keseluruhannya amat bersyukur dengan pembentukan Kerajaan ini yang berjaya menyelamatkan negara daripada krisis politik yang meruncing sekaligus membebaskan negara daripada parti chauvinis dan rasis DAP dan kerakusan PKR yang hanya memfokuskan perjuangannya sejak dari awal untuk menaikkan Presidennya sebagai Perdana Menteri.

10. UMNO akan tetap terus pertahankan Kerajaan PN sehingga PRU-15 bagi memastikan kerajaan yang berpaksikan Islam dan Bumiputera ini mampu memulihkan segala kerosakan yang dilakukan Kerajaan PH terdahulu di samping memastikan nasib rakyat berbilang kaum mampu dibela terutamanya pasca Covid-19 yang merubah landskap kehidupan ekonomi dan sosial masyarakat!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

7 Mei 2020

https://www.facebook.com/116331768396879/posts/3426973653999324/

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts