GEJALA LOMPAT PARTI BUKAN MANDAT RAKYAT TETAPI MANDAT KERUSI

452
SHARES
1.3k
VIEWS

Tidak dinafikan politik hari ini semakin dinamik. Semalam, hari ini dan esok saling berlainan isi hatinya. Semalam musuh, hari ini kawan, dan esok bermusuh semula. Segalanya tidak mustahil, tidak menentu, dan tidak ada kepastian malah lebih membimbangkan kepercayaan kepada Wakil Rakyat kini diragui, tidak seperti dahulu yang mana semangat patriotik seorang Wakil Rakyat itu tinggi dan jitu.

2. Mengapa keadaan seperti ini terjadi? Kita boleh lihat era baru ini, golongan politikus sudah tidak lagi membicarakan mengenai maslahat rakyat tetapi lebih kepada mengatur strategi bagi berebut kerusi dan mengekalkan kuasa, setiap hari mereka ‘meratib’ bercakap mengenai rebut kerusi. Majoriti mahu menyelamatkan diri dari tersingkir keluar dari lingkaran dunia kepolitikan, fikirannya terpenuh memikirkan mengenai perutnya sahaja dan kroni di sekelilingnya daripada menyelami keluhan dan rintihan kesusahan masyarakat awam.

3. Jika keadaan kalut ini tidak segera ditangani atau dibiarkan begitu sahaja tanpa ada resolusi yang mampu mengatasinya, tidak mustahil yang lahir generasi akan datang adalah golongan cendawan beracun yang sedikit demi sedikit membinasakan akhlak masyarakat dan akhirnya negara akan hancur dengan generasi yang tiada pendirian yang tetap dan teguh.

4. Hari ini rasuah sudah menjadi dedak, di mana-mana masalah ini terzahir dan sentiasa akan ada apabila sikap lompat parti ini menjadi tauladan. Gejala ini merebak dari peringkat bawahan hinggalah kepada pemimpin-peminpin pilihan rakyat yang diangkat menjadi Wakil Rakyat. Anehnya, tanggungjawab dan amanah yang diberi oleh rakyat sebagai “wakil kepada rakyat” dikhianati hanya kerana habuan yang sedikit. Slogan “mandat rakyat” menjadi “mandat kerusi”.

5. Begitu juga laungan slogan mahu membasmi rasuah hanyalah retorik semata-mata, diangkat tinggi ketika menghampiri pesta mengundi, tidak lebih dari itu. Contohnya sebelum menjadi Yang Berhormat, tokoh berkenaan lantang menyuarakan bantahan isu arak, bukan setakat mahu mengawal penjualan arak tetapi mahu menutup kilang arak terus, tetapi apabila menjadi menteri dan kuasa di tangan, lidahnya jadi kelu, langsung sepatah perkataanpun tidak kedengaran menyentuh bab arak. Inikah rupa peribadi pemimpin yang rakyat mahukan… jawapannya sudah tentu tidak!

6. Selain itu, ada juga yang apabila rakyat telah memilih dan memberi kepercayaan terhadap Yang Berhormat berkenaan hingga berjaya menang dalam pilihan raya dan melangkah ke Parlimen, kisah mendukacitakan ada yang khianat terhadap kepercayaan rakyat dan juga terhadap partinya sendiri. Sanggup tanpa rasa malu dan tidak bermaruah melompat ke parti lain sekalipun parti itu sebelumnya adalah musuhnya.

7. Fenomena lompat parti ini kalau dahulunya ganjil dan pelik, tetapi hari ini sudah menjadi kebiasaan dan lumrah, bukan lagi sekali lompat bahkan ada yang sampai berkali-kali lompat dari satu parti ke parti yang lain.

8. Bagi MUAFAKAT perlakuan “melompat parti” ini haruslah dihapuskan, gejala tidak sihat ini menjadi semakin serius apabila hari ini siapa sahaja boleh melompat parti pada bila-bila masa dan ke mana-mana parti tanpa had dan halangan. Justeru bagi menangani wabak keji yang tidak berprinsip ini daripada semakin parah, maka MUAFAKAT mencadangkan satu resolusi penyelesaian seperti berikut:

a) Mana-mana individu apabila ia bertanding atas satu parti sebagai contoh Parti A, dan berjaya menang di ‘Bahagian’ tersebut, maka beliau harus kekal bersama Parti A itu sehingga selesai penggal PRU tersebut.

b) Jika ia melompat sebelum selesai penggal PRU itu maka kedudukannya sebagai Wakil Rakyat atas tiket Parti A itu terlucut secara automatik sebagaimana terlucut keahliannya dari Parti A tersebut. Dengan itu kerusi bagi ‘Bahagian’ yang dimenanginya menjadi kosong dan PRK akan diadakan semula.

c) Individu yang lompat parti itu juga akan dikenakan tindakan tatatertib kerana pecah amanah dan dianggap sebagai telah menipu rakyat yang mengundinya. Seterusnya individu tersebut terlucut hak bertanding dalam sebarang PRU sehingga melepasi dua penggal PRU.

8. Peraturan ini adalah bagi memastikan tidak akan ada individu yang dengan mudah sesuka hatinya boleh lompat parti dan mengelakkan wabak keji ini menjadi suatu penyakit kronik yang boleh merencat penradbiran dan pembangunan negara.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA 

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts