PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN KE-63

368
SHARES
2.2k
VIEWS

Bismillahir’Rahmanir’Rahim

Alhamdulillahi Rabbil Alamin wabihi nast‘in,
Allahhumma ṣalli ‘ala Sayyidina Muḥammad wa ‘ala Sayyidina Muḥammad,

Assalamu’alaikum wa Raḥmatullahi wa Barakatuh…

1. Alhamdulillah, segala puja dan puji serta kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan Rahmat-NYA, kita dapat menempuh di hari yang penuh bererti bagi setiap rakyat Malaysia, iaitu menyambut Hari Kebangsaan bagi kali yang ke-63 bersama.

2. Sebentar, sebelum dilanjutkan kalam ini, dengan mengajak tuan-puan merenungi bersama sejenak dan bertanya sedalam-dalamnya di dalam sanubari masing-masing, adakah setiap daripada kita ini, benar-benar mengerti serta mampu menghayati maksud sebenar kemerdekaan pada Hari Kebangsaan ini?

3. Justeru, pada kesempatan di hari bersejarah ini, mari kita mengimbau kembali sejarah panjang tanahair tercinta kita ini dengan merakamkan sejarah bahawa kerajaan Melayu Lama sebenar berusia lebih daripada 1000 tahun, jauh lebih lama ke belakang sebelum kewujudan Kerajaan Melayu Melaka di tahun 1403M sebagaimana difahami sejarah umumnya.

4. Kewujudan sistem kerajaan Melayu Lama yang terpahat itu membuktikan Islam pernah menjadi pilihan teras pengurusan dan pentadbiran urus Negeri-Negari Melayu ketika itu yang diketuai oleh pembesar-pembesar terpilih di bawah naungan Raja-Raja Melayu yang bebas merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan baik dari Barat mahupun dari Timur.

5. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu dicatatkan seawal 800M oleh sejarawan berasaskan kepada catatan dari China dan Arab yang kemudiannya banyak mengubah geopolitik tempatan bukan sahaja rupa tetapi juga roh dan jiwa masyarakat setempat, menggantikan dan meninggalkan amalan syirik animisme dan kesesatan Hindu serta Buddha sebelum itu dari peninggalan Kerajaan Lama yang awal bertapak sebagai tempias kekuasaan Lembah Indus termasuk Kerajaan Srivijaya.

6. Terhentinya sementara pemerintahan Melayu-Islam di Melaka asbab serangan Portugis yang berterusan menyerang kota Melaka bagi merampas hak kedaulatan kesultanan Melayu Melaka berlarutan hingga menyebabkan tumbuh beberapa kerajaan Melayu Islam lain yang kemudian berperang dengan Belanda dan berterusan melawan kolonial British sehinggalah diberi kerajaan sendiri pada tanggal 31 Ogos 1957.

7. Sepanjang tempoh pengaruh Belanda dan British tersebut Raja-Raja Melayu masih tetap kekal berdaulat, tidak disingkir dari takhta pemerintahan. Dan sebab itu kebangkitan besar-besaran secara menyeluruh daripada orang Melayu menentang Barat tidak berlaku, yang ada hanya penentangan kecil-kecilan dengan angkatan yang berskala kecil.

8. Pengekalan Islam sebagai agama Persekutuan Tanah Melayu oleh Suruhanjaya Reid dengan konsep Raja Berperlembagaan bukan bermakna permulaan sebuah “kerajaan baru” Melayu-Islam, tetapi lebih kepada sebuah transformasi moden dan kesinambungan kerajaan-kerajaan Negeri berdaulat dalam kerangka baru ‘nation-state‘ di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pasca Perang Dunia Kedua.

9. Hakikatnya, Persekutuan Tanah Melayu tidak terlahir begitu sahaja tanpa satu perancangan teliti lagi bermakna yang turut mengambil kira faktor sejarah kewujudan Kerajaan-kerajaan Melayu Lama sejak lebih seribu tahun sebelumnya termasuk kodifikasi perundangan yang banyak mengekalkan eleman teras Syariah sehingga melahirkan sebahagian daripada Undang-Undang Islam dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

10. Lebih menarik lagi ialah fakta bahawa Perlembagaan Malaysia kini adalah sebenarnya berasaskan Perlembagaan Persekutuan 1896 dan bertunjangkan Kanun Melayu Melaka yang mengambil Syariah sebagai dasarnya dengan meletakkan mazhab Syafie sandaran fiqahnya.

11. Inilah keutamaan yang dikekalkan oleh Hakim Abdul Hamid dari Pakistan yang mewakili suara Islam yang kuat mempertahankan elemen Islam berkenaan yang memang sudah diwarisi dalam Kanun Negeri-Negeri Tanah Melayu, diperkenan Raja-Raja Melayu dengan mengekalkan kuasa Islam di bawah Raja-Raja Negeri dan Yang Di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan juga Ketua Agama yang berbangsa Melayu.

12. Demikianlah lahirnya Malaysia dengan peruntukan Perlembagaan yang sebegitu unik di dunia dan berjaya menggabungkan keyakinan bangsa asing yang diterima sebagai warga Tanah Melayu secara jus soli atas suatu perjanjian sosial yang disepakati di bawah pimpinan Melayu-Peribumi Muslim.

13. Itulah hegemoni asas dan susur galur mantap Malaysia sehinggalah kerajaan itu terencat seketika pada 8 Mac 2018 selama 22 bulan dan ‘sulthah’ kembali semula pada 24 Februari 2020. Sentimentalnya pembentukan kerajaan baru menggantikan kerajaan ‘ṭaghut’ yang banyak melakukan kerosakan adalah dengan perkenan Tuanku Yang di-Pertuan Agong sendiri.

14. Dan dengan harapan baru yang lebih matang daripada kealpaan yang mengajar erti mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan, in sya Allah Malaysia mampu bangkit maju dengan lebih cemerlang jika kemantapan perpaduan Melayu Islam dapat diperkukuhkan dengan jayanya.

15. Hari ini kita menyambut hari besar negara setelah hampir berjaya mengharungi PKP dengan aman sebegini, tiada siapa boleh menafikan bahawa berkat jasa dan bakti para barisan hadapan, yang tidak pernah kenal erti penat lelah, berkorban apa saja, bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sentosa. Semangat yang sama dirasai seperti saat negara baru mengecapi hari kemerdekaan dahulu.

16. Kerana itu, kita amat bersyukur dan menolak sebarang bentuk kekacauan yang cuba ditimbulkan daripada doktrin sesat seperti fahaman liberalisme, pluralisme dan juga fahaman-fahaman sosial kepartian yang mengganggu-gugat pemikiran awam yang hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan Malaysia sebagai negara Islam.

17. Oleh itu, segala susah payah anggota keselamatan akan sentiasa kita beri penghargaan dan penghormatan yang tinggi atas bakti merekalah keharmonian serta kerukunan dapat terus dikecapi setiap masa.

18. Sebetulnya, kemerdekaan daripada campurtangan kuasa asing sangat berharga, kerana itu, ia harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya kerana ia merupakan anugerah yang besar lagi tidak ternilai. Ia mengajar sesebuah watan itu berdiri di atas kaki sendiri, mendewasa, dan mematangkan diri. Ia adalah milik setiap seorang daripada kita dan kita bertanggungjawab mempertahankannya dengan tidak membenarkan sesiapapun jadi dalang serta pengkhianat memusnahkannya.

19. Akhir kalam, bersamalah kita berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita bangkit, dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, membina masa depan dengan jiwa Malayuwiyyah-Islamiyyah yang gagah dan perkasa berpaksi kepada akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.

20. Dirgahayu Malaysiaku – tanah tumpah sumpah setia ummahku! Wabillahi al-Tawfiq wa al-Hidayah wa Assalamu‘alaikum wa Raḥmatullahi wa Barakatuh.

Sekian, terima kasih.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts