ULASAN TERHADAP KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN PASIR GUDANG BERTARIKH 28 OKTOBER 2020

4.7k
SHARES
15k
VIEWS

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Saya diminta untuk mengulas kritikan YB Hassan bin Abdul Karim terhadap titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober 2020. Izinkan saya menyampaikan pandangan seperti berikut:

1. SPB Yang Di-Pertuan Agong telah menyampaikan nasihat Baginda melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja agar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan tidak ditolak semata-mata permainan politiking kerana itu boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Situasi semasa amat kritikal yang memerlukan RUU Perbekalan dibahaskan dan diluluskan dengan merit bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta keperluan barisan depan juga pemulihan ekonomi negara.

2. Nasihat yang disampaikan oleh YDP Agong ialah susulan daripada nasihat-nasihat terdahulu atas kapasiti Baginda sebagai Ketua Utama Negara yang juga merupakan entiti tertinggi dalam Parlimen.

3. Pada hakikatnya negara kita tidak mengamalkan prinsip pengasingan kuasa seperti di Amerika Syarikat. Malah prinsip pengasingan kuasa sebenar-benarnya juga tidak berlaku di England. Sebaliknya prinsip Perlembagaan kita menetapkan cabang-cabang kuasa di bawah YDP Agong dan Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada cabang perundangan, eksekutif dan pentadbiran keadilan.

Justeru, kita dapat melihat fungsi YDP Agong dalam ketiga-tiga cabang kuasa tersebut dengan jelas.

4. Nasihat YDP Agong tidak menyentuh atau menghalang penjalanan proses di bawah peruntukan-peruntukan seperti yang dibangkitkan dalam kenyataan akhbar YB Hassan.

5. Sebaliknya, kenyataan media YB Hassan cuba mempertikai prerogatif YDP Agong untuk menyampaikan nasihat agar prosiding Parlimen tidak diganggu semata-mata ada kepentingan yang tidak sesuai dijadikan keutamaan buat masa ini.

6. Tiada dalam mana-mana perenggan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang bermaksud menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk berbahas dan membuat undian.

Nasihat YDP Agong lahir daripada keprihatinan Baginda kepada keperluan semasa serta kegusaran Baginda jika RUU Perbekalan tidak diluluskan bukan kerana alasan merit, tetapi jika digerakkan oleh motif politiking.

7. Perlu ditegaskan bahawa sumpah Ahli Parlimen untuk memelihara, mempertahan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan termasuklah kewajipan untuk menghormati prerogatif YDP Agong yang merupakan entiti tertinggi dalam Parlimen dan pemerintahan Persekutuan.

Malangnya pada hari ini integriti segelintir Ahli Dewan Rakyat mula dipertikai oleh rakyat kerana aktiviti politiking sejak akhir-akhir ini. Justeru titah nasihat YDP Agong itu tidak wajar dijadikan polemik.

8. Saya menghormati kebebasan seorang Ahli Parlimen untuk bersuara. Namun tidak adil jika kenyataan seorang Ahli Parlimen itu dibuat tanpa meneliti maksud dan tujuan titah nasihat YDP Agong. Kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober sepatutnya dihormati malah tidak sekali-kali cuba diputarbelitkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh mencabar kewibawaan nasihat YDP Agong.

9. Saya berpandangan bahawa perenggan akhir kenyataan media YB Hassan merupakan satu tuduhan liar yang cuba berselindung atas nama “amalan demokrasi berParlimen”.

YB Hassan mungkin terlupa bahawa YDPA merupakan bahagian tertinggi dalam institusi Parlimen bahkan Baginda mempunyai kewajipan di bawah Sumpah YDPA untuk memerintah dengan adil dan memelihara keamanan dalam negara.

Sebagai YDP Agong berposisi pemerintah tertinggi Persekutuan sudah pasti Baginda berhak menyampaikan apa jua nasihat yang Baginda fikirkan mustahak dan perlu.

Malah Baginda berhak mengulangi nasihat yang sama di Parlimen di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan sebelum bermula mesyuarat ke III bagi Penggal ke III Parlimen ke 14, bulan depan jika Baginda berkenan.

Apa yang jelas, YDPA hanya menzahirkan hasrat Baginda, tiada unsur paksaan atau sebarang tegahan untuk mana-mana Ahli Parlimen berbahas.

Baginda boleh sahaja memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat bagi memudahkan proses kelulusan belanjawan negara, tetapi itu tidak berlaku lagi buat masa ini.

Justeru, YB Hassan dinasihati agar meneliti semula teks kenyataan Istana Negara serta bersangka baik dengan hasrat YDPA.

DAULAT TUANKU.

Kenyataan YB Hassan Karim boleh dirujuk di pautan; https://www.facebook.com/645224285504180/posts/4129658643727376/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts