TIDAK PERLU DARURAT BATU SAPI JIKA PERIKATAN NASIONAL UMUM TARIK DIRI

881
SHARES
5.2k
VIEWS

Isu ini bukan mengenai kewajaran Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong mengisytihar darurat tetapi tertumpu kepada persoalan kenapa kerajaan Perikatan Nasional tidak isytihar menarik diri bertanding di PRK Batu Sapi?

Jika tidak tentulah bukan sahaja PRK malah darurat juga tidak perlu menyusahkan dengan meminta campur tangan YDP Agong bagi mengisytihar darurat. Rujuk artikel “ELAK PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak: Tiadakah pilihan selain darurat?” di pautan; https://editormalaysia.com/18425/

Sama seperti PRK Gerik yang perlu dilakukan dalam masa 60 hari, bukanlah lebih baik semua pihak berlapang dada dan juga tidak bertanding di PRK Batu Sapi, berikan laluan kemenangan secara percuma kepada parti yang memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 lepas iaitu Warisan.

Jika DAP melalui Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng boleh menyatakan hasrat agar semua parti termasuk partinya sendiri agar tidak meletakkan calon di Gerik, yang disambut baik oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, maka tidak bolehkah Bersatu dan Perikatan Nasional juga menyatakan perkara yang serupa untuk PRK Batu Sapi?

Ini akan memudahkan semua pihak apatah lagi negara berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 yang bertambah.

Ini barulah boleh dikatakan sebagai ‘berjiwa besar’ dan mementingkan rakyat, bukan sehingga Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong terpaksa campur tangan membuat pengisytiharan darurat demi kerakusan sesetengah ahli politik ataupun parti yang tetap ingin bertanding di PRK Batu Sapi. 

Jika sebelum ini wujud isu membelakangkan rakyat melalui permintaan majoriti rakyat meminta moratorium automatik dan pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP tidak diendahkan, kini PRK pula menjadi taruhan.

Rakyat yang akan mengundi di PRU-15 kelak boleh menilai sendiri parti mana yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat atau kalimat “menjaga rakyat” hanya meniti di bibir tetapi hakikatnya rakyat langsung tidak diendahkan.

Moratorium automatik, pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP dan PRK Batu Sapi menjadi buktinya kerana dalam masa yang sama, mereka tidak malu menuntut Belanjawan 2021 diluluskan walaupun aspirasi dan keperluan rakyat dikesampingkan.

Ini jelas bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong agar semua pihak hentikan politiking, tetapi pihak yang kuat berpolitiking itu pula ‘buat-buat’ tidak tahu dan cuba menuding jari kepada mereka yang berjuang menyelesaikan masalah rakyat sebagai ‘politiking’.

Apapun, kini rakyat boleh menilai sendiri.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts