TUN RAHAH: BERKAT DOA SEORANG IBU TUA

472
SHARES
1.5k
VIEWS

Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Antara perkara yang selalu ditanya kepada saya adalah apakah punca kebangkitan Datuk Seri Najib Razak?Apakah rakyat suka kerana beliau ‘echo‘ kepada suara mereka? Atau apakah rakyat teruja apabila beliau menjelaskan isu dengan cara yang tidak boleh disangkal sesiapa? 

Saya senyum.

Tuan-tuan, Najib Razak tidak bangun semula kerana faktor tersebut. Jika benar dia popular kerana pembawaan fakta, maka ketahuilah tulisannya sudah lama begitu sejak dia masih lagi Perdana Menteri. Bahkan, hantaran media sosialnya pada masa tersebut jauh lebih baik daripada hari ini kerana masih mempunyai sepenuh akses kepada maklumat terkini kerajaan.

Tetapi majoriti rakyat tetap membenci.

Malahan, 5 bulan pertama setelah kekalahan pada PRU-14, beliau masih lagi menjadi faktor yang memualkan rakyat kepada Barisan Nasional. Kehadiran beliau di PRK Sungai Kandis dipandang jijik sehinggakan beliau ‘dipaksa’ berehat daripada turun ke Balakong dan Seri Setia pada siri PRK seterusnya.

Lebih parah, sebahagian pemimpin atasan UMNO pada ketika itu menuduh beliau sebagai ‘racun’ yang menatijahkan kekalahan yang lebih besar kepada parti di Sungai Kandis.

Jadi apa formulanya?

26 September 2018. Ini adalah tarikh sebenar permulaan kebangkitan beliau. Ini adalah tarikh Datuk Seri Najib menghantar bondanya Tun Rahah menunaikan umrah sendiri disebabkan beliau masih disekat ke luar negara. 

Tidak sampai sebulan, popularitinya meningkat mendadak. Saya masih ingat antara posting awal yang mendapat sambutan adalah apabila beliau menulis tentang isu masalah harga sawit pada hujung Oktober. Dan selepas itu semuanya bagaikan menjadi arus sungai deras yang tidak lagi dapat ditahan-tahan

Tulisan beliau menjadi rujukan. Kejayaan kerajaan lama menjadi sebutan. Kehadirannya disambut bak negarawan. Beliau yang asalnya ‘racun’ kini dianggap antara faktor kemenangan di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

Beliau menjadi fenomena.

Semuanya dan semuanya kerana doa seorang ibu tua.

Demi Tuhan yang menitiskan hujan daripada gumpalan awan. Demi Tuhan yang menumbuhkan tanam-tanaman daripada tanah yang gambut dan gersang. Demi Tuhan yang memiliki segenap inci darat dan lautan. Demi Tuhan yang mengaturkan perjalanan bulan dan bintang. Aku bersaksi bahawa tidak ada hijab antara doa seorang ibu solehah yang merintih ikhlas menadah tangan memohon kepada Dzat yang memiliki segala kebesaran dan kemuliaan. 

Jika hari ini kita berjaya, kita bahagia dan kita kaya-raya, maka ketahuilah bahawa semua itu bukan semata-mata kerana usaha kita. Melainkan kerana berkat sepasang mata tua yang bangun pada tengah malam bersujud mendoakan kesejahteraan anaknya.

Daripada rahimnya kita lahir ke dunia. Dan pada dirinya juga tergantung kunci keredaan Tuhan kepada kita semua.

Semoga Allah memberikan keberkatan, kesembuhan dan kesihatan berpanjangan buat Tun Rahah Binti Mohamed Noah.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts