PERINCIAN DAN PENJELASAN NAJIB MENGENAI GST DAN SST

481
SHARES
1.6k
VIEWS

Oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

7.8.2018

Saya mungkin tidak ada peluang untuk menyampaikan keseluruhan pendirian saya mengenai GST dan SST di Dewan Rakyat kerana terlalu panjang dan masa yang terhad. Oleh demikian, saya kongsikan perinciannya di sini

Ubah sistem SST ke GST melalui kajian terperinci

Keputusan untuk berubah dari sistem SST kepada sistem GST bukanlah dilakukan secara melulu. Ia adalah satu keputusan yang dicapai serta dibuat selepas penelitian terperinci dan menjadi sebahagian dari Program Transformasi Ekonomi pada lewat 2009.

GST adalah langkah kritikal yang diperlukan negara

Walaupun ramai yang memberi amaran ia akan menjadi satu beban politik terhadap saya dan kerajaan apabila memperkenalkan satu cukai kepenggunaan (consumption tax) seperti GST yang lebih telus dan terdapat banyak contoh di mana kerajaan yang demokratik di dunia jatuh selepas memperkenalkan cukai itu, saya membuat keputusan untuk meneruskan langkah yang kritikal itu kerana ia amat diperlukan bagi menjamin masa depan Malaysia dan dalam hasrat kita menjadikan negara ini sebagai ekonomi maju.

Biarpun saya tahu kerajaan PH tak akan berganjak dan tidak mempunyai pilihan secara politik selain memansuhkan GST dan digantikan dengan SST, izinkan saya menjelaskan sekali lagi faktor-faktor kepada keputusan kerajaan saya untuk memperkenalkan GST pada 2015.

Rasional memperkenalkan GST

Objektif utama GST bukan semata-mata untuk mengutip lebih banyak wang dan membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Tidak. Jika ia semata-mata berkaitan duit, kerajaan hanya perlu menaikkan cukai jualan atau cukai perkhidmatan atau cukai korporat atau cukai pendapatan atau menjarah dana yang dimiliki Petronas.

Perlaksanaan GST ke arah negara berekonomi maju

Sistem GST juga diperlukan untuk memperbetulkan beberapa kelemahan-kelemahan struktur ekonomi negara, meningkatkan daya saing negara dan menjamin kestabilan dan perkembangan negara kita.

Terdapat pelbagai pertimbangan dan kelebihan pada GST yang dapat saya lihat dan mengapa saya lihatnya sebagai satu langkah penting ke arah kemajuan dan masa depan Malaysia bagi menjadikan negara kita sebagai sebuah negara dengan ekonomi maju. Bukanlah secara kebetulan di mana hampir kesemua negara maju telah bergerak dari SST kepada sistem GST.

Malaysia menjadi contoh bagi negara lain

Malah, selepas Malaysia memperkenalkan GST pada 2015, negara-negara seperti Egypt, India, UAE dan Arab Saudi turut memperkenalkan GST di negara masing-masing.

Biarpun adalah benar GST mengutip lebih banyak wang dari SST, sebab utama bukan hanya kerana GST meliputi lebih banyak barang, tetapi perlaksanaan GST di Malaysia adalah unik kerana ia mengecualikan lebih banyak barang dan perkhidmatan, malah paling banyak di dunia, dan hampir sebanyak yang disenaraikan bagi SST yang bakal dikembalikan di negara ini.

GST lebih telus danย mampu atasi penipuan pengilang/pengimport

Peningkatan kutip di bawah GST diperolehi dari pengurangan jumlah yang mengelak serta menghindari cukai, mengenakan cukai terhadap ekonomi samar, pengurangan pengaliran keluar modal tidak sah serta aliran keluar wang pekerja warga asing dan sektor pelancongan, di mana mereka boleh menghindarinya bawah sistem SST. Di sinilah di mana jumlah besar kutipan cukai diperolehi.

Di bawah sistem percukaian jualan, pengilang atau pengimport boleh menubuhkan sebuah syarikat pengedar di bawah proksi dan menjual produknya secara murah kepada pengedar itu. Cukai jualan hanya dikenakan ke atas pengilang atau pengimport dan ini membolehkan mereka membuat pengisytiharan lebih rendah bagi pembayaran cukai jualan.

Atau sesebuah kedai yang sepatutnya mengutip cukai perkhidmatan boleh menyimpan kutipan itu dan tidak perlu memulangkan jumlah sebenar kepada kerajaan, tidak seperti GST di mana mereka boleh menuntut cukai input, kerana SST tidak mempunyai insentif bagi mengisytihar jumlah sebenar.

Melalui sistem GST dan sistem pengawasan kendiri, harga jualan pengedar hinggalah kepada pengguna terakhir dipantau, justeru pengelakan cukai dapat dihindari pada kadar lebih tinggi.

Orang kaya belanja lebih, bayar GST lebih

Tambahan perolehan juga diperolehi dari golongan kaya sebagaimana sistem cukai kepenggunaan, kumpulan berpendapatan tinggi adalah mereka yang membayar lebih banyak wang di bawah GST kerana golongan inilah yang berbelanja tinggi.

Wang yang diperolehi dari pengelak cukai, perniagaan gelap, wang yang dijimatkan dari pengaliran keluar dana haram, pelancongan dan pekerja warga asing kemudiannya digunakan untuk disalurkan terus kepada kumpulan berpendapatan rendah atau membiayai projek infrastruktur penting yang boleh menjana pembangunan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

GST mampu bantu golongan sasar

Sebab itu kita berupaya meningkatkan jumlah pembayaran BR1M, gaji kakitangan awam, bantuan untuk nelayan, petani serta peneroka namun kerajaan PH tidak mampu melaksanakannya.

Sebab itu juga, apabila kutipan GST meningkat, jumlah yang dibayar selain jumlah penerima yang layak bagi BR1M serta lain-lain bantuan turut meningkat secara berperingkat. Langkah ini dapat mengurangkan jurang perbezaan pendapatan di Malaysia dan sebab itulah pekali Gini kita telah menurun di bawah 0.40 bagi 2016 buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, rakyat merasai kesaksamaan.

Pada ketika kemelesetan ekonomi, cukai pendapatan dan korporat mungkin akan menyusut secara mendadak selain penurunan harga minyak dunia turut memberi impak kepada pendapatan kerajaan dan boleh menyebabkan kesempitan bajet bagi negara ini yang pasti akan membawa kita kepada krisis atau kemelesetan.

Dalam krisis ekonomi, perniagaan akan kehilangan wang. Apabila rugi, mereka tidak lagi membayar cukai pendapatan dan ini turut bermakna ia akan menjejaskan kerajaan.

Pendapatan hasil GST adalah lebih mudah dijangka berbanding kutipan cukai pendapatan atau korporat dan pendapatan dari hasil minyak kerana berdasarkan kepada kepenggunaan. Biarpun ketika kemerosotan ekonomi, rakyat dan perniagaan masih lagi akan berbelanja, justeru pendapatan adalah lebih stabil.

GST membantu negara untuk jangka masa panjang

Ia juga mengurangkan kebergantungan kita kepada hasil minyak, iaitu satu aset yang ada penyusutan. Satu hari nanti, rizab minyak Malaysia akan habis atau pada era tenaga diperbaharui dan kereta elektrik, permintaan untuk petroleum akan turut menyusut. Adakah kita akan menunggu sehingga masa itu tiba tanpa bersiap sedia?

Sehubungan itu, GST mempunyai kelebihan dalam meredakan sebarang penurunan pendapatan kerajaan dan membolehkan kerajaan satu fleksibiliti untuk memperkenalkan program peransang bagi merancakkan kembali ekonomi.

Mengurangkanย cukai pendapatan dan korporat

Melalui GST, perancangan kerajaan BN juga adalah untuk mengurangkan cukai pendapatan dan korporat, di mana saya telah lakukan sejak mula menjadi Perdana Menteri. Ia adalah penting kerana negara jiran juga mengurangkan cukai korporat bagi menarik pelaburan. Thailand mengurangkan cukai korporat mereka dari 30 peratus kepada 20 peratus pada 2011 hingga 2013, manakala Indonesia turut menyatakan hasrat untuk mengurangkan cukai korporat kepada 17 peratus bagi menyamai Singapura.

Amerika Syarikat turut mengurangkan cukai korporat kepada 21 peratus daripada 35 peratus bermula 1 Januari 2018.

GST mampu umpan pelabur datang ke Malaysia

Jika cukai pendapatan dan korporat kita tinggi dan negara lain adalah lebih rendah, tiada sebab untuk pelabur asing dan tempatan melabur di negara ini dan lebih berminat untuk melabur di negara yang menawarkan kadar cukai lebih rendah.

Tanpa GST, kita tidak lagi berupaya untuk mengurangkan cukai pendapatan atau korporat dan ini akan memberi kesan buruk kepada daya saing negara ini sebagai tumpuan perniagaan dan pelaburan.

Mengurangkan kadar cukai korporat juga penting dalam menangani masalah pengaliran keluar dana haram (illicit capital outflow) di mana ia sudah pun menjadi satu masalah kepada negara sebelum saya dilantik sebagai Menteri Kewangan atau Perdana Menteri.

GST mengekang aliran modal keluar secara tidak sah

Sebagai contoh pada tahun 2004 dan 2005, 21.2 peratus dan 24.6 peratus KDNK negara ini hilang ekoran pengaliran keluar modal tidak sah ke negara-negara jiran. Ini adalah satu jumlah yang besar di mana Malaysia tidak menerima sebarang manfaat malah tidak boleh mengenakan cukai namun dinikmati negara lain.

Sebanyak 80 peratus daripada pengaliran modal tidak sah ini adalah ekoran harga tidak betul dalam perniagaan dan berikutan perbezaan cukai korporat antara negara. Sebagai contoh, sebuah pengilang berpusat di Malaysia di mana cukai korporat adalah 28 peratus boleh menjual barangan mereka secara murah kepada syarikat pengedar dimiliki mereka di mana kadar cukai adalah 17 peratus. Dengan berbuat demikian, pengilang itu dapat mengelak dari membayar cukai yang banyak tetapi negara lain dapat mengutip cukai yang sepatutnya hak kita.

Berikutan pemantauan yang lebih ketat dan pengurangan secara berperingkat cukai korporat ketika saya sebagai PM, pengaliran keluar modal tidak sah ini telah berkurangan sebanyak 10.5 peratus daripada KDNK bagi angka terakhir yang diperolehi bagi 2014 ataupun US$35.5 bilion (RM143.8 billion) pada tahun itu, di mana ia adalah satu penurunan yang besar berbanding 25.6 peratus sebelum ini. Masalah aliran keluar Kewangan secara haram ini melibatkan jumlah beratus-ratus bilion.

Sistem pengawasan yang lebih baik di bawah GST selain kemampuan untuk mengurangkan cukai korporat turut mengurangkan pengaliran keluar modal tidak sah. Namun, kita bakal kehilangan keupayaan ini tak lama lagi.

Untuk jangka pendek, anda boleh menjarah rizab Bank Negara Malaysia, Khazanah dan Petronas yang ditinggalkan kerajaan saya bagi membayar kekurangan hasil daripada pemansuhan GST dan menggantikannya dengan SST. Tetapi kita tahu ini tidak mampu bertahan (not sustainable) untuk jangka panjang. Namun kerajaan PH telah mengumumkan mereka mengambil langkah ini.

Mansuh GST adalah langkah mengundur

Kesan dari langkah populis untuk memansuhkan GST dan membawa negara ke belakang berbanding negara di dunia akan pasti dirasai pada tahun mendatang – bukan sekarang.

Ia akan dapat dilihat kesannya pada pertumbuhan negara pada masa akan datang, pertumbuhan peluang pekerjaan dan keupayaan untuk mengelak dari terjerumus dalam kemeseletan dan kejutan ekonomi seperti kemelesetan ekonomi global atau kejatuhan mendadak harga komoditi.

Pakatan Harapan akui GST lebih berkesan

Kerajaan saya membuat keputusan yang sukar dan diakui sebagai satu langkah politik yang payah untuk memperkenalkan GST di mana ia turut diperakui kerajaan PH bahawa ia adalah satu sistem percukaian yang lebih efisien.

Adalah mengecewakan apabila langkah ini diundurkan dan negara ini akan menjadi kurang kompetitif dan terjamin kerana kerajaan PH telah melangkah bertentangan dengan nasihat pakar ekonomi dengan memansuhkan GST sebagai strategi utama untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Harga barang telah stabil di bawah GST kerana ia telah dilaksanakan selama tiga tahun. Sebab itu, GST sifar tidak menurunkan harga barang. Sekarang, harga barang pasti akan naik lagi selepas SST dilaksanakan.

Saya rumuskan:

1. Malaysia kini hilang semua kelebihan ekonomi, sifat kompetitif dan pemangkin ekonomi yang di bolehkan oleh GST. Masalah dan kelemahan struktur ekonomi dulu seperti cukai korporat yang tinggi, pengelakkan cukai dan aliran luar wang haram juga akan kembali.

2. Kita juga akan kehilangan kemampuan ekonomi kita untuk mendepani kemelesetan ekonomi atau kejatuhan harga komoditi eskport kita secara mendadak atau tiba-tiba, tanpa kita terjerumus ke dalam krisis ekonomi yang meruncing kerana kita tidak lagi mempunyai GST yang menjadi penampan kepada situasi itu.

3. Kerajaan juga akan kehilangan kemampuan untuk terus menolong rakyat yang memerlukan seperti dahulu.

4. Tambahan pula ialah apabila harga tidak turun selepas GST disifarkan maka rakyat akan dibebankan dengan harga lebih tinggi apabila SST dilaksanakan.

Ia adalah empat tamparan hebat kepada negara.

Saya tidak lagi berada dalam kedudukan untuk menghalang kerajaan dari melangkah ke belakang dengan mengembalikan SST dari GST tetapi saya mahu mereka sedar akibat yang bakal dirasai rakyat dan negara pada tahun-tahun mendatang.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts