ISU VAKSIN COVID-19: TANGANI PERSEPSI MASYARAKAT, KERAJAAN WAJAR ELAK DILABEL ‘DIKTATOR’

624
SHARES
3.7k
VIEWS

Cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan ingin mengehadkan pergerakan bagi individu yang ‘menolak’ vaksin yang akan diberi secara berperingkat mulai 26 Februari ini dilihat sebagai tidak adil kepada rakyat. Malah ia dilihat terlalu awal diuar-uarkan dan bersifat menghukum rakyatnya yang selama ini patuh dan mengamalkan SOP, berbanding SOP menteri-menteri sendiri yang sengaja dilonggarkan.

Inilah antara masalah yang kerajaan perlu selesaikan terlebih dahulu bukannya bersikap menuding jari dan “meletakkan kesalahan kepada rakyat” dengan memberi ancaman “jika tidak mahu vaksin, pergerakan mereka akan dihadkan”.

Tangani isu ‘kepercayaan’ rakyat terlebih dahulu

Dalam isu vaksin ini kerajaan perlu tanamkan kepercayaan dalam kalangan rakyat terlebih dahulu. Berikan data telus dan bukannya melalui beberapa doktor yang membuat video peribadi yang tambah menyakitkan hati dan tidakpun menjawab persoalan. Selain itu kenapakah penjelasan dilakukan secara ‘sehala’ dan bukannya mengajak pelbagai pihak yang ragu-ragu tersebut untuk bersemuka dan diberi penjelasan tuntas.

Kerajaan tentu mempunyai data dan jawapan kepada semua persoalan yang akan dibangkitkan dan biar rakyat menilai sendiri. Lakukan penerangan secara dua hala ini berkali-kali. Selesaikan isu ini terlebih dahulu iaitu bina kepercayaan bahawa pemberian vaksin ini selamat, bersih dan tiada kesan sampingan. Jentera kerajaan perlu digerakkan sepenuhnya dalam memberi penerangan, bukannya menjawab satu persatu dengan menghentam netizen di media sosial yang menyebabkan rakyat meluat. Malah lebih mudah jabatan terlibat selepas ini menyalurkan sebarang maklumat tepat kepada masyarakat. 

Berikan jaminan atau ‘gerenti’ yang tinggi kepada rakyat

Kerajaan wajar mencontohi Singapura dalam memberi bantuan kewangan kepada rakyatnya sekiranya mereka mengalami kesan sampingan selepas mengambil vaksin termasuk jika melibatkan kematian. Ini menunjukkan kerajaan bertanggungjawab dan berani mengambil risiko. 

Contohnya kerajaan Malaysia tawarkan sejuta ringgit bagi yang mengalami masalah kronik selepas di vaksin. Jumlah lebih rendah ditawarkan mengikut kompleksiti penyakit dan kemudian semua kos perubatan ditanggung sepenuhnya di hospital swasta terpilih ataupun di kelas pertama hospital kerajaan. Jika berlaku kematian maka kerajaan tawarkan compensation yang jauh lebih tinggi. Ini menunjukkan kerajaan prihatin dengan kehidupan rakyat dan keluarganya serta ‘kebersamaan’ dalam semua perkara. 

Tawaran bukan ‘compensation‘ sebaliknya bukti kerajaan yakin dan tiada keraguan

Kerajaan wajar memberi jaminan yang bukan sahaja sebagai ‘compensation‘ tetapi sebenarnya ia merupakan “jaminan vaksin itu selamat”. Jangan takut dalam ‘invest‘ kepercayaan rakyat, ini bukan memperbodohkan atau ‘menggula-gulakan’ rakyat tetapi demi membuktikan pemberian vaksin ini sebagai satu keperluan.

Jika kerajaan ragu-ragu dan takut memberi bantuan yang tinggi jika ada kesan sampingan, kenapa pula mahu salahkan rakyat yang ragu-ragu dan takut mahu mengambilnya?

Bukankah vaksin ini telah dijamin selamat? Malah kerajaan tidak akan rugi sesenpun kerana mungkin tiada seorangpun yang akan membuat tuntutan selepas divaksin. Jadi kerajaan tidak perlu takut ‘mengeluarkan’ belanja. 

Antara rakyat yang ragu-ragu, golongan ‘antivax’ dan ahli teori konspirasi

Selain itu, kerajaan perlu tahu untuk membezakan antara rakyat yang masih ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin Covid-19 dan golongan ‘antivax‘. Satu lagi ialah golongan teori konspirasi yang juga perlu kerajaan kenalpasti dan tangani terlebih dahulu.

Ia sebenarnya berpunca daripada kegagalan menghapuskan pelbagai keraguan akibat pemberian vaksin sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan teori. Punca sebenar ialah timbulnya ‘persepsi’ kerana rakyat masih ragu-ragu. ‘Garisan halus’ antara percaya dan tidak inilah punca kepada pelbagai teori dan lain-lain masalah mengenai vaksin Covid-19. 

Kerajaan perlu tangani tanggapan-tanggapan atau persepsi ini terlebih dahulu sebelum ia merebak dan menjadi punca kepada spekulasi dan ‘teori konspirasi’ yang tidak berkesudahan. Apabila rakyat percaya dan yakin dengan program vaksinasi kerajaan maka dengan mudah persepsi ini ditangani, sekaligus memastikan teori konspirasi ini dapat dikawal. 

Jangan ‘generalize‘ rakyat yang ragu-ragu dengan antivax

Selain itu, kerajaan tidak boleh ‘generalize‘ semua rakyat yang ragu-ragu dengan vaksin sebagai antivax serta ahli teori konspirasi dan jangan bertindak menghukum mereka jika masih belum yakin untuk patuh dengan program vaksinasi kerajaan. Lebih baik santuni mereka dan fahami masalah daripada puncanya terlebih dahulu. 

Jika golongan antivax sebelum inipun tidak pernah dikekang pergerakannya oleh mana-mana kerajaan yang memerintah sebelum ini maka jika kerajaan laksanakan juga pergerakan dihadkan ke atas rakyat yang belum mengambil vaksin, maka kerajaan hanya mengesahkan tanggapan masyarakat bahawa kerajaan ini sedang berfungsi secara ‘diktator’. 

Benarkah kerajaan diktator? 

Jika kerajaan mengambil pendekatan menghukum rakyat dengan mengekang pergerakan, bukankah ini ditakrifkan sebagai sikap keras dan diktator? Apatah lagi rakyat akan mengaitkan dengan Ahli-ahli Parlimen ketika ini yang sepatutnya mewakili mereka tetapi turut dikekang melalui penggantungan Parlimen. Sedangkan ke pasaraya, pasar malam, menjamu selera di kedai makan dan restoran serta mencuba nasib di kedai judi dan pelbagai premis perniagaan yang lain telahpun dibenarkan. 

Maka apakah takrif bagi kerajaan sekiranya rakyat dan wakil kepada mereka iaitu Ahli Parlimen dinafikan hak untuk bersuara bagi pihak rakyat, jika bukan ini dinamakan sebagai ‘kediktatoran’? Justeru perkara ini menjadi hal yang terakhir ingin dikaitkan dengan sesebuah kerajaan. 

Kerajaan perlu menjaga maslahat ummah

Oleh itu ia perlu dielakkan kerana salah satu sifat kerajaan yang diktator ialah tiada “semak dan imbang” – yang wajib ada dalam sesebuah negara berdaulat. Kerajaan juga perlu menjaga ummah di bawahnya bukan melaung-laungkan “demi perpaduan ummah” hanya apabila tiba isu antara parti politik Melayu Islam

Tetapi hakikatnya ummah tidakpun dijaga malah akan dihukum apabila tidak mengikut program yang ditetapkan kerajaan – tanggapan dan persepsi buruk ini juga perlu dielakkan ketika ini agar tidak merencatkan sebarang program kerajaan. 

Ancaman ‘dalam diam’ warga asing terhadap program vaksinasi negara

Selain itu, jika rakyat yang tidak atau belum menerima vaksin tidak dibenarkan memasuki pre­mis perniagan dan restoran da­lam usaha memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya, bagaimana jika premis perniagaan dan restoran tersebut menggajikan pekerja asing yang belum tentu sudah menerima suntikan ataupun tidak? Maka bukankah risiko jangkitan akan tetap berlaku?

Kerajaan mungkin boleh memberi alasan warga asing diberi vaksin percuma tetapi sejauh manakah ia akan dipatuhi? Contohnya kerajaan mengharamkan pekerja asing tanpa izin (PATI) bekerja di negara ini tetapi berapa juta PATI yang sedang bekerja dalam negara ketika ini? Bagaimana pula dengan premis perniagaan milk warga asing yang tumbuh bagaikan cendawan, adakah mereka akan patuh dengan perintah vaksin ini kelak? 

Rujuk berita jumlah lambakan berjuta PATI di negara ini yang dilaporkan di pautan;

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/rencana/komentar/2019/03/542744/negara-dijajah-pendatang-tanpa-izin-secara-senyap

Tangani isu pemberian vaksin dalam kalangan warga asing terlebih dahulu

Justeru masalahnya tetap sama jika rakyat divaksin ataupun tidak, jika warga asingnya berleluasa tidak tentu hala di merata tempat. 

Apa yang penting janganlah sampai rakyat sendiri dilayan seperti “menyusukan kera di hutan, anak di rumah mati kelaparan.” Rakyat salah meletakkan kereta ataupun berniaga burger ditarik dan disaman, peniaga warga asing seumpana berada di syurga kayangan tidak diambil tindakan. Sama seperti isu  vaksin kelak, seketat manapun ia dilakukan pasti akan ada yang bolos. Hukuman perlu keras dan penguatkuasaan perlu tegas.

Kesimpulan

Kerajaan disaran menggunakan pendekatan ‘targhib’ iaitu dengan perbanyakkan beri galakan dan dorongan serta ‘khabar-khabar’ gembira kepada rakyat. Bukannya dengan cara ‘tarhib’ iaitu dengan lebih banyak menyalahkan dan menghukum rakyat serta ‘membayangkan’ akibat-akibat yang buruk terhadap mereka jika tidak dipatuhi. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts