SURAT PEMBACA | Pertama kali dalam sejarah Universiti Malaya (UM), anak syarikatnya membayar bonus kepada Lembaga Pengarah yang berjumlah ratusan ribu ringgit. Isu ini sedang hangat diperkatakan oleh warga UM, yang mempersoalkan rasional keputusan tersebut yang melibatkan UM Holdings Sdn Bhd (UMH).
Difahamkan Pengerusi UMH, Tan Sri Abdul Rahim Mohamad mahukan pemberian bonus itu kepada ahli-ahli lembaga pengarah atas faktor perkongsian keuntungan. Ekoran itu, perkara tersebut telah dibawa kepada lembaga pengarah dan ia mendapat persetujuan. Selepas bayaran bonus dibuat, isu itu telah sampai ke pengetahuan Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar.
Dengan kata lain, Lembaga Pengarah UMH tidak mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada badan induk iaitu Lembaga Pengarah UM. Setelah melakukan penelitian, Tan Sri Zarinah menyatakan bantahan dalam isu pemberian bonus dan meminta keputusan Lembaga Pengarah UMH ditarikbalik.
Pemberian bonus itu dilihat tidak wajar ketika negara berdepan tekanan ekonomi disebabkan wabak COVID-19. Lagipun tiada IPTA lain yang memberi bonus kepada Lembaga Pengarah termasuk anak syarikat. Kalau adapun, cuma bayaran elaun bulanan dan elaun mesyuarat yang kecil jumlahnya.
Keputusan Tan Sri Abdul Rahim dan anggota lembaga itu amat mengejutkan seolah-olah UMH adalah syarikat berprestij di Bursa Malaysia. Sedangkan hakikatnya, Lembaga Pengarah UMH dilantik untuk membantu UM menjana kewangan atas semangat “national service”, bukannya platform untuk meraih ganjaran kewangan yang lumayan.
Sepatutnya Lembaga Pengarah lebih sensitif dengan keadaan sekeliling terutama menyedari bahawa lebih 5O peratus pelajar UM adalah daripada keluarga golongan B40. Sekiranya bayaran bonus itu diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan ini, bayangkan berapa ribu pelajar yang dapat menikmati faedahnya ?
Sebagai warga UM, kami merasa kecewa dengan isu tersebut yang dilihat membelakangkan kepentingan universiti secara keseluruhannya. Namun bagi berlaku adil kepada Tan Sri Rahim dan agar tidak menjadi mangsa fitnah, beliau perlu tampil memberikan penjelasan. Dalam soal mencari kebenaran, sesiapa sahaja berhak untuk mempertahankan diri.
Tan Sri Abdul Rahim juga perlu menjawab beberapa persoalan penting. Apakah beliau akan akur dengan arahan Tan Sri Zarinah agar keputusan pemberian bonus ditarik balik dan wang dikembalikan kepada UMH? Juga adakah benar jumlah bayaran bonus kepada Tan Sri Rahim dan anggota Lembaga Pengarah sehingga mencecah RM500,000?
Selain itu, benarkah Naib Canselor dan Bendahari UM (yang juga anggota Lembaga Pengarah UMH), turut menyokong serta menerima bayaran bonus itu? Kami sangat berharap agar semua dakwaan ini yang melibatkan beliau dan anggota Lembaga Pengarah lain, adalah tidak benar. Namun sekiranya dakwaan ini benar dan mempunyai asas yang kuat, Tan Sri Abdul Rahim wajar memohon maaf kepada seluruh warga UM.
Memandangkan apa yang berlaku ini adalah pelanggaran tadbir urus dan integriti yang serius, beliau dan ahli Lembaga Pengarah UMH perlu segera meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab. Ini demi menjaga nama baik dan integriti UM, sesuai dengan status UM sebagai 100 universiti terbaik di dunia.
Pada masa yang sama, diharap Tan Sri Zarinah dan Lembaga Pengarah UM terus bertegas menuntut pemulangan bayaran bonus itu. Apapun, warga kerja UM berharap Isu ini dapat diselesaikan segera.
-Warga UM marhaen
Lembah Pantai, Kuala Lumpur