KECEWA DENGAN SRI AL-AMIN WANGSA MAJU PINDAH KE LOKASI TIDAK SESUAI

699
SHARES
2.3k
VIEWS

SURAT PEMBACA | Saya hairan dengan langkah pengurusan Sekolah Rendah Islam Al -Amin cawangan Wangsa Maju berpindah ke lokasi yang tidak sesuai di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. Sebagai bapa kepada seorang pelajar di sekolah tersebut, saya melihat ia keputusan yang kurang bijak dan gelojoh.

Lokasi baharu sekolah itu tidak kondusif kepada imej sekolah swasta yang sepatutnya agak selesa persekitarannya. Masalah paling utama adalah kesesakan jalan disebabkan laluan sempit di kawasan perumahan yang sememangnya sibuk. Sepatutnya sebelum mengambil langkah berpindah daripada Wangsa Melawati, kajian patut dilakukan dan turut mendapatkan terlebih dahulu maklum balas pihak ibu bapa.

Dengan lokasi baharu ini, ia lebih menyukarkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak mereka terutama pada awal pagi. Para penduduk di situ juga nampak seperti kurang senang dan malah merungut secara terbuka. Dengan yuran sekolah yang tinggi, apakah berbaloi menghantar anak-anak belajar di sekolah berkenaan?

Ketika ramai ibu bapa Islam mahu menyokong sekolah konsep Islam seperti itu, pihak sekolah itu pula tidak sensitif kepada suara dan harapan ibu bapa. Saya juga kecewa dengan cara pengendalian urusan mengambil buku sekolah yang tidak sistematik dan menyukarkan ibu bapa. Hanya satu kaunter dibuka menyebabkan ibu bapa terpaksa berbaris lama sambil memikirkan kenderaan mereka yang terpaksa parkir di depan rumah para penduduk di situ disebabkan tiada ruang parkir.

Begitu juga majlis konvokesyen dan persembahan serta sukan tahunan para pelajar, yang diadakan di lokasi yang berjauhan dari sekolah dan kediaman kebanyakan ibu bapa. Ia memperlihatkan perancangan yang tidak kemas oleh pihak pengurusan Sekolah Rendah Islam Al-Amin Wangsa Maju dan kegagalan memahami kehendak para ibu bapa.

Dengan perkembangan ini, saya sudah memikirkan langkah untuk menukarkan anak saya bersekolah ke tempat lain selepas habis penggal nanti. Saya juga tidak mungkin menghantar seorang lagi anak saya yang bakal masuk tahun satu pada tahun 2023, disebabkan masalah tersebut.

Saya berharap Kementerian Pendidikan memantau sekolah-sekolah swasta agar mengambil kira persekitaran yang sesuai. Tujuan saya membangkitkan hal ini bukan mahu mengkritik pihak pengurusan Sekolah Islam Al-Amin tetapi lebih kepada luahan isi hati dan maklum balas yang sebenar. Kebanyakan ibu bapa enggan membuat teguran kerana tidak mahu anak mereka akan merasa tertekan ketika berada di sekolah nanti.

Harapan besar saya adalah pihak Sekolah Rendah Islam Al-Amin akan lebih kompeten dan sensitif demi menjaga imej pendidikan sekolah aliran agama (swasta) di negara ini.

Bapa kecewa

Wangsa Maju, Kuala LumpurĀ 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts