BENARKAH ISMAIL SABRI SEDANG SABOTAJ PARTINYA SENDIRI?

479
SHARES
2.8k
VIEWS

Bukan rahsia lagi di mana akar umbi UMNO ketika ini semakin marah dan meluat kepada Naib Presidennya sendiri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri yang juga berjawatan Perdana Menteri ketika ini. Perkara ini berlaku kerana beliau dilihat cuba melengah-lengahkan pembubaran Parlimen sepertimana ketetapan parti sebelum ini, walaupun beliau sendiri tahu partinya kini berada dalam momentum terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum. Ismail Sabri ketika ini dilihat oleh akar umbi UMNO sebagai tidak menghormati institusi Presiden kerana terlalu kerap membelakangkan parti. Walaupun beliau mungkin masih berhubungan baik dengan pemimpin-pemimpin lain dalam partinya namun ia tetap memberi mesej yang salah dan memudaratkan parti. 

Perdana Menteri lemah

Ismail Sabri juga semakin dikritik ketika ini selain dilihat sebagai Perdana Menteri yang lemah kerana gagal menyelesaikan masalah hidup rakyat yang semakin meruncing, harga barang pula semakin naik dan kehidupan rakyat semakin tidak stabil serta terumbang-ambing tanpa penyelesaian. Di sebalik masalah yang menimpa rakyat, Ismail Sabri selaku Perdana Menteri sebaliknya hanya tahu mewujudkan “pasukan jihad” yang turut dianggotai oleh menteri-menteri sama yang gagal menyelesai masalah rakyat di peringkat kementerian masing-masing.

Rakyat ragu-ragu tujuan Pasukan Jihad ditubuhkan

Persoalannya, di mana relevannya pasukan khas itu diwujudkan dan apa signifikannya apabila ia dipengengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia? Bukankah jika penubuhan pasukan ini turut melibatkan NGO dan persatuan pengguna yang menjadi wakil kepada rakyat bawahan, nampaklah sedikit keprihatinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dalam menyelesaikan masalah rakyat – bukannya bertindak hanya seperti melepaskan batuk di tangga tanpa penyelesaian tuntas mendepani masalah yang dihadapi rakyat. 

Rundingan jawatan TPM vs. masalah rakyat

Sepatutnya di sebalik masalah yang mendasar ini, Ismail Sabri mengambil peluang untuk membuktikan beliau masih relevan dan perlu kekal sebagai Perdana Menteri, yang hanya berkhidmat demi rakyat dan negara. Tetapi lebih teruk dan menimbulkan kemarahan rakyat, beliau tiba-tiba melayan Tan Sri Mahiaddin dan Bersatu untuk berunding bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kedudukan jawatan dalam kabinet. Perkara ini dilihat rakyat sebagai sangat melampaui batas dan tidak masuk akal kerana dalam keadaan hidup yang serba sukar, mereka masih sempat mencatur jawatan bagi mengukuhkan kedudukan sendiri dan bukannya mengutamakan agenda bagi membela nasib rakyat. 

Wujud usaha melemahkan parti

Ismail Sabri juga dilihat asyik sibuk berbincang dan hanya ‘mendengar nasihat’ pimpinan Perikatan Nasional mengenai pembubaran Parlimen walaupun partinya UMNO ketika ini mempunyai peluang cerah untuk menang di PRU-15 sekiranya Parlimen dibubar dalam waktu yang terdekat. Bukankah lebih cerdik dan cermat apabila PRU diadakan ketika parti sendiri berada dalam keadaan kuat dan stabil? Melainkan Ismail Sabri mempunyai agenda lain bagi melemahkan partinya sendiri. Ia bukan lagi rahsia malah perkara ini telahpun menjadi bualan harian dalam kalangan akar umbi UMNO yang semakin ragu-ragu dengan pelbagai kenyataannya yang kerap membelakangkan parti.

Sengaja biar disabotaj Menteri-menteri Bersatu

Sedangkan beliau tahu, lebih lama PRU ditangguhkan, ia akan membuka ruang untuk UMNO dipersalahkan atas segala kegagalan kerajaan membantu dan membela rakyat, walaupun jelas Menteri-menteri Bersatu yang menjaga portfolio tertentu di beberapa kementerian cuba mensabotaj beliau sehingga menimbulkan kebencian rakyat. Tindakan sabotaj Menteri-Menteri Bersatu ini juga secara tidak langsung akan melemahkan UMNO dan momentum kemenangan di beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini akan berjaya dikendurkan.

Tahu dirinya disabotaj

Sedangkan hakikatnya isu mensabotaj beliau ini juga berada dalam pengetahuan Ismail Sabri kerana wujud pengakuan sekumpulan ‘pelobi’ yang amat rapat dengannya mengakui bahawa Menteri-menteri daripada Bersatu sengaja memperlihatkan beliau lemah dan tidak tahu membuat kerja termasuk dalam isu lawatan ke luar negara. Ini mengakibatkan Ismail sering kali gagal membawa pulang pelaburan asing masuk ke negara ini.

Merestui usaha sabotaj “Perdana Menteri UMNO?”

Namun yang menghairankan, Ismail Sabri seolah-olah merestui tindakan sabotaj secara sengaja ini yang secara tidak langsung menjelaskan persoalan kenapakah beliau masih tidak mahu bertindak ‘mencantas’ Menteri-menteri Bersatu yang mensabotajnya itu dengan membubarkan Parlimen. Seolah-olah Ismail Sabri sengaja mahu mengekalkan kabinet gagal yang diwarisi daripada Perikatan Nasional, sekaligus sengaja membiarkan rakyat semakin membenci partinya sendiri. 

Berunding dengan Mahiaddin yang bakal kehilangan kerusi Pagoh

Hakikatnya, rakyat yang marah tentu akan membalas dendam terhadap Menteri-menteri Bersatu yang gagal berkhidmat dengan baik termasuklah Mahiaddin sendiri yang dilihat bakal kehilangan kerusi Parlimennya pada PRU-15 kelak. Pengundi-pengundi di Pagoh pasti akan menghukum beliau di mana analisis sebelum ini menunjukkan pengundi-pengundi Pakatan Harapan yang mengundinya di PRU-14 tidak akan mengundi beliau sekali lagi kerana telahpun dilabel sebagai pengkhianat, walaupun cubaan mewujudkan ‘khemah besar’ sedang dirundingkan bersama DAP dan Pakatan Harapan.

Kenapa lebih percayakan musuh UMNO? 

Amat tidak cerdik jika Presiden Bersatu yang bakal kehilangan kerusi dan bakal ‘dipencenkan’ rakyat ini lebih dipercayai oleh Ismail Sabri berbanding partinya sendiri, melainkan memang benar sangkaan akar umbi bahawa beliau sendiri terlibat dalam rancangan mensabotaj UMNO dan terlibat bersama segelintir pemimpin-pemimpin parti yang dikategorikan sebagai “pemimpin kategori ketiga” – iaitu pemimpin-pemimpin UMNO yang hakikatnya menyokong Bersatu.

Jika benar, justeru secara tidak langsung menjelaskan persoalan utama yang berlegar-legar ketika ini iaitu kenapakah Ismail Sabri seolah-olah sengaja menangguhkan PRU-15 dengan tujuan untuk melemahkan UMNO serta kenapakah beliau beriya-iya melayan Bersatu yang kononnya telah ‘mensabotaj’nya ini.

Komplot sabotaj UMNO

Rupa-rupanya bukanlah kerana beliau terhutang budi kepada Mahiaddin dan Bersatu yang memberi laluan kepadanya menjadi “Perdana Menteri bidan terjun” dan kenapakah beliau seolah-olah bersikap tidak cerdik tidak mahu menjadi party man walaupun peluangnya jauh lebih cerah untuk kekal sebagai Perdana Menteri – kerana beliau sebenarnya sebahagian daripada komplot pemimpin-pemimpin UMNO yang sengaja mahu mensabotaj parti sendiri. Beliau boleh menafikan hal ini namun tindakannya perlu selari dengan apa yang dikatakannya. 

Rancangan jahat ke atas pemimpin-pemimpin UMNO

Justeru, benar ataupun tidak, dengan perlakuannya ketika ini sebenarnya hanya akan memudaratkan beliau sendiri dan bukannya parti, kerana majoriti akar umbi dan rakyat ketika ini sedang menolaknya. Apa jua rancangan sabotaj mereka ini, termasuk ‘membeli masa’ agar kedua-dua pemimpin utama UMNO iaitu Dato Sri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berjaya dipenjarakan, serta Timbalan Presiden UMNO Dato Seri Utama Mohamad Bin Hasan pula akan cuba ‘dimatikan’ dengan beberapa siri pertuduhan, namun yakinlah perancangan Allah Taala mengatasi segala-galanya.

Kejutan maneuver politik

Malah Ismail Sabri sendiri pasti akan terkejut dengan ‘maneuver‘ politik yang sedang berjalan di belakangnya tanpa disedari, daripada pihak yang langsung tidak disangka-sangkanya ketika ini – yang akan membuatkan beliau bakal terlepas jawatan Perdana Menteri ke-10 yang amat diidam-idamkannya. Lebih buruk, mungkin sehingga ke tahap beliau sendiri akan terus bersara daripada politik tanahair.

Kesimpulan

Jika sebelum ini Ismail Sabri telahpun dinasihatkan agar jangan tersalah langkah, namun kini beliau dilihat telahpun memilih jalan yang sukar dan berkonfrontasi untuk kekal menjadi Perdana Menteri. Apapun yang akan berlaku, Ismail Sabri perlu tabah dan reda dengan kejutan politik terkini yang dilihat tidak lagi memihak kepadanya apabila memilih jalan yang salah dan tidak diredai.

Hakikatnya pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Atau lebih tepat boleh dikatakan ialah manusia itu yang selalu lupa dan asyik merancang, namun Allah Taala tidak sekali-kali lupa dan Allah jualah sebaik-baik Perancang.

Wallahualam. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts