Sepatutnya mana-mana pasukan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang ditugaskan untuk membantunya dalam urusan seharian termasuk pasukan media, tidak boleh melatah awal ataupun bersikap seperti monyet terkena belacan.
Apatah lagi apabila Penasihat Undang-undang Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said sendiri yang membuat kenyataan panas membabitkan ketua mereka, budak-budak di PMO ini sewajarnya bersikap ‘cool‘ dan dalam setiap masa wajar memastikan imej Perdana Menteri dijaga sebaik mungkin. Jika mereka di bahagian media sendiri yang bersikap kebudak-budakan, cepat melatah apabila Perdana Menteri dikritik, ini hanya merosakkan imej bos mereka iaitu Perdana Menteri.
Mungkin kerana seronok digelar “budak-budak PMO” maka mereka bersikap lebih sudu dari kuah, yang hanya memalukan Ismail Sabri ketika ini. Bersederhanalah, ikutlah sikap baik pemimpin-pemimpin terdahulu yang berkhidmat untuk rakyat, jangan terlalu cepat ‘sentap’ apabila Perdana Menteri dikritik. Jangan lupa sikap dan kebodohan PMO di zaman Tan Sri Mahiaddin Yassin, yang akhirnya memalukan beliau ke satu dunia, seolah-olah sabotaj pula dilihat ketika itu.
Justeru, budak-budak PMO ini wajar bersikap rendah diri dan jangan suka membuli. Tiada sesiapapun suka dibuli apatah lagi menyukai pembuli. Jangan lupa, pembuli ini biasanya tidak kekal lama. Apabila jatuh kelak jangan lari ‘tercirit-cirit’ menyelamatkan diri. Jika anda lupa, orang lain pasti tidak akan lupa dan menunggu anda.
Tenanglah, simpan sedikitlah kebodohan itu dan raikanlah perbezaan pendapat. Jika yang ditegur Azalina itu benar maka terimalah. Jika tidak benar maka biarlah Ismail Sabri sendiri menegur Penasihat Undang-undangnya sendiri. Ketika ini Ismail Sabri pasti malu dengan sikap budak-budak PMO beliau yang hanya memperbodohkan diri sendiri.