DIPLOMATNYA DIUSIR, CHINA BERTINDAK BALAS USIR DIPLOMAT KANADA

336
SHARES
2k
VIEWS

China yang sebelum ini dituduh kerajaan Kanada cuba mempengaruhi ahli politik dan pilihan rayanya mengusir wakil diplomat Kanada semalam.

Ia dilakukan sebagai tindak balas kepada pengusiran oleh Kanada terhadap seorang diplomatnya yang dituduh cuba menakutkan seorang Ahli Parlimen Konservatif Kanada Michael Chong yang menyuarakan kritikan terhadap China dalam isu Uyghur. 

Isnin lepas, Kanada mengisytiharkan diplomat China Zhao Wei sebagai “persona non grata” dan meminta beliau meninggalkan negara itu. Tindakan itu menyebabkan China bertindak balas dan mengusir Jennifer Lynn Lalonde, seorang diplomat di Konsulat Kanada di Shanghai.

Tindakan mengusir Zhao itu diambil beberapa hari selepas media Kanada mendedahkan dokumen Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada (CSIS) yang mendakwa China melakukan “operasi belakang tabir” terhadap calon Konservatif dalam pilihan raya serta mempromosi calon parti Liberal.

Ketua CSIS dilaporkan memberitahu Chong selepas undiannya menyokong resolusi berkaitan Uyghur bahawa beliau dan keluarganya menjadi sasaran. Chong bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui sebarang percubaan untuk mempengaruhinya, tetapi menyatakan telah dikenakan sekatan oleh China pada 2021 selepas menaja resolusi tersebut.

Menteri Luar Negeri Kanada, Melanie Joly berkata, diplomat China lain juga boleh dipecat jika tindakan sedemikian berterusan.

Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman kami,” kata Joly dalam satu kenyataan.

Jurucakap China Wang Wenbin dalam sidang akhbarnya mengulas bahawa tuduhan China cuba mempengaruhi hal ehwal dalaman Kanada adalah “manipulasi ideologi dan politik yang direka untuk memfitnah dan memburukkan China.”

Beliau menambah bahawa China berhak untuk mengambil tindakan selanjutnya dan langkah itu adalah “tindak balas timbal balik.” Namun Wang tidak memberikan jawapan apabila ditanya mengapa Lalonde dipilih secara khusus untuk dihalau.

Mengulas mengenai laporan CSIS, Wang memberitahu bahawa penemuan itu adalah sebahagian daripada percubaan untuk memburuk-burukkan misi diplomatik dan konsular China di Kanada.

Tiada satupun tuduhan berdasarkan fakta,” kata Wang. “Mereka dibuat-buat dengan agenda tersembunyi.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts