DR. RAMALAN YUNUS: MALAYSIA MILIK MELAYU – TUN MAHATHIR

446
SHARES
2.6k
VIEWS

Dalam satu temu bual eksklusif, Tun Mahathir telah berhujah dan bercakap panjang lebar mengenai Malaysia bukan sebuah negara majmuk dan negara berbilang kaum. Tetapi Malaysia adalah sebuah negara Melayu dan milik orang Melayu. Hujah-hujah bernasnya disandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Saya agak terkejut dengan segala kenyataan dan hujah yang beliau kemukakan. Seolah-olah yang bercakap itu bukan Tun Mahathir. Malah kalau ada sesiapa yang bercakap seperti itu di zaman beliau menjadi Perdana Menteri sudah pasti akan dikenakan ISA.

Apapun memang terang dan jelas bahawa raja, agama, bahasa, adat dan budaya orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah teras dan asas kenegaraan di negara ini.

Biarpun terkejut saya tetap bersetuju sepenuhnya dengan segala kenyataan dan hujah-hujah beliau dalam temu bual tersebut. Ini kerana itulah pegangan saya selama ini. Atas dasar itu juga saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang keliru. Apa yang termaktub di dalam Perlembagaan lain dan apa yang diamalkan pula lain. 

Sebagai contoh, dalam Perlembagaan, Islam ialah agama negara. Ini membawa maksud bahawa cara hidup bernegara di negara ini adalah Islam. Ini bermakna syariat Islam wajib dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan bernegara. Tetapi amalannya, kita bina dan bangunkan negara ini secara liberal dan sekular.

Bahasa Melayu adalah bahasa negara namun ia masih gagal untuk menjadi bahasa pemersatu bangsa. Kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan manakala pihak swasta pula lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris.

Adat budaya yang termaktub dalam Perlembagaan adalah adat budaya Melayu tetapi apabila tiba Tahun Baru Cina, Malaysia berubah menjadi seperti negara China. Deepavali berubah menjadi seperti India dan Christmas berubah menjadi seperti negara Kristian.

Ada Rukun Negara pula sekadar menjadi hafalan sahaja tetapi tidak untuk diamalkan. Sebagai contoh, Kesetiaan kepada Raja dan Negara tetapi dari segi amalan, majoriti rakyat Malaysia lebih setia kepada para pemimpin politik dan parti-parti politik.

Begitu juga dengan Perlembagaan Persekutuan. Pembinaan dan pembangunan negara ini seharusnya berlandaskan kepadanya. Namun dari segi amalan banyak amalan bernegara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, sistem politik sepatutnya adalah Sistem Raja Berperlembagaan dan tanpa parti-parti politik. Tetapi untuk menghalalkan kewujudan parti-parti politik maka jadilah sistem politik kita sebagai Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Sedangkan yang ada peruntukan dalam Perlembagaan adalah persatuan bukan parti-parti politik.

Parti-parti politik pula beroperasi secara demokratik bukan secara Islamik. Faktanya, tidak ada satu istilah demokrasipun dalam Perlembagaan. Jadi kenapa mahu mengamalkan sesuatu yang tiada Perlembagaan Persekutuan?

Sistem ekonomi kita sepatutnya sistem ekonomi Islam tetapi amalannya adalah sistem ekonomi kapitalis. Dari segi sistem perundangan pula sepatutnya kita mengamalkan undang-undang Islam bukan undang-undang British.

Parti DAP itu ideologinya bertentangan dengan Perlembagaan tetapi diluluskan pendaftarannya dan dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah dari segi undang-undang. 

Berbeza benar sikap kita dengan rakyat Indonesia dalam membina dan membangunkan sebuah negara bangsa. Di Indonesia, jangankan mahu melanggar Undang-undang Dasar, diusik sedikit sahaja Pancasila sudah kecoh satu negara.

Kita di Malaysia, jangankan langgar Rukun Negara bahkan langgar Perlembagaanpun sudah menjadi satu perkara yang biasa. Memang jauh berbeza sikap rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia dalam bernegara dan berbangsa.

Cuma saya agak hairan kenapa baru sekarang Tun Mahathir mahu bercakap seperti itu? Kenapa tidak dari dahulu lagi. Terutamanya sewaktu beliau sendiri menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun?

Kalau sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dan mempunyai pandangan seperti hari ini saya kira wajah Malaysia tidak seperti wajah yang kita kenali hari ini. Adakah baru sekarang beliau baru memahami apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Adakah selama menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun ditambah 22 bulan Tun Mahathir tidak faham langsung mengenai Perlembagaan Persekutuan? Kenapa setelah tidak lagi berkuasa baru beliau mahu bangkit berjuang untuk membela nasib orang Melayu yang kononnya sedang terancam di negara sendiri?

Aneh bukan ?

Apapun saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana tokoh sebesar Tun Mahathir sudah mulai sedar dan insaf bahawa Malaysia ialah negara orang Melayu walaupun pada usianya yang sudah mencecah 98 tahun.

Namun soalan saya kepada Tun Mahathir kalau benar beliau jujur dan ikhlas dalam perjuangannya untuk membela nasib orang Melayu, kenapa masih memilih gelanggang yang salah untuk membela nasib orang Melayu?

Kenapa masih memilih politik atau gerakan massa yang begitu abstrak sifatnya sebagai arena perjuangannya? Kenapa tidak memilih mahkamah yang lebih jelas hitam dan putihnya sebagai gelanggang untuk membela nasib orang Melayu?

Bukankah segala hak dan keistimewaan orang Melayu itu sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan? Sebab itu saya selalu menyatakan bahawa perjuangan politik orang Melayu sudah selesai. Segala yang kita inginkan sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Maka, medan perjuangan orang Melayu untuk membela dan mempertahankan hak-hak orang Melayu ialah di mahkamah. Bukan politik dan bukan pada musim PRU. Kalau Tun Mahathir benar-benar ikhlas mahu berjuang untuk membela nasib orang Melayu, pertahankanlah hak-hak orang Melayu di mahkamah.

Atas dasar itu saya sering menguji idea dan motif gerakan Proklamasi Melayu yang dipromosikan oleh beliau. Ini kerana saya tidak melihat Proklamasi Melayu sebagai wadah penyatuan Melayu.

Apa yang saya lihat Proklamasi Melayu hanya sekadar menjadi wadah penyatuan orang-orang bengap yang masih boleh dipengaruhi oleh retorika Tun Mahathir yang sentiasa menyesatkan pemikiran bangsa. Bagi saya Proklamasi Melayu bukan untuk membela nasib Melayu tetapi hanya untuk membela nasib dirinya dan kroni-kroninya sahaja.

Psaikologi di sebalik gerakan Proklamasi Melayu Tun Mahathir ialah rasa gerun beliau kepada gandingan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau gerun kalau terpaksa mengakhiri hayatnya di dalam penjara.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

18 Julai 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts