TERDEDAH “KOS TERSEMBUNYI HSR” AZMIN? – NAJIB

352
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

Tiga hari dahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan bahawa Singapura bersetuju untuk menangguhkan projek High Speed Rail (HSR) tanpa meminta apa-apa bayaran dari Malaysia.

Semalam, diumumkan pula kita perlu bayar gantirugi RM45.1 juta kepada Singapura untuk menangguhkan projek selama dua tahun. Ia bercanggah dengan kenyataan 3 hari sebelum ini.

Tender untuk projek ini yang dilaksanakan bersama Singapura sepatutnya ditutup pada akhir Disember ini juga telah dibatalkan.

Pembida-pembida sudah melaburkan banyak wang dan usaha dalam mengemukakan bida mereka dan sudah hampir selesai.

Pada pendapat saya, kerajaan sepatutnya tunggu sehingga tender telah ditutup dan semua bidaan telah diterima sebelum membuat keputusan hendak menunda atau batalkan memandangkan tender sudah dibuka sejak bulan Januari lalu dan hanya kurang 4 bulan lagi sehingga tender tutup.

Ini ialah kerana tender ini untuk pakej pembiayaan kewangan projek.

Kebiasaannya ialah pakej pembiayaan bagi projek-projek HSR adalah sangat kompetitif dan tidak mustahil untuk pembida-pembida memberi pakej pinjaman dengan kadar faedah 0% ataupun 0.1% dan tempoh tidak perlu bayar seperti untuk projek-projek HSR di India dan Indonesia.

Dengan maklumat kos dan pakej pembiayaan dari pembida, kerajaan boleh membuat keputusan dengan lebih wajar jika hendak batal ataupun tangguh.

Bagi saya kos untuk menangguhkan projek ini untuk dua tahun bukan RM45.1 juta sahaja tetapi perlu mengambil kira kos kehilangan peluang ataupun “opportunity loss“.

Saya cuba membaca kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura Encik Khaw Boon Wan yang mengatakan ramai di Singapura juga tidak sabar untuk HSR dibina kerana destinasi Kuala Lumpur sangat dinantikan mereka.

Banyak peluang untuk merancakkan industri pelancongan dan pelaburan serta berpuluh ribu peluang pekerjaan akan hilang dalam tempoh penangguhan dua tahun ini.

Dua bulan lepas, pusat penyelidik dari Institute of Developing Economies di Jepun dengan kerjasama Yusof Ishak Institute di Singapore mengeluarkan hasil selidik mereka bahawa Malaysia akan memperoleh keuntungan US$1.589bil (RM6.6 bilion) setiap tahun dengan adanya projek HSR.

Selain dari itu, seperti mana-mana projek infrastruktur kos pembinaan dua tahun lagi tentu akan lebih tinggi.

Ini bermakna kos sebenar penangguhan dua tahun ini ialah RM45 juta ditambah RM13.2 bilion campur kenaikan kos pembinaan.

Kerajaan juga perlu mendedahkan laporan impak ekonomi untuk projek ini supaya rakyat boleh menilai dengan sendiri kebaikan projek ini dari segi pembangunan negara dan pulangan pelaburan.

Persoalan saya mengapa kos HSR yang dulunya dianggar sebanyak RM70 billion oleh kerajaan BN dulu dengan kerajaan Singapura tiba-tiba dinaikkan menjadi RM120 bilion oleh kerajaan PH juga terjawab di dalam laporan media semalam.

Rupa-rupanya, kos RM120 bilion rekaan PH ini termasuk bayaran bunga (walaupun pakej pembiayaan mungkin hanya 0% dan 0.1%) dan kos penyelenggaran dan operasi untuk 30 tahun tanpa mengira sebarang pendapatan dari projek ini.

Mungkin ini ialah “kos tersembunyi” yang dimaksudkan di dalam jawapan rasmi Datuk Seri Azmin Ali kepada saya dalam Dewan Rakyat hari itu?

Jika sedemikian, mungkin penjual kereta di Malaysia juga patut menukar papan harga untuk kereta mereka kerana perlu menambah juga kos bunga pinjaman dan kos operasi untuk 30 tahun?

(Dipetik melalui laman Facebook beliau)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts