AHLI UMNO HARUS BANGKIT MEMPERTAHANKAN PENGANIAYAAN KEATAS PRESIDEN DAN CUBAAN PENGHARAMAN PARTI MULAI MINGGU INI
Oleh Lokman Adam
8 Oktober 2018
Assalamualaikum w.b.t.
Mulai minggu ini, Ahli-ahli UMNO akan diuji dengan tekanan dan penganiayaan tahap kedua oleh rejim Zalim Mahathir-DAP. Tun Mahathir hanya mempunyai 7 hari sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.
Ini bermakna beliau juga akan “all out” untuk menarik sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen UMNO bersamanya sebagai MP Bebas tetapi menyokong beliau untuk kekal sebagai Perdana Menteri, sekaligus menguburkan hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun dengan bantuan UMNO dan parti-parti lain.
Bagi menjatuhkan moral ahli UMNO, khususnya MP UMNO, mingu ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pula akan ditahan oleh pihak SPRM. Malah, jika minggu lepas, anak Dato’ Sri Azeez Rahim, Anwar Azeez turut menjadi mangsa, minggu ini kezaliman Pakatan Penipu Rakyat ini akan mengheret sama anak Presiden dan ahli keluarga MP-MP kita yang masih tidak mahu tunduk dengan ugutan mereka.
Mungkin ahli-ahli UMNO dan kepimpinannya boleh memberikan pelbagai alasan untuk tidak turun dan menyatakan solidariti kita kepada Dato’ Sri Najib Razak, mantan Presiden kita, tetapi apalah rupanya jika Presiden kita turut dianiaya, pemimpin dan Ahli UMNO masih berdiam diri dan berpeluk tubuh?
Jika sekali lagi, kepimpinan dan ahli UMNO membiarkan nasib Presiden, Naib Presiden dan seterusnya kepimpinan tertinggi UMNO yang lain dibiarkan tanpa pembelaan, maka isyarat yang jelas akan kita sampaikan di dunia luar bahawa memang benarlah roh perjuangan UMNO sudah mati.
Tiada lagi kepimpinan UMNO akan meneruskan perjuangan menentang rejim zalim ini sekiranya mereka dibiarkan berseorangan menghadapi tekanan ini.
Kepimpinan dan ahli UMNO perlu sedar bahawa, tiada siapa boleh menangkap atau menghalang kita, jika kita sekadar hadir menyatakan solidariti kita kepada kepimpinan utama UMNO. Usah kita gentar dan takut dengan ancaman mereka!
Memandangkan ramai daripada MP kita melawan ugutan dan tekanan si puaka durjana ini, penguasa zalim ini akan sekali lagi mengharamkan parti yang kita cintai ini dalam minggu ini.
Tun Mahathir tahu, ramai yang akan pasrah dan putus asa jika UMNO diharamkan. Ini akan memudahkan beliau meyakinkan mereka yang bagai kehilangan arah ini untuk menyertai beliau.
Suka saya umumkan di sini bahawa, UMNO sudahpun bersiap-sedia menghadapi kemungkinan ini dan kita sudahpun menyediakan platform alternatif sekiranya musibah akibat cubaan khianat ini tidak dapat kita elakkan.
Oleh itu usahlah sahabat-sahabat bimbang, di bawah platform apa kita akan meneruskan perjuangan ini. Apa yang penting, penganiayaan dan kezaliman ini akan menyedarkan jutaan rakyat Malaysia yang lain.
Yakinlah, rakyat akan bersama kita. In sha Allah, mereka akan memilih wadah baru yang bakal dipilih oleh majoriti kepimpinan UMNO yang mempertahankan Parti Keramat ini hingga ke detik terakhir. Mereka tidak sesekali akan bersama kepimpinan dan ahli yang belot dan meninggalkan perjuangan.
Usahlah kita berburuk sangka terhadap 49 orang Ahli Parlimen UMNO yang tinggal. Hentikan sebarang spekulasi, adakah si polan bin si polan bakal meninggalkan kita atau tidak? Henti bertanya sama ada pemimpin ini masih ok atau tidak, masih bersama kita atau tidak.
Yang pasti, siapa yang masih bersama dengan UMNO hujung bulan ni, mereka adalah yang 50% ok. Siapa yang bersama kita 2 tahun lagi, ialah mereka yang 60% ok. Siapa yang bersama kita 4 tahun dari sekarang, boleh dianggap 70% ok. Siapa yang bersama dengan perjuangan ini sekarang dan masih bersama kita jika kita belum berjaya selepas PRU-15 ini, mereka ini boleh dianggap 80% ok.
Istilah 90-100% ok hanya untuk yang masih bersama perjuangan ini semasa mereka mengucapkan 2 kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas mereka yang terakhir. Maksud perjuangan ini tidak semestinya UMNO, tetapi tidak kiralah platform apa yang kita pilih secara berjemaah jika UMNO diharamkan rejim zalim Mahathir-DAP.
Apa yang penting, perjuangan ini perlu kita teruskan, lawan tetap lawan.
Saya memberikan peluang kepada sahabat-sahabat berehat bersama anak dan isteri sehari dua ini tanpa sebarang perhimpunan, supaya kita dapat bersedia dari segi mental dan fizikal, sebelum kita turun beramai-ramai dalam satu perhimpunan besar minggu ini, jam 9.00 malam di hadapan Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada malam YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditahan oleh pihak SPRM (bila-bila masa sebelum hari Rabu ini).
Kita tidak boleh membiarkan Presiden kita keseorangan. Korbankanlah masa kita walau sehari sahaja bagi menyatakan solidariti kita kepada #Solidariti4ZahidHamidi .
Jagalah maruah UMNO, maruah UMNO adalah maruah kita semua.
Hidup UMNO!
Dato’ Lokman Noor bin Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Merangkap Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan
UMNO Malaysia