PEGUAM NEGARA MELAMPAUI BATAS KUASA, MENDAHULUI KEPUTUSAN KABINET DENGAN MENGIKTIRAF UEC

1.7k
SHARES
3.5k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA

Oleh: Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

31 Mac 2019 | 24 Rejab 1440 (Ahad)

1. Tindakan Peguam Negara yang ingin mengiktiraf sijil UEC yang dianggap setaraf dengan STPM bagi menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) adalah satu keputusan yang tidak masuk akal yang melanggari sistem sedia wujud dan tidak menghormati Bahasa Kebangsaan di bawah Fasal 153.

2. Selama ini kelonggaran menggunakan bahasa Inggeris sudah cukup mencabar kewibawaan mahkamah dan adakah perlu selepas ini bahasa-bahasa lain pula diberi kelonggaran kerana kelemahan dalam berbahasa Melayu. Semua pihak mengetahui bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa pengantar utama dalam silibus pendidikan UEC.

Sampai bila kita mahu memberikan kelonggaran begini? Sepatutnya jika kita tidak mahir, kita belajar dan berusaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu kita. Bukankah Fasal 151 dan 152 menetapkan segala urusan rasmi kerajaan wajib menggunakan Bahasa Kebangsaan.

3. Keputusan ini juga tidak boleh diputuskan sesuka hati oleh Peguam Negara dan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang. Ia perlulah dibincangkan penggubal dasar dari peringkat Parlimen lagi kerana ia melibatkan Dasar Pendidikan Negara.

Keputusan menidakkan Dasar Pendidikan Negara ini juga memperlihatkan Peguam Negara dan rakan sekutunya cuba menyamatarafkan kedudukan Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).

4. Dengan jawatan dimilikinya, Peguam Negara cuba menjadi wira kepada kaum tertentu dengan usaha menempatkan lebih ramai orang bukan Melayu dalam profesion guaman. Kecelaruan kuasa yang dimiliki dengan cubaan mengatasi kuasa Menteri Pendidikan ini mencerminkan kelemahan dan tahap kelayakan sebenar beliau sepertinya tidak layak memegang jawatan tersebut. Peguam Negara sudah menjadi Menteri Pendidikan. Menteri Pendidikan yang sedia ada eloklah meletakkan jawatan.

5. Perkara ini sepatutnya ditegur oleh kepimpinan kerajaan PH khususnya dari Bersatu yang jelas dalam matlamat penubuhannya yang juga ingin memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menteri Pendidikan seharusnya cakna dengan isu penerimaan UEC dalam sistem pendidikan yang jelas melanggar Dasar Pendidikan Negara. Jangan terus berdiam diri dan terus dibonekakan oleh DAP. Timbalan Menteri Pendidikan yang dengan pantas memberi respon gembira akan pengumuman tersebut jelas menunjukkan hal ini merupakan agenda yang terancang.

Maka tercatitlah satu lagi sejarah hitam dalam Sistem Dasar Pelajaran Kebangsaan dan menodai Bahasa Kebangsaan yang tercatit dalam Fasal 153 yang merupakan Asas Perlembagaan Negara.

IA BUKAN SOAL UEC DIIKTIRAF OLEH LAIN-LAIN INSTITUSI LUAR NEGARA.

Di mana letaknya asas lulus kepujian Bahasa Melayu dalam SPM sebagai syarat untuk semua urusan? Adakah Peguam Negara tidak memahami atau sengaja melanggar Asas Perlembagaan Negara dan Aspirasi Nasional?

PERKASA dengan tegas menolak UEC selagi tidak selari dengan Asas Perlembagaan Negara, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan yang sepatutnya menjadi alat integrasi nasional serta identiti negara.

Sekian, terima kasih.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts