KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PENAJA WIRA PUTRA MALAYSIA
9 Jun 2019 | 5 Syawal 1440H
1. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya perlu membuka semula “kes banglo” dan “kes terowong” bagi membuktikan beliau seorang yang berintegriti tanpa rasa takut dan tidak memihak kepada mana-mana pihak apatah lagi beliau kini tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik.
2. Kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang perlu dibuka dengan segera bagi membuktikan integriti beliau dan pastinya rakyat ingin melihat kes ini diambil tindakan sewajarnya.
3. Kita pasti dan yakin bahawa dengan perwatakan dan latar belakang dan pengalaman Puan Latheefa Koya sebagai seorang aktivis masyarakat dan peguam, beliau mampu menjalankan tugas “without fear or favour“.
Sekiranya kedua-dua kes ini dilihat tidak diambil tindakan sewajarnya maka perlantikan beliau tiada bezanya dengan perlantikan politik yang lain sebelum ini. Akhirnya bercakap tidak serupa bikin seperti ayam berkokok di tengah malam.
4. Umum mengetahui yang pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu merupakan lantikan politik yang sekaligus tidak menepati janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Namun Wira PUTRA mengakui yang Perdana Menteri telah menggunakan kuasa ‘veto’nya dalam membuat pelantikan tanpa merujuk Kabinet mungkin kerana PM sudah mengetahui ada anggota kabinet tidak ada sijil kelulusan (ada yang mendakwa mempunyai sijil tetapi menipu) dan tidak juga merujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan kerana dari awal PM jangka cadangannya akan dibantah.
Jika PH hilang kepercayan rakyat kerana mungkir janji, pada PM itu bukan masalahnya kerana PRU-15 kelak akan ada tokoh lain yang memimpin PH.
5. Kita berharap beliau mampu untuk bertindak secara progresif, professional, adil, serta bijaksana dalam kes yang dilaporkan kepada SPRM khususnya laporan bagi kes “skandal banglo” dan kes “skandal projek terowong bawah laut” di Pulau Pinang yang terdedah sebelum ini.
Beliau mesti mampu mendesak Peguam Negara agar semua kes biar mahkamah tentukan salah atau tidak. Peguam Negara tidak boleh menarik balik, membatalkan kes atau tidak membuat pendakwaan atas alasan bukti tidak mencukupi.
Salah atau tidak adalah tugas Hakim di mahkamah untuk membuat keputusan. Apabila seseorang sudah dituduh, maka biar mahkamah menentukan untuk membersihkan namanya. Jika tidak, sampai bila ‘Mahkamah Rakyat’ menuduh beliau sebagai bersalah.
6. Peguam Negara perlu sedar beliau bukanlah Hakim. Kes siasatan terowong bawah laut sudah diketahui umum melalui KEBOCORAN KERTAS SIASATAN SPRM yang didedahkan secara terperinci oleh blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK).
Inilah cabaran yang menanti Latheefa Koya, sama-sama kita tunggu dan lihat.
7. Wira Putra juga mendesak, beliau juga dapat memastikan siasatan perjalan kes “Inkues Allahyarham Muhammad Adib” kerana dikhuatiri ada aktiviti rasuah semasa perbicaraan kes ini berjalan kerana ada saksi yang membuat lapuran polis kerana telah diugut.
PUTRA PERKASA NEGARA
Yang benar,
Meor Mohd Hilmi Ibrahim
Ketua Penerangan Penaja
WIRA PUTRA MALAYSIA