Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengalu-alukan langkah kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengambil tindakan segera meletakkan tanggungjawab pengurusan Covid-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mohd Zai Mustafa, Pengerusi UMMAH Pusat berkata, usaha pihak kerajaan meletakkan tanggungjawab pengurusan Covid-19 di bawah MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri adalah tindakan yang tepat susulan perkembangan terkini wabak itu di Malaysia.
Katanya, keputusan kerajaan mengeluarkan perintah mengehadkan pergerakan di bawah Akta 342 dalam tempoh masa ditetapkan adalah amat wajar dan perlu dipatuhi oleh semua pihak supaya langkah-langkah membendung penularan wabak Covid-19 dapat dilakukan.
“Kerjasama dari semua rakyat adalah amat penting demi memastikan penularan wabak ini dapat di atasi dalam masa yang segera,” ujarnya lagi.
Mohd Zai menambah, “Ummah turut merayu kepada semua rakyat supaya bertenang, bersabar serta sentiasa mengikuti arahan dari pihak berkuasa dari masa ke semasa, di samping lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat berkaitan wabak Covid-19.”
Sehubungan itu, UMMAH Pusat mengucapkan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan khususnya kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak keselamatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang sentiasa dedikasi menjalankan tugas mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.
UMMAH Pusat juga ingin menasihatkan kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak mempolitik isu Covid-19, sebaliknya hendaklah turut sama-sama membantu pihak kerajaan mengatasi masalah ini dengan sebaiknya.
Covid-19 bukan semata-mata berlaku di Malaysia, bahkan turut melanda di seluruh dunia sehingga pihak World Health Organisation (WHO) mengisytiharkannya sebagai pandemik, yang boleh meragut nyawa manusia dalam skala besar.