Pada Rabu 20 April dalam tahun 1898, perjanjian di antara Yang Dipertuan Besar, Seri Menanti Yang Dipertuan Muhammad C.M.G Ibni Almarhum Yang Dipertuan Antah dengan Undang Yang Empat telah ditandatangani.
Undang Yang Empat ini terdiri dari Dato’ Kelana Putera Maamor, selaku Dato’ Bandar Sungai Ujong, Dato’ Mendika Menteri Akhir Zaman Sutan Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Johol dan Dato’ Sedia Raja Rembau.
Turut hadir di upacara tersebut ialah Residen British J.W Birch. Perjanjian ini ditandatangani bertujuan untuk memperkukuhkan lagi peraturan adat negeri dan pesaka yang telah dibuat oleh pemerintah dan orang-orang besar pada zaman-zaman sebelumnya.
Perjanjian ini merangkumi perkara-perkara:-
1. Undang Yang Empat diberi kuasa kembali untuk menabalkan Yang Dipertuan Besar sebagai Raja Negeri Sembilan mengikut peraturan yang dilakukan oleh pemerintahan dahulu.
2. Sebagaimana peraturan dahulu, raja tidak mencampuri hal-hal pemerintahan adat negeri atau syarak undang-undang yang Empat kerana mereka boleh mendapatkan sebarang nasihat demi Residen British sekiranya berlaku apa-apa masalah.
3. Raja seharusnya mencampuri serta mengadilkan sebarang masalah mengenai pemerintahan Luak Undang Yang Empat sekiranya diminta oleh mereka. Tetapi Raja tidak akan melayan jika ada pegawai atau rakyat dari Undang Yang Empat datang mengadap baginda untuk menyelesaikan masalah mereka.
4. Undang Yang Empat tidak lagi perlu datang mengadap raja pada hari raya yang kedua kerana mereka diberi kuasa membuat sebarang peraturan di dalam jajahan takluk Luak masing-masing. Tetapi sekiranya Undang Yang Empat dititahkan untuk menjalankan pekerjaan yang besar seperti nikah kahwin dan sunat rasul, ianya hendaklah dipenuhi.
5. Undang Yang Empat seharusnya membawa persembahan emas manah yang dikeluarkan dari Kerajaan Negeri Sembilan mengikut ala kadar masing-masing apabila Yang Dipertuan mangkat.
6. Undang Yang Empat hendaklah sepakat dan sebulat suara dalam memilih putera raja untuk ditabalkan sebagai Yang Dipertuan mengikut peraturan-peraturan pertabalan yang dilakukan sejak dahulu.
Perjanjian ini memperkuatkan lagi pelaksanaan sistem pemerintahan beraja secara tradisional di Negeri Sembilan tanpa menggugat kedudukan dan keutuhan mana-mana pihak walaupun Residen British mencampuri hal-hal pentadbiran di Negeri Sembilan.
(Sumber dari laman web MKN, sebarang ralat sama ada ejaan, tarikh dan lain-lain haruslah dimajukan terus kepada pihak berkenaan)






