Kekalahan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula kalah di DUN Linggi dilihat sebagai tamparan paling besar kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Keputusan rasmi menunjukkan dua tokoh ‘heavyweight’ PH itu gagal mempertahankan kerusi masing-masing, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa pilihan raya kali ini bukan sekadar persaingan antara parti, tetapi turut menjadi ujian penerimaan pengundi terhadap Pakatan Harapan.
Loke, yang mempertahankan Chennah untuk penggal ketiga, sebelum ini mempunyai kedudukan yang kukuh di kawasan berkenaan. Pada PRN 2023, beliau memperoleh 5,888 undi dengan majoriti 2,200 undi atau 61.49 peratus undi sah.
Namun, kelebihan tersebut tidak berjaya dipertahankan pada PRN kali ini, di mana laporan rasmi menunjukkan beliau tumbang kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong.
Lebih memilukan, kekalahan Loke berlaku ketika beliau bukan sahaja bertanding sebagai penyandang DUN, malah memikul kedudukan tertinggi DAP selaku Setiausaha Agung selain berjawatan Menteri Pengangkutan di peringkat pusat.
Di Linggi pula, kekalahan Aminuddin membawa implikasi secara langsung terhadap pentadbiran negeri, yang menunjukkan momentum rakyat tidak lagi mahukan Pakatan Harapan sebagai kerajaan di Negeri Sembilan.
Aminuddin yang mempertahankan kerusi Sikamat pada PRN 2023 dengan majoriti 2,662 undi, kemudiannya beralih ke Linggi namun tetap tumbang walaupun menjadi poster boy Pakatan Harapan.
Kekalahan itu bermakna PH bukan sahaja kehilangan seorang penyandang, tetapi turut kehilangan tokoh yang mengetuai kerajaan negeri sejak lapan tahun lepas.
Kehilangan kerusi Menteri Besar ini memberi malu yang jauh lebih besar kerana selain menggugah kepercayaan ramai bahawa Pakatan Harapan selama ini ‘kebal’, kini PH dilihat jauh lebih teruk berbanding prestasi Barisan Nasional pada tahun 2018.
Bagi Pakatan Harapan, persoalan lebih besar yang perlu mereka jawab ialah sama ada kekalahan memalukan tersebut menunjukkan penolakan terhadap calon atau kepimpinan negeri, atau realitinya rakyat Negeri Sembilan sebenarnya benci dan menolak mereka yang bertanggungjawab ‘melanggar’ adat sehingga ia dipersenda dan diperlekehkan secara terbuka.
Selepas rakyat Sabah menghukum DAP dengan kekalahan memalukan 0-7 di sana, kini rakyat Negeri Sembilan pula menghukum terus Setiausaha Agung DAP – sebagai simbolik bahawa DAP kini ditolak bulat-bulat oleh rakyat.






